Wednesday, November 18, 2009

AL-RĀBITAH : SEJARAH, DEFINISI DAN KONSEP

3.1 PENGENALAN

Dalam bab yang ketiga ini akan dibincangkan latarbelakang yang berkaitan dengan al-rābitah secara ringkas. Dengan penjelasan itu nanti akan memudahkan untuk kita memberikan pandangan dan ulasan khususnya yang berkaitan dengan definisi, konsep dan apa juga yang ada kaitan dengan perbahasan ini. Dalam bab ini juga akan dibincangkan peranan seorang syeikh dalam mengasuh dan mendidik seseorang murid, begitu juga akan dibincangkan peranan seseorang murid terhadap gurunya. Tujuan perbincangan ini adalah untuk melihat dengan secara mendalam bagaimana hubungan di antara syeikh dengan murid itu akan menimbulkan satu konsep yang tersendiri di dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf iaitu al-rābitah.


3.2 DEFINISI AL-RĀBITAH.

3.2.1 Al-Rābitah dari sudut bahasa.
Istilah al-rābitah jika ditinjau dari sudut bahasa, ia diambil dari perkataan الربط. Perkataan ini berasal dari katakerja ربط , يربط , ربطا , مربوط , ربيط . Sedang kata jamaknya pula ialah ربط . Istilah al-rābitah ini biasanya digunakan mengikut kesesuaian yang berdasar kepada berbagai bentuk , sama ada dilihat dari sudut perbezaan wazannya atau pun dari sudut perbezaan dalam konteks penggunaan dan pemakaiannya. Sebagai contoh apabila dikatakan :

1- ربط الشيىء ربطا فهو مربوط وربيط
Ayat di atas membawa maksud memeperkemaskan sesuatu ikatan.

2- رباط الشيىء
Ungkapan di atas membawa kepada beberapa maksud antaranya :
a) Ayat di atas membawa maksud sesuatu yang diikat . Dalam ertikata lain ia juga dikatakan sebagai تشد به القربة yang membawa maksud mengikat dengannya akan tempat air.
b) Ayat di atas juga membawa maksud : مواظبة على الأمر yang bererti: sentiasa berterusan di dalam membuat sesuatu urusan.
c) Seterusnya ia membawa kepada makna :ملازمة ثغر العدو كا لمواظبة yang bererti: sentiasa berwaspada terhadap musuh.

3- Sedang kalimah al-murābitah pula pada asalnya membawa maksud setiap satu kumpulan mempunyai tempat khas untuk menambat kuda-kuda mereka. Dari sini dinamakan tempat menambat kuda itu dengan nama رباطا .


Dalam al-Qur’an Allah S.W.T berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .
Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih dari kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T., supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Dalam firman Allah S.W.T di atas tadi, terdapat tiga kata kerja suruh (fi‘l al-amr) di antaranya:
اصبروا : Membawa maksud bersabar di atas segala kesukaran dan kesusahan yang dihadapi ketika akan, sedang dan selepas melaksanakan ibadah dan musibah.
وصابروا: Membawa maksud perangilah musuh-musuh Allah S.W.T. dengan penuh kesabaran ketika dalam peperangan. Demikian juga ketika memerangi musuh al-nafs, al-hawā dan syaitan.
ورابطوا: Membawa maksud kuatkan semangat jihad ke atas musuh-musuh kamu semasa peperangan di samping kuatkan persediaan untuk hari peperangan tersebut. Perkataan rābitu dengan kata jamak itu juga terkadang membawa maksud muhāfazah iaitu menjaga, memelihara,mengawasi dan berhati-hati dengan waktu solat. Perkataan ini digunakan juga kepada maksud muwāzabah iaitu pengawasan, penelitian dan penjagaan ke atas solat.

4- Kadangkala digunakan perkataan al-ribāt kepada makna intizār iaitu menunggu dari satu waktu solat ke waktu solat yang lain. Ini dapat kita lihat dengan jelas dari sabda Rasulullah s.a.w:
ألا أدلكم على ما يمحو الله به الخطايا ويرفع به الدرجات , قالوا بلى يا رسول الله قال اسبغ الوضوء على المكاره وكثرة الخطأ إلى المساجد , وانتظار الصلاة بعد الصلاة فذلكم الرباط فذلكم الرباط فذلكم الرباط .

Maksudnya:

Adakah tidak mahu aku tunjukkan kepada kamu tentang sesuatu yang boleh menghapuskan kesalahan-kesalahan di samping mengangkat darjat kamu? Mereka menjawab: Bahkan wahai Rasulullah. Baginda s.a.w menjawab dengan sabdanya: Sempurnakanlah wuduk walaupun dalam keadaan susah (di waktu sakit dan sejuk) dan perbanyakkanlah langkah untuk menuju ke masjid, dan menanti waktu solat selepas waktu solat. Demikian itulah al-ribāt, demikian itulah al-ribāt, demikian itulah al-ribāt.

Dalam hadis yang tersebut di atas jelas segala amal-amal soleh itu diumpamakan dengan perkataan al-ribāt yang membawa maksud lazamtu. Ayat di atas membawa maksud melazimkan atau membiasakan diri ke atas amal-amal soleh. Oleh yang demikian perkataan al-ribāt di sini sebenarnya mengandungi maksud lazamtu yang melambangkan kepada ikatan di antara dua hubungan. Sebagai contoh: Menyempurnakan wuduk, pergi ke masjid dan sebagainya akan mengikat pelakunya dari melakukan maksiat dan memelihara dari beberapa perkara yang diharamkan.

5- Perkataan al-rābitah juga membawa makna العلقة dan الوصلة. Yang membawa maksud ketergantungan dan kesampaian. Seterusnya kita dapat lihat dari keterangan yang dikemukakan oleh al-Qur’an tentang perkataan al-ribāt yang membawa maksud demikian seperti di dalam firmanNya:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمْ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ .

Maksudnya:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap bersedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh-musuh Allah S.W.T. dan musuh kamu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah S.W.T. mengetahuinya.

Perkataan al-ribāt yang terdapat dalam ayat di atas jelas membawa maksud berwaspada dan bersedia. Ayat ini juga memperlihatkan kepada kita adanya hubungan di antara dua aspek, iaitu hubungan di antara kekuatan tentera dan pasukan berkuda dengan kejayaan dan kesampaian (al-wuslah). Hubungan tersebut jelas akibat dari penggunaan perkataan al-ribāt seperti yang terdapat dalam ayat di atas.

No comments:

Post a Comment