Wednesday, November 18, 2009

AL-RĀBITAH, AL-WASILAH, AL-WĀSITAH DAN AL-BARZAKH.

3.5 AL-RĀBITAH, AL-WASILAH, AL-WĀSITAH DAN AL-BARZAKH.

Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf istilah-istilah seperti al-rābitah, al-wasilah, al-wāsitah dan al-barzakh sering digunakan. Apakah terdapat hubungan secara langsung atau tidak antara istilah-istilah tersebut. Untuk memperjelaskan kedudukan ini kita lihat apa yang telah dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dalam kitabnya al-Shari‘ah wa al-Tariqah antara lain menyebutkan:
ويقال أيضا شغل الرابطة , والبرزخ , والواسطة, كذا فى تعليم الدين . وهو عند مشايخ السلوك من الأشغال الهامة جدا .

Maksudnya:

Membayangkan atau menggambarkan rupa syeikh dan yang disebut juga dengan amalan rābitah, al-barzakh dan al-wāsitah begitulah yang terdapat dalam kitab Ta‘lim al-Din. Amalan ini sangat penting menurut Mashā’ikh suluk.

Dari keterangan di atas jelas menunjukkan bahawa kalimat al-rābitah, al-barzakh dan al-wāsitah mempuyai makna yang serupa yang merujuk kepada makna menghadirkan rupa guru atau syeikh ketika hendak melakukan zikir. Amalan ini merupakan suatu disiplin yang sangat penting dalam ilmu dan amalan tasawwuf yang akan menyusul perbincangannya. Menghadirkan rupa guru atau rābitah itu yang menurut Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni al-Khālidi dalam kitabnya al-Bahjah al-Saniyyah antara lain menerangkan enam bentuk dan cara untuk menghadirkan rābitah itu, antaranya:

1. Menghadirkannya di hadapan mata dengan sempurna.
2. Membayangkannya di kiri dan kanan, dengan memusatkan perhatian kepada rohaniahnya sampai terjadi sesuatu yang ghaib. Apabila rohaniah guru murshid yang dijadikan rābitah itu lenyap, maka murid itu dapat menghadapi peristiwa yang terjadi. Tetapi jika peristiwa itu lenyap, maka murid harus berhubungan kembali dengan rohaniah guru murshid, sampai peristiwa yang dialami tadi atau peristiwa yang sama dengan itu muncul kembali. Demikianlah dilakukan oleh murid berulang kali, sampai ia fanā’ dan menyaksikan peristiwa ghaib sebagai tanda kebesaran daripada Allah S.W.T. Rābitah menghubungkannya dengan Allah S.W.T. manakala murid pula diasuh dan dibimbing terus menerus, sekalipun di antara keduanya berada dalam jarak yang jauh.
3. Mengkhayalkan rupa guru di tengah-tengah dahi. Memandang rābitah di tengah-tengah dahi itu. Cara ini menurut kalangan ahli tariqat lebih berkesan untuk menolak getaran dan lintasan dalam hati yang melalaikan ingatan kepada Allah S.W.T.
4. Menghadirkan rupa guru di tengah-tengah hati.
5. Mengkhayalkan rupa guru di kening kemudian menurunkannya ke tengah hati. Menghadirkan rupa syeikh dalam bentuk ini agak sukar untuk melakukannya namun ia lebih berkesan dari cara-cara yang sebelumnya.
6. Menafikan (meniadakan) dirinya dan menthabitkan (menetapkan) keberadaan guru. Cara ini lebih kuat untuk menangkis aneka ragam ujian dan gangguan.

Dari perbincangan yang telah dikemukakan oleh al-Kandahlawi di atas nampaknya tiada sebarang perbezaan yang terdapat antara kalimah-kalimah tersebut, namun agak berbeza dengan pendapat yang dikemukakan oleh Muhammad Zakariyya Ibrāhim dalam kitabnya yang berjudul Mas’alat al-Wasilah antara lain beliau menjelaskan bahawa wasilah ialah meminta daripada Allah S.W.T secara langsung yang berserta dengan istishfā’ daripada orang yang dikasihi oleh Allah S.W.T. Justeru dalam hal ini Allah S.W.T. adalah maksud dan tujuan dengan pemberian tersebut, Dialah satu-satunya tempat memohon. Sedang apa yang dimaksudkan dengan wāsitah ialah memohon kepada zat al-wāsit di samping berkeyakinan bahawa al-wāsit berupaya untuk berbuat dan meninggalkan sesuatu tanpa melihat Allah S.W.T.

Penulis berpendapat penggunaan istilah yang berbagai dalam hal ini tidaklah menjadi masalah yang besar, namun yang lebih utama ialah pelaksanaan ibadah dan konsep ‘ubudiyyah itu sendiri yang perlu jelas dan memerlukan kepada ketulusan dan pemurnian hanya kepada Allah S.W.T . Allah S.W.T telah menggariskan satu panduan yang cukup sempurna untuk dijadikan landasan seperti firmanNya:
وَمَا أُمِرُوا إِلاّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ .
Maksudnya:

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah S.W.T. dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang sebenar.

Selanjutnya cuba kita lihat pula kalimah-kalimah al-rābitah, al-wāsitah dan al-barzakh dengan kalimah al-wasilah, apakah antara kalimah-kalimah tersebut terdapat perbezaan ataupun tidak untuk memudahkan bagi kita memahami istilah-istilah ini dalam konteks ilmu dan amalan tasawwuf.

Secara literalnya kalimah wasilah adalah berasal dari kata kerja wasala, yasilu dan wasilatan. Perkataan wasilah membawa maksud al-manzilah ‘ind al-malik iaitu suatu kedudukan di sisi raja atau penguasa. Perkataan ini juga membawa pengertian al-darajah dan al-qurbah. Apabila dikatakan wassala fulānun ilā Allah wasilatan ertinya idhā ‘amila ‘amalan taqarraba bihi ilayhi. Kata jamaknya al-wusul, al-wasā’il, al-tawsil dan al-tawassul merupakan kalimah-kalimah yang membawa maksud yang sama. Sedang kata al-tawassul sering diguna pakai untuk menjelaskan konsep yang terdapat dalam istilah al-wasilah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. ada menyebutkan perkataan al-wasilah seperti sabda Baginda s.a.w: Allāhumma āti Muhammad al-wasilah wa al-fadilah. Maksud dari hadis ini ialah al-qurb min Allah. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa ia bermaksud al-shafā‘ah yawm al-qiyāmah .

Dari keterangan di atas memperlihatkan kepada kita bahawa istilah wasilah itu digunakan untuk suatu pengertian yang membawa maksud al-qurbah dan al-wuslah yang bersandarkan kepada firman Allah S.W.T:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dan berjuanglah di jalan Allah S.W.T. (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.

Oleh yang demikian penggunaan istilah al-rābitah, al-wāsitah dan al-barzakh itu hanyalah merupakan beberapa kaedah dan bentuk yang digunakan dalam ilmu dan amalan tasawwuf sebagai wasilah bagi merialisasikan tuntutan Allah S.W.T. yang terkandung dalam firmanNya:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah S.W.T. dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya. Dan bersungguh-sungguhlah di jalan agamaNya agar kamu beroleh kejayaan.

Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni ada menjelaskan bahawa al-rābitah itu sebenarnya adalah salah satu dari cara yang paling afdal (terbaik) untuk berwasilah. Fakta ini telah dijelaskan beliau dengan katanya:
قال الله تعالى: وابتغوا إليه الوسيلة , فإن قيل المراد غير الرابطة قلنا المفهوم عام وإذا ثبت الأمر بطلب الوسيلة , فالرابطة أفضل الوسائل .

Maksudnya:

Telah berfirman Allah S.W.T : Dan hendaklah kamu cari wasilah (jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya)”. Jika ada yang mengatakan bahawa ayat ini bukan membawa maksud kepada makna al-rābitah, maka kami berpendapat bahawa ayat ini membawa mafhumnya yang umum, dan apabila thābit tuntutan untuk mencari wasilah (jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya), maka al-rābitah adalah seafdal-afdal wasā’il untuk tujuan tersebut.

No comments:

Post a Comment