Wednesday, November 18, 2009

Adab-adab al-sālik terhadap syeikh.


3.6.2.1 Adab-adab al-sālik terhadap syeikh.

Menurut keterangan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam kitabnya yang berjudul Tanwir al-Qulub Fi Mu‘āmalat ‘Allām al-Ghuyub menyebutkan bahawa adab-adab yang perlu diperhatikan dan dijaga oleh seorang yang sālik terhadap syeikhnya banyak , namun yang terpenting ialah seorang yang al-sālik tidak boleh sesekali menentang syeikhnya, sebaliknya ia membesarkan kedudukan syeikhnya itu lahir dan batin.

Seterusnya ia tidak boleh memperkecilkan kedudukan syeikh, apalagi mencemuhnya di hadapan atau di belakangnya. Salah satu yang mesti diyakini oleh seorang yang al-sālik ialah segala maksud dalam suluknya hanya akan tercapai kerana didikan dan asuhan daripada syeikhnya.

Oleh sebab itu, jika ia terpengaruh dengan pandangan guru-guru yang lain selain daripada syeikhnya menyebabkan ia akan jauh daripada syeikhnya dan akan gagal menerima limpahan cahaya daripada syeikhnya. Maka sebagai seorang yang bertaraf al-sālik sewajarnya ia memerhatikan dengan bersungguh-sungguh tentang beberapa adab terhadap syeikhnya.

Keadaan ini telah dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi seperti di bawah ini:

a) Seorang yang al-sālik hendaklah menghormati dan menyanjung tinggi syeikhnya pada yang zahir dan yang batin, dengan satu keyakinan bahawa dirinya tidak akan berjaya untuk mencapai cita-cita kerohaniannya kecuali berada di bawah asuhan dan didikan serta pimpinan daripada syeikhnya. Apabila seorang yang al-sālik itu tertarik hati kepada seorang syeikh yang lain maka terhalanglah dirinya itu daripada syeikhnya dan terhentilah limpahan nur ilāhi daripada syeikh tersebut ke atas dirinya.

b) Seorang yang al-sālik hendaklah sentisa menyerahkan diri sepenuhnya zahir dan batin kepada syeikhnya. Sentiasa bersifat taat dan menurut perintah di samping reda terhadap segala apa yang dibuat oleh syeikhnya. Seorang yang al-sālik hendaklah bersedia untuk berkhidmat kepada syeikhnya baik dengan harta mahupun dengan jiwa raga. Semua hal tersebut adalah disebabkan oleh kemahuan yang murni dan perasaan kasih sayang sebenar yang tidak dapat dinyatakan dengan jelas kecuali dengan cara yang tersebut. Malahan niat yang benar dan ikhlas itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan jalan yang demikian itu. Seorang al-sālik mestilah mempunyai keikhlasan hati di samping kerelaan jiwa demi pengorbanan kepada syeikhnya. Selepas itu barulah ia akan mendapat barakah irādah yang murni dan muhibbah. Semua ini akan dianggap sebagai penggerak dalam kehidupan seorang yang al-sālik.

c) Seorang yang al-sālik tidak boleh sama sekali menentang, menolak atau menghalang apa saja yang dibuat oleh syeikhnya, sekalipun perbuatan tersebut pada zahirnya bertentangan dengan hukum syarak yang membawa hukum haram. Sebagai contoh, seorang al-sālik tidak boleh berkata terhadap syeikhnya: Mengapakah tuan guru berbuat demikian? Jika seorang al-sālik berkata demikian terhadap syeikhnya maka ia tidak akan mencapai maksudnya (wusul kepada Allah S.W.T.) untuk selama-lamanya. Penentangan merupakan sikap dan akhlak yang tercela, lebih-lebih lagi apabila diperintahkan oleh syeikhnya. Dalam dispilin ilmu dan amalan tasawwuf ketaatan itu sudah dibaiahkan ketika seorang al-sālik mengambil amalan tersebut daripada syeikhnya. Dengan peraturan dan baiah yang demikian barangkali ramai orang termasuk pemerintah menaruh prasangka dan curiga di samping mengawasi ajaran tasawwuf dan tariqat di negara ini. Kadang-kadang berlaku pada seseorang syeikh itu perkara yang tercela nampak pada zahirnya, tetapi pada batinnya adalah baik, seperti yang berlaku kepada Nabi Khidir a.s ketika bersama-sama dengan Nabi Musa a.s . Kerana itulah setengah ahli tasawwuf bersya’ir seperti berikut:

وكن عنده كالميت عند المغسل يقلبه ما شاء وهو مطاوع
ولا تعترض فيما جهلت من أمره عليه فإن الأعتراض تنازع
وسلم له فيما تراه ولو يكن على غير مشروع فثم مخادع
وفى قصة الخضر الكريم كفاية بقتل غلام والكليم يدافع
فلما أبان الصبح عن ليل سره وسل حسام للمحاجج قاطع
أقام له العذر الكليم وأنه كذلك علم القوم فيه بدائع

Maksudnya:

Engkau di hadapan syeikh seperti mayat di depan orang yang memandikannya.
Sentiasa taat dibalik-balikkan mengikut sekehendak hatinya.
Jangan engkau menentang perintahnya yang engkau tidak mengetahuinya.
Sebab,menentang begitu bererti engkau mencabarnya.
Biarkanlah segala perbuatannya yang engkau lihat.
Meskipun berlainan dengan syariat.
Cukuplah sebagai contoh kisah Khidir membunuh anak desa.
Bagaimana Musa bersungguh-sungguh menghalangnya.
Bila rahsia Khidir jelas terbongkar.
Musa tidak dapat berkata lagi.
Dan cuba meminta maaf daripada Khidir.
Begitulah ada yang menakjubkan ilmu orang sufi.

d) Seorang yang al-sālik tidak boleh mempunyai sebarang keinginan untuk bergaul rapat dengan syeikhnya untuk tujuan dunia ataupun akhirat. Oleh itu pergaulan dengan syeikhnya hanyalah semat-mata untuk menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T.

e) Seorang yang al-sālik hendaklah menghilangkan segala ikhtiarnya kerana berasa cukup dengan ikhtiar syeikhnya, sebahagiannya atau keseluruhannya yang menyangkut soal ibadat ataupun adat kebiasaan hidup. Oleh itu antara tanda-tanda yang menunjukkan seorang yang al-sālik itu bersifat benar ialah jika syeikhnya menyuruhnya masuk ke dalam dapur api nescaya dilakukannya. Walau apapun yang berlaku seorang yang al-sālik tetap memegang teguh ikhtiar syeikhnya. Ia mesti mengakui seorang syeikh itu mempunyai kelebihan tersendiri dalam berikhtiar jika dibandingkan dengan ikhtiar seorang yang al-sālik.

f) Seorang yang al-sālik tidak boleh dengan sengaja mencari-cari rahsia hal keadaan syeikhnya sama sekali. Perbuatan yang sedemikian boleh menyebabkan kecelakaan dan padah pada diri seorang yang al-sālik itu sendiri. Sebagai seorang yang al-sālik seharusnya bersangka baik dengan syeikhnya dalam semua hal dan keadaan.

g) Sebagai seorang yang al-sālik, dia hendaklah sentiasa ingatkan kepada syeikhnya ketika ia berjauhan daripadanya (syeikh). Begitu juga jika syeikhnya itu ada bersama-samanya maka hendaklah ia sentiasa ingatkan dan membayangkan syeikhnya itu dalam hatinya ketika melakukan semua urusannya, baik ketika musafir mahupun tidak, supaya mendapat keberkatan daripada syeikhnya itu.

h) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah merasakan bahawa setiap keberkatan yang telah didapatinya, baik keberkatan di dunia mahupun di akhirat adalah kerana syeikhnya itu. Sebagai contoh seorang yang al-sālik telah mendapat kelebihan daripada Allah S.W.T., atau pertunjuk berupa ilhām atau keistimewaan ijābah, maka tidak boleh mengatakan atau menganggap hal itu disebabkan oleh keupayaan dan barakah daripada dirinya sendiri yang dekat dengan Allah S.W.T. Sebagai menghormati gurunya ia mestilah berkeyakinan bahawa ilhām dan anugerah daripada Allah S.W.T. itu adalah disebabkan oleh keberkatan dan kelebihan daripada syeikhnya itu.

i) Sebagai seorang yang al-sālik, ia tidak boleh merahsiakan atau menyembunyikan daripada syeikhnya sesuatu yang bersifat hāl, lintasan-lintasan hati, kejadian-kejadian, perkara-perkara yang dikashafkan dan kekeramatan yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. semasa di bawah pimpinan daripada syeikhnya itu. Segala sesuatu yang berkait dengan kehidupan seorang yang al-sālik tidak boleh dirahsiakan daripada syeikhnya. Ini merupakan satu adab dan peraturan yang mesti ditaati oleh seorang yang al-sālik.

j) Seorang yang al-sālik itu tidak boleh sengaja menunjuk-nunjuk atau mencari-cari ta‘bir berbagai-bagai kejadian, mimpi dan perkara-perkara yang dikashafkan ke atasnya. Walaupun ia mengetahui dengan jelas ta‘bir perkara-perkara yang tersebut itu, maka tidaklah boleh ia berpegang teguh terhadapnya. Apabila seorang yang al-sālik itu bertanyakan sesuatu kepada syeikhnya maka hendaklah ia bersabar menanti jawapan daripada syeikhnya itu dengan tidak mendesak agar syeikhnya memberikan jawapan yang segera. Begitu juga jika ada seseorang yang bertanyakan sesuatu kepada syeikhnya itu, maka janganlah sekali-kali al-sālik itu memberikan jawapan soalan orang yang tersebut di hadapan syeikhnya.

k) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebar dan menyiarkan rahsia-rahsia syeikhnya, walau dengan apa cara sekalipun.

l) Seorang yang al-sālik tidak boleh mengahwini perempuan yang sudah diketahuinya bahawa syeikhnya sendiri ada hati mahu mengahwininya. Seorang yang al-sālik juga tidak boleh mengahwini bekas isteri syeikhnya, sama ada bercerai hidup atau cerai mati.

m) Seorang yang al-sālik tidak boleh memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada syeikhnya, sekalipun syeikhnya meminta buah fikirannya dalam sesuatu perkara yang mahu dibuat atau ditinggalkannya. Dalam keadaan itu seorang yang al-sālik hendaklah menyerahkan masalah yang dihadapi itu kepada syeikhnya sahaja dengan penuh keyakinan bahawa syeikhnya itu lebih tahu daripada dirinya dalam masalah tersebut dan syeikhnya itu sebenarnya tidak perlu meminta buah fikirannya. Sebenarnya perbuatan syeikh meminta buah fikiran al-sālik itu hanyalah sebagai satu polisi syeikhnya supaya dapat ia menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap para al-sālikin itu sahaja. Bagaimanapun jika ada tanda-tanda bahawa syeikhnya itu memang benar-benar mahukan buah fikiran al-sālik itu maka bolehlah ia memberikan buah fikirannya kepada syeikhnya dengan penuh kesopanan dan ketertiban.

n) Seorang yang al-sālik hendaklah menjaga, mengambil berat terhadap keluarga syeikh sepanjang pemergiannya. Seorang yang al-sālik hendaklah sentiasa berkhidmat dan berbuat baik dengan mengunjungi dan berkhidmat kepada keluarganya. Langkah seorang al-sālik ini merupakan perkara-perkara yang boleh menambahkan lagi kasih sayang syeikh kepada diri al-sālik. Tegasnya dalam hal ini, kedudukan syeikh itu samalah dengan kedudukan para saudara dan kawan atau sahabat. Perlu diingat bahawa seluruh kerja yang dilakukan mesti dengan keikhlasan agar ia akan mendapat limpahan hidayat dan rahmat syeikhnya.

o) Seorang yang al-sālik apabila merasakan dirinya ada sifat ‘ujub dan riyā’ maka hendaklah ia segera berjumpa dan memberitahu kepada syeikhnya hal keadaan tersebut. Dengan berbuat demikian seorang syeikh akan dapat menunjukkan bagaimana cara untuk mengubati penyakit tersebut. Jika hal tersebut disembunyikan maka penyakit yang terdapat pada seorang yang al-sālik seperti al-riyā’ dan al-‘ujub itu akan bertambah subur dan sulit untuk dibuang daripada dirinya.

p) Sebagai seorang al-sālik, hendaklah menghargai setiap pemberian daripada syeikhnya. Setiap barang yang diberikan oleh syeikh kepada seorang yang al-sālik hendaklah dijaga dengan sebaiknya, bahkan jangan sekali-kali ia menjualkan barang pemberian tersebut kepada orang yang lain. Mungkin ada rahsia di sebalik pemberian tersebut yang berupa manfaat di dunia atau di akhirat di samping dapat menghampirkan dirinya kepada Allah S.W.T. di sebalik pemberian tersebut.

q) Seorang al-sālik hendaklah menjaga sifat benar (al-sidq) dalam kesungguhannya mentaati syeikhnya itu. Dalam konteks ini, para mashā’ikh tariqat bersepakat bahawa seorang al-sālik yang benar-benar sempurna ketaatannya kepada syeikh akan mencapai kemanisan ma‘rifatullah dalam dhawqnya, walaupun hanya berada dalam satu majlis sahaja di awal pergaulannya dengan syeikh tersebut.

r) Apabila seorang yang al-sālik menemui dan melihat beberapa kekurangan yang terdapat pada diri syeikh seperti banyak tidur di waktu mendekati subuh atau kurang wara‘nya dan sebagainya lagi maka sesungguhnya terkadang Allah S.W.T. sengaja menjadikan kekurangan tersebut pada diri seorang wali, iaitu ketika seorang wali itu berada dalam keadaan yang ghaflah. Bagaimanapun, selepas itu ia akan ingat dari kelalaiannya dan segera berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai dan mendapatkan apa yang sepatutnya ia capai. Hal ini ada diungkapkan oleh Ibn ‘Atāi’illah al- Iskandari dalam kata-kata hikmahnya yang antara lain menyebutkan:
سبحان من ستر سر الخصوصية بظهور وصف البشرية وظهر بعظمة الربوبية في إظهار العبودية .

Maksudnya:

Maha suci Tuhan yang telah menutup rahsia khususiyyah dengan kelihatan sifat-sifat kemanusiaan. Dan Maha Suci Tuhan yang telah memperlihatkan (kepada hamba-hambaNya) dengan kebesaran ketuhanan dalam memperlihatkan (bekas-bekas) kehambaan manusia.

Semua yang berlaku pada diri syeikh itu adalah dari kehendak dan ketentuan daripada Allah S.W.T. yang bertujuan untuk mendidik dan menunjuk ajar di samping mengasuh para al-sālikin. Dengan pengalaman tersebut, para al-sālikin akan dapat melihat dan menyaksikan kekurangan-kekurangan seperti yang berlaku kepada syeikhnya itu. Dengan demikian tentulah mereka akan dapat melepaskan diri dari kekurangan-kekurangan tersebut pada diri mereka. Kadang-kadang Allah S.W.T memberitahu seorang wali itu menerusi kekurangan-kekurangan yang berlaku pada dirinya, disebabkan kuatnya sifat benar (al-sidq) dalam maqām al-ridā terhadap qadā’ dan qadarnya, atau pun disebabkan oleh lemahnya sifat benar (al-sidq) tersebut. Dengan cara tersebut Allah S.W.T akan memberikan kefahaman kepada para waliNya tentang perubahan ahwāl sifat benar mereka atau sifat dusta mereka kepada Allah S.W.T., agar para awliyā’ itu dapat bersyukur kepadaNya ataupun meminta keampunan daripadaNya apabila mereka menyedari kesalahan tersebut. Oleh itu sebagai seorang yang al-sālik wajiblah ke atasnya menjaga kepercayaannya terhadap kewibawaan syeikhnya itu. Oleh sebab itu sering kita dengar dari kalangan ahli-ahli tasawwuf satu ungkapan tentang hal ini dengan kata mereka:
زلات المقربين رفعة لمقامتهم واستدلوا على ذلك بالاكل من الشجرة

Maksudnya:

Kesilapan dan kegelinciran orang-orang ‘ārifin (kerana melakukan sesuatu kesalahan) itu adalah peningkatan maqam mereka. Hal ini disandarkan kepada peristiwa Adam memakan buah khuldi.

Pandangan dan pendapat ini disandarkan kepada peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa dengan memakan buah larangan. Namun kesalahan tersebut telah diampunkan oleh Allah S.W.T dan disucikan keduanya dari segala dosa.

s) Sebagai seorang yang al-sālik janganlah membanyakkan percakapannya ketika berada di hadapan syeikhnya itu, sekalipun ia dibenarkan berbuat demikian. Sebagai seorang yang al-sālik dia seharusnya mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk dia bercakap-cakap dengan syeikhnya. Oleh itu janganlah ia bercakap dengan syeikhnya kecuali setelah mendapat keizinan daripadanya. Dengan keizinan itupun mestilah dilakukan dengan penuh beradab sopan, khusyuk dan tawādu‘’ tanpa melebih-lebihkan percakapannya tetapi cukup hanya sekadar yang diperlukan sahaja. Jika tidak beradab sopan seperti yang telah dijelaskan di atas, maka seorang yang al-sālik itu diharamkan dari mendapat kurnia dengan terbuka hijāb hatinya. Apabila seorang yang al-sālik itu telah diharamkan dengan yang demikian itu maka ia tidak akan mendapat untuk kali keduanya kecuali hanya segelintir yang memperolehinya.

t) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia meninggikan suaranya apabila berada di hadapan syeikhnya. Kerana dengan berbuat demikian, menurut anggapan ulama tasawwuf merupakan adab yang buruk. Tentu kita masih ingat satu peringatan daripada Allah S.W.T tentang hal ini seperti firmanNya:
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنكَرَ الاَْصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ .

Maksudnya:

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

u) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah duduk dengan cara yang tidak beradab sopan di hadapan syeikhnya dan tidak duduk di atas sajadah yang diduduki oleh syeikhnya itu. Seorang yang al-sālik hendaklah ketika bersama-sama dengan syeikhnya dalam keadaan merendah dan menghinakan dirinya dan sentiasa sibuk untuk berkhidmat dengan syeikhnya itu. Setengah dari kalangan ahli tasawwuf mengatakan berkhidmat dengan syeikh itu sebagai satu amal soleh yang paling afdal.

v) Sebagai seorang yang al-sālik hendaklah bersegera melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh syeikh ke atas dirinya. Sesuatu perintah hendaklah dilaksanakan tanpa menunggu atau menangguh-nangguhkan atau mencuaikannya dengan berehat-rehat atau merasa tenteram sebelum menyelesaikan segala perintah dan arahan daripada syeikhnya.

w) Sebagai seorang yang al-sālik ia hendaklah berusaha untuk menjauhkan segala perkara yang tidak disukai dan digemari oleh syeikhnya. Seorang al-sālik juga tidak boleh melakukan sesuatu yang merendah dan menjatuhkan akhlaknya yang terpuji.

x) Sebagai seorang yang al-sālik, janganlah ia berdamping dengan orang yang tidak disukai oleh syeikhnya di samping mengasihi orang yang dikasihi oleh syeikhnya.

y) Sebagai seorang yang al-sālik hendak sentiasa bersabar apabila tidak dihiraukan oleh syeikhnya. Perlu diingat seorang al-sālik tidak boleh berkata seumpama: Mengapakah syeikh melayan si polan itu begini, sedangkan aku tidak dilayan dengan sedemikian itu?

z) Seorang yang al-sālik tidak boleh menyebarkan kata-kata syeikhnya kecuali setakat yang boleh difahami oleh orang ramai.

No comments:

Post a Comment