Wednesday, November 18, 2009

RĀBITAH AL-SYEIKH.

3.4 RĀBITAH AL-SYEIKH.

Masalah yang berhubung dengan amalan rābitah di kalangan ahli tariqat dan tasawwuf merupakan masalah yang bersifat kontradik yang hangat dibicarakan dan dipersoalkan oleh umat Islam, dahulu dan sekarang, terutama di kalangan mereka yang rasa bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian dan kesucian agama Islam dari tercemar dengan unsur-unsur negatif. Antaranya seperti Jabatan-jabatan Agama negeri dan Pusat Islam sebagai contohnya.

Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, pada tahun 1988 telah memberikan pandangannya mengenai amalan rābitah tersebut seperti yang tersebut di bawah ini:
Perbuatan menggambarkan wajah guru semasa berzikir dan beribadat samalah seperti amalan pengikut-pengikut Nabi Nuh a.s. yang menyembah patung-patung besar mereka iaitu Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr. Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Nuh ayat 23; maksudnya: Dan ketua-ketua mereka menghasut dengan berkata: Jangan kamu meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kamu, terutama penyembahan Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr.

Menurut keterangan dari Ahmad ibn Ahmad al-Sāwi dalam tafsirnya Hāshiyat al-‘Allāmah al-Sāwi ‘Alā Tafsir Jalālayn, antara lain menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi Adam a.s itu mempunyai lima orang anak lelaki, mereka ialah Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr. Mereka merupakan ahli ibadah yang ikhlas hanya kepada Allah S.W.T. Namun pada suatu ketika salah seorang dari mereka telah meninggal dunia. Sedangkan keempat-empat saudaranya sangat-sangat menyayangi dan mengasihinya. Mereka berdukacita di atas kematian tersebut. Dalam keadaan bersedih dan berdukacita ini syaitan telah memainkan peranannya dengan memujuk mereka supaya tidak bersedih dan berduka cita dengan memberikan satu cadangan agar ia (syaitan) melukiskan gambar patung saudara mereka yang telah meninggal dunia itu supaya dapat dijadikan sebagai satu peringatan dan kenangan yang boleh menghilangkan kesedihan dan kedukacitaan mereka. Syaitan telah melakukan segala tipu dayanya sehingga berjaya merupakan sebuah patung yang benar-benar serupa dengan saudara mereka yang telah meninggal dunia itu. Justeru dengan patung tersebut dapatlah mereka menghilangkan kesedihan dan kedukacitaan mereka. Patung ini mereka letakkan dalam masjid. Demikian seterusnya apabila berlaku kematian di kalangan mereka, syaitan akan membuatkan kepada mereka patung lagi yang serupa dengan saudara mereka yang meninggal itu. Akhirnya apabila kelima-lima mereka meninggal dunia maka syaitan telah mengukir kelima-lima patung yang serupa dengan mereka lalu dinamakan dengan Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr.

Semua patung anak Adam tersebut diletakkan di dalam masjid. Sehingga sampai pada satu ketika semua manusia tidak lagi menyembah dan beribadah kepada Allah S.W.T. lalu syaitan berkata:
Mengapa kamu sekelian tidak mempunyai sebarang sembahan yang kamu sembah yang dengannya boleh memenuhi segala kehendak kamu. Lalu manusia bertanya: Wahai syaitan apakah yang perlu kami sembah? Lalu syaitan menjawab dengan katanya: Apakah kamu menyedari bahawa yang kamu sembah sekarang adalah berhala-berhalamu dan berhala orang tuamu pada zaman dahulu. Apakah kamu tidak mengerti bahawa sembahanmu dan sembahan orang tuamu dahulu itu adalah berhala-berhala yang ada di dalam masjid tersebut .

Selepas peristiwa ini seluruh manusia menyembah berhala-berhala tersebut tanpa menyembah Allah S.W.T. Sehinggalah Allah S.W.T. mengutus Nabi Nuh a.s untuk memperbaiki kerosakan akidah kaumnya dengan menasihati dengan katanya: Wahai kaumku hendaklah kamu menyembah Allah S.W.T. dengan seikhlas-ikhlasnya dan janganlah kamu menyembah berhala-berhala itu. Lalu dijawab oleh ketua-ketua dari kaumnya dengan berkata: Janganlah kamu meninggalkan pusat-pusat berhala tersebut kerana dialah yang menjadi sebab (adanya kita semuanya ini) iaitu berhala Wadd, Suwā‘, Yaghuth, Ya‘uq dan Nasr.

Setelah sekian lama semua manusia yang dipimpin oleh Nabi Nuh a.s meninggalkan penyembahan Allah S.W.T, lalu Allah S.W.T. menghancurkan mereka dengan banjir besar yang terkenal itu. Tidak ada yang terselamat kecuali yang beriman dengan Allah S.W.T. dan bersama dengan Nabi Nuh a.s dalam bahteranya.

Situasi dan kondisi seperti itu terus berulang dan berlalu, penyembahan semakin menggila meskipun Allah S.W.T. telah mengutuskan beberapa orang Nabi dan RasulNya sesudah dari Nuh a.s. seperti Nabi Hud a.s, Nabi Saleh a.s., Nabi Daud a.s., Nabi Musa a.s, dan Nabi Isa a.s. Setelah Nabi Isa a.s diangkatkan oleh Allah S.W.T ke sisiNya, manusia masih tetap berada dalam lingkungan dan situasi kekufuran dan kesyirikan terhadap Allah S.W.T, tiada pegangan hidup yang benar yang mereka anuti. Dalam jiwa mereka hanya ada kekufuran dan kemusyrikan. Penyembahan berhala semakin meningkat di kalangan masyarakat sesuai dengan kedudukan masing-masing, yang kaya mengukir emas untuk dijadikan patung manakala yang separuh kaya mengukir perak untuk dijadikan patung sedang yang miskin pula mengukir kayu untuk dijadikan tuhan sembahan. Begitulah meluasnya kegiatan penyembahan berhala bahkan setiap individu membuat berhala sendiri dan disembahnya sendiri.

Gambaran yang diberikan oleh al-Sawi di atas tadi menunjukkan kepada kita rentetan peristiwa penyelewengan manusia dari penyembahan Tuhan Esa kepada penyembahan berhala, bukan persoalan rābitah. Peristiwa tersebut menggambarkan bahawa amalan rābitah tidak ada hubungan dari sudut konsep,ciri-ciri dan kaedah dengan amalan kaum Nabi Nuh a.s. di atas, malahan di antara keduanya tidak mempunyai sebarang kaitan. Rābitah dalam amalan tasawwuf mempunyai konsep, ciri dan kaedah yang tertentu bertepatan dengan hukum syarak, sedangkan amalan kaum Nabi Nuh a.s. seperti yang dibentangkan oleh al-Sāwi di atas tadi jelas perbuatan syirik yang dilarang dalam agama. Untuk mengaitkan amalan orang-orang musyrikin kaum Nabi Nuh a.s. dengan amalan rābitah di kalangan tasawwuf adalah tidak tepat dan menyalahi kaedah dalam Islam.

Selanjutnya Allah S.W.T mengutus rasulNya yang terakhir untuk membersihkan ciri-ciri kekufuran dan kemusyrikan yang sudah sekian lama bertapak di dalam jiwa mereka. Kehadiran Baginda s.a.w adalah penyelamat kepada seluruh umat manusia dan alam ini lantaran syari’at yang dibawanya itu adalah daripada Allah S.W.T. Larangan menyembah berhala mulai dirintis oleh baginda s.a.w. Seluruh umat manusia diperintahkan agar menyembah hanya kepada Allah S.W.T yang Esa, bukan kepada berhala, kerana menyembah berhala bererti mengikut perintah daripada syaitan, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T:
قُلْ أَرَأَيْتُمْ شُرَكَاءَكُمْ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَرُونِي مَاذَا خَلَقُوا مِنْ الاَْرْضِ أَمْ لَهُمْ شِرْكٌ فِي السَّمَاوَاتِ أَمْ آتَيْنَاهُمْ كِتَابًا فَهُمْ عَلَى بَيِّنَةٍ مِنْهُ بَلْ إِنْ يَعِدُ الظَّالِمُونَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا إِلاّ غُرُورًا .

Maksudnya:

Katakanlah (Wahai Muhammad): Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah selain Allah S.W.T.? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah S.W.T.) dalam menciptanya dan mengurus langit? Atau pernahkan Kami memberi sebuah kitab (mengakui mereka menjadi kongsi Kami), maka (dengan itu menjadilah) perkongsian mereka berdasarkan keterangan yang terdapat dari kitab itu? (Tidak ada sesuatu alasanpun) bahkan orang-orang yang zalim itu, terpedaya dengan kata-kata yang di sebutkan oleh setengahnya dari yang lain, kata-kata yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.

Mendengar firman Allah S.W.T. yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w itu, orang-orang kafir dan musyrik tidak dapat memberikan sebarang jawapan terhadap pertanyaan daripada Allah S.W.T itu selain dari pernyataan yang batil. Mereka berkata semua berhala itu dapat memberikan syafaat dan kita menyembah mereka (berhala) hanya sebagai perantara yang boleh mendekatkan kami kepada Allah S.W.T. Pernyataan ini segera dijawab oleh Allah S.W.T dengan firmanNya:
أَلاَ لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلاّ لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Maksudnya:

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah S.W.T. ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah S.W.T. untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata):"Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah S.W.T. sedamping-dampingnya”. Sesungguhnya Allah S.W.T. akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka perselisihkan padanya. Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan,) lagi sentiasa kufur(dengan melakukan syirik).

Secara umumnya ayat di atas dapat kita lihat bahawa orang-orang yang kufur dan syirik itu menjadikan berhala-berhala itu sebagai tempat bergantung dan bersandar di samping suatu keyakinan bahawa berhala-berhala tersebut mempunyai kuasa yang boleh mendatangkan manfaat dan memberikan pertolongan kepada mereka bukannya daripada Allah S.W.T. Dari peristiwa di atas memperlihatkan kepada kita tentang sejarah awal orang-orang yang musyrik dan kufur kepada Allah S.W.T dengan menggunakan pendekatan tawassul dan rābitah yang salah terhadap Allah S.W.T. Persoalannya apakah terdapat suatu keharusan dan kebenaran daripada Allah S.W.T untuk melakukan tawassul dan rābitah di dalam melakukan ibadah terhadapNya?. Persoalan ini perlu kepada penjelasan dan huraian terhadap beberapa peristiwa yang berlaku terhadap umat yang terdahulu bagi memudahkan kita melihat dan menilai dari sudut keharusannya. Antaranya suatu peristiwa yang masyhur ketika Nabi Adam a.s melanggar perintah Allah S.W.T yang termuat dalam firmanNya:
وَقُلْنَا يَاآدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلاَ مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلاَ تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنْ الظَّالِمِينَ

Maksudnya:

Dan Kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa saja yang kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.

Permusuhan yang sudah berputik sekian lama di antara manusia dan syaitan telah di jadikan asas oleh iblis untuk melakukan sesuatu ke atas Nabi Adam a.s. dan isterinya untuk melanggar arahan dan peraturan dari Allah S.W.T tersebut. Dengan demikian iblis telah berusaha menggoda dan memperdaya kedua-duanya seperti yang diterangkan oleh Allah S.W.T dengan firmanNya:
فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ .

Maksudnya:

Setelah itu syaitan telah menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka berdua dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan Kami berfirman: Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mandapat kesenangan hingga suatu masa (mati).

Begitulah lumrah kehidupan manusia sejak dari Nabi Adam a.s sehingga ke hari kiamat, pelanggaran terhadap hukum Allah S.W.T. sentiasa berlaku namun dengan sifat Pengasih dan PenyayangNya, maka Allah S.W.T telah membuka ruang taubat yang begitu luas di kalangan hambanya. Justeru dengan peristiwa tersebut Allah S.W.T. mengajarkan kepada Adam a.s bagaimana untuk memohon keampunan dari Nya. Allah S.W.T. berfirman:
فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ .
Maksudnya:

Kemudian Nabi Adam menerima daripada Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah S.W.T. menerima tawbatnya; sesungguhnya Allah S.W.T., Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihi.

Sebahagian mufassir dan muhaddith memberikan pentafsiran terhadap kata kalimat yang terkandung dalam firman Allah S.W.T tersebut dengan bersandarkan kepada riwayat berikut. Maksud penulis dengan memperhatikan matannya, tentu sahaja akan memperjelaskan lagi maksud dan tujuannya. Al-Tabrāni dalam al-Mu‘jam al-Saghir, al-Hākim al-Naysaburi dalam Mustadrak al-Sihāh, Abu Nu‘aym dan al-Bayhaqi dalam Dalā’il al-Nubuwwah, Ibn ‘Asākirdalam Tārikhnya, al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur serta al-Ālusi dalam Ruh al-Ma‘āni dengan sanad dari ‘Umar bin al-Khattāb menukilkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
لما أذنب آدم الذي أذنبه , رفع رأسه إلى السماء فقال: أسلك بحق محمد إلا غفرت لي . فأوحى الله إليه : ومن محمد؟ فقال: تبارك اسمك , لما خلقت رفعت رأسي إلى عرشك فإذا فيه مكتوب : لا إله إلا الله ومحمد رسول الله .فقلت : ليس أحد أعظم عندك قدرا ممن جعلت اسمه مع اسمك , فأوحى إليه : إنه آخر النبيين من ذريتك, ولو لا هو لما خلقتك.

Maksudnya:

Ketika Adam melakukan dosa, ia mendongakkan kepalanya ke langit dan berkata: Wahai Tuhan! Aku memohon kepadamu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku. Allah S.W.T. mewahyukan kepadanya: Siapakah Muhammad? Adam menjawab: Ketika Engkau menciptakan aku, aku mengangkat kepala ke arah ‘arasyMu dan aku melihat di sana tertulis: Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah S.W.T. dan Muhammad adalah utusan Allah S.W.T. Akupun berkata kepada diriku, bahawa seorangpun tidak ada yang lebih agung daripada orang yang namanya Engkau tuliskan di samping nama Mu. Ketika itu Allah S.W.T. mewahyukan kepadanya: Dialah nabi terakhir daripada keturunanmu dan jika tidak kerananya (Muhammad) nescaya Aku tidak akan menciptakanmu.

Syeikh Ja‘afar al-Subhāni dalam kitabnya al-Wahhābiyyun fi al-Mizān mengulas tentang hadis di atas dengan memberikan beberapa pandangan. Antaranya beliau menjelaskan :
a) Dalam al-Qur’an penggunaan perkataan kalimāt nampaknya merujuk kepada peribadi-peribadi dan zat-zat yang sama sekali bertentangan dengan erti yang berlaku di kalangan kita semua. Sebagai contoh seperti firman Allah S.W.T:
فَنَادَتْهُ الْمَلاَئِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِنْ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنْ الصَّالِحِينَ .

Maksudnya:

Lalu ia diseru oleh Malaikat sedang ia berdiri di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah S.W.T. memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada kalimah daripada Allah S.W.T. dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang nabi daripada orang-orang yang soleh.

Manakala dalam ayat yang lain pula Allah S.W.T berfirman memperihalkan tentang ‘Isā dan ibunya Maryam:
إِذْ قَالَتْ الْمَلاَئِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمِنْ الْمُقَرَّبِينَ .

Maksudnya:

Ingatlah ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Bahawasanya Allah S.W.T. memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan kalimat daripada Allah S.W.T., nama anak itu: al-Masih‘Isā Ibn Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan daripada Allah S.W.T.).

Selanjutnya Allah S.W.T. menjelaskan lagi tentang mereka berdua:
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلاَ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلاّ الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلاَ تَقُولُوا ثَلاَثَةٌ انتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الاَْرْضِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلاً .

Maksudnya

Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah S.W.T. melainkan yang benar, sesungguhnya Al-Masih ‘Isā ibn Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah S.W.T. dan kalimah Allah S.W.T. yang telah disampaikanNya kepada Maryam dan (ia juga tiupan) roh daripada Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah S.W.T. dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (dari mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan kepada kamu.

Dalam ayat yang lain Allah S.W.T menerangkan:
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا .

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad):Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah -kalimah Allah S.W.T. Tuhanku, sudah tentu habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku. Walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.

Dengan isu yang serupa dengan isu di atas Allah S.W.T menjelaskan lagi:
وَلَوْ أَنَّمَا فِي الارْضِ مِنْ شَجَرَةٍ أَقْلاَمٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيم ٌ

Maksudnya:

Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta) dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah S.W.T. itu ditulis. Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

Secara umumnya keseluruhan ayat-ayat al-Qur’an yang diperturunkan di atas mengandungi perkataan kalimāt, justeru apakah yang boleh kita kaitkan dengan perkataan tersebut dalam kontak perbahasan kita di sini? Dari ayat-ayat di atas jelas perkataan kalimāt itu menunjukkan kepada segala ciptaan di dunia ini yang semuanya menunjuk dan mengisahkan kepada pengetahuan dan kekuasaan Allah S.W.T.

Oleh yang demikian boleh kita katakan bahawa maksud yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud; kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah S.W.T. menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah S.W.T. Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang, adalah merujuk kepada peribadi-peribadi yang terhormat (zat-zat yang suci) yang boleh dijadikan sebagai wasilah dan rābitah.

Berdasarkan kepada perbincangan di atas maka dapat kita nyatakan di sini bahawa amalan tawassul dan rābitah itu sebenarnya telah mempunyai asas dan sejarah awal sejak manusia yang pertama lagi. Cuma apa yang perlu diperjelaskan di sini ialah tawassul dan rābitah itu merangkumi dua aspek, iaitu yang dilarang oleh syarak dan satu aspek yang lain pula dibenarkan oleh syarak.

No comments:

Post a Comment