Wednesday, November 18, 2009

SEJARAH RINGKAS AMALAN AL-RĀBITAH.

3.3 SEJARAH RINGKAS AMALAN AL-RĀBITAH.

Seperti yang tercatat dalam sejarah bahawa pengalaman sesetengah daripada para sahabat ketika mereka berada di hadapan Nabi s.a.w. menunjukkan terdapatnya perbezaan jika dibandingkan dengan pengalaman ketika mereka berada jauh daripada Baginda s.a.w. Sebagai contoh, pengalaman yang dialami oleh Hanzalah r.a dan Abu Bakr al-Siddiq r.a. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Hanzalah r.a. dengan katanya:
عن حنظلة رضى الله عنه قال : لقينىأبوبكر رضى الله عنه قال : كيف أنت يا حنظلة ؟ قلت : نافق حنظلة . قال سبحان الله ما تقول ؟ ! قلت : نكون عند رسول الله صلى الله عليه وسلم يذكر بالجنة والنار كأنا رأى عين , فإذا خرجنا من عند رسول الله صلى الله عليه وسلم عافسنا الأزواج والأولاد والضيعات نسينا كثيرا قال أبو بكر رضى الله عنه : فوالله إنا لنلقى مثل هذا .

Maksudnya:

Daripada Hanzalah r.a., ia berkata: Abu Bakr r.a telah menemui aku lalu ia bertanya: Bagaimana (keadaan iman) engkau wahai Hanzalah? Aku pun menjawab: Hanzalah telah munafik. Abu Bakr menjawab: Subhānallāh, apakah yang engkau katakan ini wahai Hanzalah?! Aku berkata: Kita ketika berada di sisi Rasulullah s.a.w., baginda itu mengingatkan kita tentang syurga dan neraka, kita seolah-olah melihat (syurga dan neraka itu) dengan mata kepala kita; bila kita berpisah daripada Rasulullah s.a.w., kitapun sibuk dengan isteri-isteri, anak-anak dan kerja-kerja kita, maka ketika itu kita lupa semuanya (tidak boleh ingat seperti berada di hadapan baginda lagi). Abu Bakr berkata: Demi Allah kamipun mengalami seperti (cerita engkau) ini.

Dari pengalaman dua orang sahabat yang tersebut di atas tadi menjelaskan kepada kita bahawa dengan bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. itu sebenarnya mereka telah mendapat taufik dan hidayah daripada Allah S.W.T. Sehingga dengan taufik dan hidayah tersebut, Allah S.W.T. mengurniakan kepada mereka dengan terbuka hijāb hati dan dapat mushāhadah terhadap hakikat sebahagian dari apa yang telah diajarkan oleh Baginda s.a.w. kepada mereka.

Namun sifat hāl tersebut tidak kekal lama apabila mereka berjauhan dengan Nabi Muhammad s.a.w., malahan mereka terasa sukar mendapatkan kurnia Allah S.W.T. itu. Dari pengalaman yang telah dilalui oleh sahabat itu tadi, maka sesetengah sahabat apabila ia berjauhan dari Nabi Muhammad s.a.w. maka mereka akan cuba sedaya upaya mengingatkan paras rupanya. Bukan sekadar itu tetapi para sahabat tersebut sentiasa teringat-ingat dan terbayang-bayangkan Baginda s.a.w., sentiasa memikir-mikirkan kehidupan dan makan minumnya, sihat atau sakitnya, senang atau susahkah ia, dan sebagainya lagi adalah tanda kasih dan sayang mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Kisah-kisah tentang para sahabat yang menyentuh keadaan itu sememangnya banyak kita temui dalam sirah Rasul s.a.w. yang rasanya tidak perlu untuk diperturunkan di sini. Keadaan tersebut adalah lahir dari sebab keyakinan dan ketergantungan hati para sahabat yang cukup kuat dan kental terhadap Baginda s.a.w., malahan perasaan kecintaan yang tidak berbelah bagi terhadap diri Rasulullah s.a.w itulah yang menyebabkan mereka mencapai maqām yang tinggi di sisi Allah S.W.T. Demikianlah seterusnya, kesinambungan suasana ketergantungan dan kecintaan hati terhadap seseorang yang dekat dengan Allah S.W.T. seperti yang berlaku antara para sahabat dengan Baginda s.a.w., telah diteruskan dalam amalan tasawwuf dengan menjaga suasana hubungan yang baik antara seorang yang bergelar syeikh dengan para muridnya.

No comments:

Post a Comment