Wednesday, November 18, 2009

Al-Rābitah Dari Sudut Istilah

3.2.2 Al-Rābitah Dari Sudut Istilah

Menurut pandangan Syeikh ‘Abd al-Ghāni al-Nāblusi, perkataan al-rābitah dari sudut istilah al-sufiyyah ialah:
ربط المريد قلبه بالشيخ الكامل الذى وصل بروحه وقلبه إلى مقام المشاهدة وتحقق في نفسه بالصفات الذاتية المنسوبة إلى ذات الله تعالى من غير كيف ولا كيفية على التنزيه المطلق .


Maksudnya:

Murid itu menambat atau menggantungkan hatinya dengan seorang syeikh yang kāmil (sempurna atau telah wusul kepada Allah S.W.T.) iaitu syeikh yang roh dan hatinya telah mencapai maqām mushāhadah dan tahqiq (benar-benar ada) di dalam dirinya (diri batinnya) berbagai sifat zat yang dinisbahkan kepada zat Allah Ta’ala, tanpa rupa dan keadaanya, didasarkan kepada kesucian yang mutlak.

Ungkapan beliau di atas jelas menunjukkan makna dan maksud al-rābitah. Perkataan al-rābitah di sini menggambarkan satu keadaan di mana wujudnya cetusan rasa kasih sayang dan perasaan cinta yang mendalam terhadap seorang yang bergelar syeikh atau guru itu. Untuk memperjelaskan lagi hubungan kasih dan sayang di antara keduanya (syeikh dan al-sālik) marilah kita lihat apa yang telah dinyatakan oleh Ustaz Abdullah Abdul Talib seperti yang telah beliau ceritakan kepada Zulkarnain Zakaria seperti berikut:

Kita ni kalau menuntut ilmu, kita mesti beramal. Kerana berkatnya ilmu itu, mesti kita nampak guru kita tu masa kita beramal. Begitulah istimewanya Allahyarham di mata saya. Sehingga sekarang bila saya angkat saja tangan untuk takbir bagi memulakan sembahyang dan kemudian masuk niat, saya mesti terbayangkan wajah Allahyarham. Setiap kali saya hadap tikar sembahyang, seperti dia ada di sebelah. Bila pegang tasbih, nampak muka arwah. Belum pernah satu hari pun saya terlupakan dia (menangis).

Syeikh Husayn Ahmad al-Dawsuri memberikan definisi al-rābitah tersebut dengan katanya:
أن من جالس شخصا سيما إذا كان الجلوس على طريق المحبة والاعتقاد لا بد أن ترسم صورته فى ذهنه , فمهما تذكره تخيل صورته فإن كان الشخص من أحبأ الله فتخيل صورته يدعوا إلى محبته و الشوق اليه ومحبته مطلوبة والشوق إليه محبوب فتخيل صورته محبوب إذ من تصور موصوفا تصور صفاته فإذا كان صفاته محبوبة عند الله فتصوره الموجب لتصور صفاته المحبوبة محبوب , ولا معنى للرابطة سوى هذا .

Maksudnya:

Sesungguhnya sesiapa yang berhubung rapat dengan seseorang, terutamanya jika perhubungan itu dalam suasana kasih sayang dan iktikad (yang baik), sudah pastilah rupa orang itu akan tergambar di dalam ingatannya. Bila ia ingatkan orang itu maka tergambarlah rupanya. Jika orang yang tersebut dari kalangan orang-orang yang dicintai Allah S.W.T. , maka menggambarkan rupanya (dalam ingatan) itu akan mendorongkan untuk mencintai Allah S.W.T. dan rindukanNya. Mencintai Allah S.W.T. itu sememangnya dituntut dan rindu kepada Allah S.W.T. itu adalah (merupakan sifat) yang dikasihi. Oleh itu menggambarkan orang yang tersebut itu juga adalah (merupakan sifat) yang dikasihi juga kerana sesiapa yang menggambarkan (rupa) seseorang maka akan tergambarlah sifat-sifatnya. Jika sifat-sifat orang itu dikasihi di sisi Allah S.W.T. maka menggambarkan rupanya yang boleh memestikan tercapainya gambaran sifat-sifatnya itu adalah merupakan (perbuatan) yang dikasihi (oleh Allah S.W.T.) juga. Tidaklah ada makna rābitah itu kecuali (yang tersebut) ini.

Terdapat sebahagian daripada ulama tasawwuf memberikan definisi al-rābitah.

تعلق قلب المريد بشيخه على وجه المحبة
Maksudnya:

Menggantungkan hati murid dengan syeikhnya di atas dasar kasih dan sayang.

Apabila seorang al-sālik tidak berada di samping syeikhnya, kerana berjauhan atau kematian tentu sahaja dia akan teringatkan syeikhnya itu. Apabila ingatan itu terjadi yang pastinya rupa syeikhnya itu juga akan terbayang dalam ingatan atau khayalannya. Jika seorang itu telah jatuh kasih sayangnya (jatuh cinta) dengan seorang perempuan, tentu sahaja ia akan terbayang-bayang dan teringatkan orang yang dikasihi itu, sedang yang diharapkan hanyalah tubuh badannya sahaja. Oleh yang demikian apatah lagi bagi seorang yang al-sālik itu yang menaruh harapan sepenuhnya terhadap asuhan, didikan dan bimbingan daripada syeikhnya yang bakal dapat menyempurnakan kehidupan rohaniahnya sudah tentulah keadaan ini lebih hebat jika dibandingkan dengan cinta kepada seorang perempuan itu. Kalau kita lihat dan teliti segala peristiwa ini tentu dapat kita menukilkan beberapa peristiwa yang berlaku di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang menggambarkan hubungan kasih dan sayang ini, di antaranya ialah satu peristiwa yang berlaku kepada Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang dilaporkan kepada kita oleh Imam al-Bukhāri:
إن أبا بكر الصديق اشتكى إلى النبى صلى الله عليه وسلم عدم انفكاكه عنه حتى كأنه يراه فى بيت الخلأ.

Maksudnya:

Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah mengadu kepada Nabi s.a.w tentang (pengalamannya yang mana beliau) terasa tidak bercerai daripada Nabi sehingga di dalam bilik air pun dia masih seolah-olahnya melihat wajah Nabi itu.

Manakala menurut pandangan Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni al-Khālidi dalam kitabnya antara lain menyatakan:
الطريقة الثانية : الرابطة وهي طريقة مستقلة للوصول وعبارة عن ربط القلب بالشيخ الواصل إلى مقام المشاهدة التى تحقق بالصفات الذاتية وحفظ صورته فى الخيال ولو بغيبته فرؤيته بمقتض " الذين إذا رؤا ذكر الله .

Maksudnya:

Jalan yang kedua:
al-Rābitah merupakan satu jalan yang tersendiri untuk mencapai tahap al-wusul. Suatu keadaan di mana seorang al-sālik menambatkan hatinya dengan syeikhnya yang telah mencapai maqām al-mushāhadah. Dan tahqiq (benar-benar adanya) di dalam dirinya (diri batinnya) dengan sifat al-dhātiyyah. Dan hendaklah murid itu mengingati rupa gurunya (syeikhnya) di dalam khayalannya sekalipun pada waktu ketiadaannya (syeikhnya) Melihat dan menggambarkan ini adalah sesuai dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w: Mereka yang dipandang maka orang yang memandang itu akan ingat kepada Allah S.W.T.

Menurut pandangan ‘Abd al-Mājid bin Muhammad al-Khāni pula, al-rābitah itu seperti yang beliau nyatakan sebagai:
وهى أن يستحضر المريد صورة شيخه الكامل المشهود بالوصول إلى مقام الفنأ والبقأ الاتمين مستمدا من روحانيته وأنواره .

Maksudnya:

Al-Rābitah itu ialah seorang yang al-sālik menghadirkan atau membayangkan rupa guru syeikhnya yang kāmil yang telah wusul ke maqām al-fanā` dan al-baqā` dengan berpegang kepada rohaniah dan cahayanya.

Rasa kasih sayang, hormat, taat, sangat memerlukan bimbingan dan asuhan daripada syeikhnya itu antara sebab yang mendorong seorang yang sālik sentiasa teringat dan terbayang-bayang rupa wajah syeikhnya. Semua keadaan tersebut adalah konsep paling asas yang menjadi dasar kepada amalan al-rābitah yang dianggap sebagai ciri penting dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Disiplin ini telah diakui dan ditegaskan kepentingannya oleh para ulamak tasawwuf sendiri.

Dari beberapa definisi al-rābitah yang telah disebutkan di atas tadi memperlihatkan dengan jelas kepada kita tentang hakikat daripada hadis Baginda Rasulullah s.a.w tentang ihsān seperti yang disabdakannya:
أن تعبد الله كأنك تراه .

Maksudnya:

Jika kamu menyembah Allah S.W.T., maka sembahlahlah seolah-olah kamu melihatNya.

Hadis di atas memerintahkan kepada kita agar setiap pengabdian itu hendaklah dilakukan seolah-olah kita berhadapan dan melihat Allah S.W.T. Kenyataan ini lebih jelas dengan penggunaan kalimah كأنك yang melambangkan maksud seolah-olah atau seakan-akan. Dari kenyataan tersebut tentu dapat membantu kita dalam memahami kalimah كأنك تراه . Kerana apa yang cuba digambarkan dalam hadis tersebut ialah satu suasana atau keadaan di mana rohaniah seseorang itu merasakan seolah-olah atau seakan-akan melihat Allah S.W.T., bukan dalam erti berhubung yang membawa maksud ittisāl, atau apa jua yang melibatkan perhubungan yang bersifat jasmaniyyah, namun apa yang cuba dikemukakan di sini ialah rohaniah yang menjadi hakikat kemanusiaan itu sebenarnya boleh mencapai ke tahap kesempurnaan sehingga mencapai ke maqām ihsān itu. Justeru kerana itu, amalan al-rābitah ini ialah satu amalan yang cuba menjelaskan tentang konsep كأنك تراه yang tersebut dalam hadis itu tadi. Dengan konsep al-rābitah itu juga seorang yang al-sālik akan dapat merasa-rasakan melihat Allah S.W.T. dengan penglihatan batin yang bersifat al-shuhudiyyah seperti yang dikehendaki oleh hadis Rasulullah s.a.w itu tadi.

Oleh itu para ulamak tariqat dan tasawwuf telah menjelaskan kepada kita tentang apa yang dimaksudkan dengan al-rābitah itu dengan kata mereka:
فالرابطة عند أهل الطريقة هى الخلا الحميدة والآداب الشريفة التي تربط قلب العبد على الحضور فى حضؤر الحق تعالى بما ينبغى له من كمال المحبة والتقديس والتنزيه. أو حضرة الرسول صلى الله عليه وسلم أو حضرة ورثته الكامل المرشدين ( الذين إذا رؤوا ذكر الله تعالى )

Maksudnya:

Al-Rābitah yang diamalkan di kalangan ahli tariqat itu ialah sifat yang terpuji dan sebahagian dari adab-adab al-syari’at. Amalan ini boleh mengikat hati seorang al-sālik agar hudur dengan hadirat Allah S.W.T dengan sesuatu yang sesuai dengan sifat Allah S.W.T seperti kesempurnaan mahabbah, taqdis dan tanzih. Atau hudur ke hadirat Rasul s.a.w atau hudur dengan para pewaris Rasulullah s.a.w yang bersifat dengan sifat kesempurnaan dan yang memberikan petunjuk: Mereka yang dipandang maka orang yang memandang itu akan ingat kepada Allah S.W.T.

Dari beberapa buah definisi al-rābitah yang telah dikemukakan di atas, dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan tentang bentuk dan ciri-ciri penting yang membentuk konsep al-rābitah tersebut. Antara ciri-ciri penting itu ialah:

1- Rasa kasih sayang yang mendalam daripada seorang sālik atau murid terhadap guru/syeikhnya.
2- Kesan daripada hubungan yang mendalam tersebut menyebabkan hati sālik atau murid tersebut sentiasa ingatkan guru atau syeikhnya.
3- Apabila seorang yang sālik atau murid sentiasa ingatkan kepada guru atau syeikhnya, maka pada saat itu akan terbayanglah rupa gurunya dalam khayalan atau ingatannya.
4- Syeikh yang dijadikan tempat pergantungan itu adalah di kalangan mereka yang telah sampai ke maqām mushāhadah dan bersifat dengan sifat al-kāmil dari sudut ma‘rifah dan takwanya.
5- Antara maksud dan tujuan kasih dan sayang seorang murid atau sālik terhadap guru atau syeikh tersebut ialah agar dia (sālik) turut dikasihi oleh Allah S.W.T disebabkan dia (sālik) mengasihi orang yang dicintai dan dikasihi oleh Allah S.W.T.

Dari berbagai fakta yang telah dihuraikan di atas tadi, maka dapatlah kita menyimpulkan di sini bahawa al-rābitah itu merupakan satu amalan di mana seorang yang sālik sentiasa membayangkan rupa guru atau syeikhnya dalam semua situasi seperti yang telah disebutkan oleh al-Khāni dengan katanya:
فالواجب عليه أن يشهد شيخه ويصور صورته حتى يمد من الله تعالى بسبب تعظيم صورة شيخه الممد منه تعالى ويبقى على ذلك حتى يحصل له الفتح .

Maksudnya:

Maka menjadi satu kewajipan bagi seorang yang sālik itu menyaksikan syeikhnya dan membayangkan rupanya sehingga Allah S.W.T. melimpahkan kurniaNya kepada kamu dengan sebab kebesaran dan kemuliaan yang Allah S.W.T. telah kurniakan kepada rupa guru itu. Maka hendaklah mengekalkan perbuatan tersebut (menggambarkan rupa syeikh itu) sehingga Allah S.W.T. membukakan kepadanya dengan berbagai limpahan yang bersifat Ilahi.

Amalan ini (rābitah) merupakan wasilah bagi memudahkan seorang yang sālik atau murid itu menerima limpahan nur hidāyah dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Amalan ini khas bagi seorang sālik atau murid yang sukar untuk mendapatkan limpahan nur hidāyah dan kecintaan daripada Allah S.W.T. kecuali dengan melakukan al-rābitah. Namun bagi mereka yang tidak memerlukan amalan rābitah bagi tujuan untuk mendapatkan limpahan nur hidāyah dan kasih sayang daripada Allah S.W.T., maka tidaklah perlu baginya untuk berbuat demikian. Malahan wajib bagi sālik atau murid itu meninggalkan amalan tersebut bagi mengelakkan dirinya berada pada maqām al-nuzul dari maqām al-taraqqi. Hal ini telah diterangkan oleh Syeikh Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni dengan katanya:
اعلم أن المريد إنما يحتاج الى الرابطة إن لم يقدر على الاستفاضة من الله تعالىn من غير واسطة فان قدر عليها يجب عليه ان يترك الرابطة لأن الاشتغال بالرابطة حينئذ اعتبار التنزل عن التراقى وترجيح مرتبة الحجاب على مقام الشهود وذلك اعراض عن الله تعالى .

Maksudnya:

Ketahuilah bahawasanya seorang murid itu memerlukan amalan rābitah jika sekiranya murid itu tidak boleh mendapatkan limpahan (rahmat dan hidayat) daripada Allah S.W.T. tanpa wāsitah (perantaraan). Maka sekiranya murid itu boleh mendapatkan limpahan tersebut tanpa wāsitah, maka wajiblah ke atasnya meninggalkan amalan rābitah itu, kerana penumpuan terhadap rābitah pada ketika itu dianggap sebagai proses menurun dari proses menaik dan juga sebagai perbuatan melebihkan martabat hijāb dari maqām shuhud. Yang demikian itu adalah merupakan perbuatan berpaling daripada Allah S.W.T.

Dalam perbincangan ini perlu rasanya penulis mengingatkan bahawa ketika melakukan amalan rābitah tersebut, seorang murid atau sālik janganlah ada niat di dalam hatinya untuk meminta pertolongan apa-apa daripada syeikhnya itu, atau meyakini apa juga keyakinan yang menganggap bahawa guru atau syeikhnya itu berupaya memberikan sesuatu yang dihajatinya. Namun apa yang perlu dilakukan di sini ialah seorang yang sālik itu hanya berharap kepada Allah S.W.T. semata-mata dengan keberkatan daripada syeikhnya itu, ia juga akan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T. dengan dikasihi Nya di samping mendapat limpahan rahmat daripadaNya. Dalam konteks ini agak mudah untuk kita jelaskan bahawa terdapat banyak dalil daripada al-Qur’an tentang amalan mendapatkan keberkatan itu seperti yang telah dilakukan oleh orang yang terdahulu. Antaranya Allah S.W.T merakamkan dengan berfirman:
اذْهَبُوا بِقَمِيصِي هَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ .

Maksudnya:

Pergilah kamu dengan membawa baju gamisku ini, lalu letakkan dia ke wajah ayahku, nanti ia akan melihat kembali. Dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya.

Selanjutnya Allah S.W.T. berfirman:
فَلَمَّا أَنْ جَاءَ الْبَشِيرُ أَلْقَاهُ عَلَى وَجْهِهِ فَارْتَدَّ بَصِيرًا قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ مِنْ اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ .

Maksudnya:

Tatkala telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju gamis itu ke wajah Ya‘qub, lalu kembalilah penglihatannya .

Ayat di atas menunjukkan tentang keharusan melakukan tabarruk, yang jelas dalam ayat tersebut bahawa pulihnya penglihatan Nabi Ya‘qub a.s. itu adalah urusan daripada Allah S.W.T., Dialah yang memilik sifat مؤثر terhadap sesuatu, sedang bertabarruk dengan baju Yusuf a.s. itu hanyalah sebahagian dari bentuk wasilah untuk mencapai maksud pemulihan tersebut.

Amalan rābitah adalah disandarkan kepada sumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Perasaan kasih sayang, hormat, taat, memerlukan bimbingan dan asuhan daripada syeikhnya dan sebagainya, adalah antara sebab yang mendorong seorang yang sālik atau murid itu sentiasa teringat dan terbayangkan syeikhnya. Itulah asas yang membina konsep amalan al-rābitah yang dianggap sebagai satu ciri terpenting dalam amalan tasawwuf dan tariqat. Hal ini telah diperakukan oleh para ulama tasawwuf itu sendiri. Malahan ulama tasawwuf mengakui bahawa amalan al-rābitah itu adalah amalan yang sah di sisi syariat dan bukannya amalan bidaah seperti yang telah didakwa.

No comments:

Post a Comment