Wednesday, November 18, 2009

Kedudukan al-Sālik

3.6.2 Kedudukan al-Sālik

Seperti yang telah dinyatakan di atas tadi bahawa perkataan atau istilah al-rābitah itu sukar untuk diperjelaskan jika tidak kita bincangkan terlebih dahulu beberapa aspek yang mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan penggunaan istilah ini. Antaranya ialah syeikh yang telah kita hurai dan bincangkan di atas tadi. Selanjutnya kita cuba pula menghurai dan membincangkan topik kedua yang sangat penting dan berkait rapat dengan istilah al-rābitah itu. Persoalan yang kita maksudkan di sini ialah al-sālik.

Dalam institusi sebuah perkumpulan tariqat atau tasawwuf, selain daripada seorang yang bertaraf al-syeikh al-murshid, terdapat satu kumpulan lain bertaraf pengikut yang dikenali sebagai al-sālik atau al-murid atau al-sā’ir. Semua istilah-istilah ini membawa maksud yang sama, iaitu pengikut kepada sesuatu aliran tariqat atau tasawwuf. Mereka ini adalah satu kumpulan yang memerlukan ilmu pengetahuan, petunjuk dan bimbingan dalam segala amal ibadatnya. Mereka terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan, sama ada yang belum dewasa ataupun yang sudah lanjut usianya.

Kumpulan yang dikenali sebagai al-sālik ini bukan hanya terbatas kewajipannya mempelajari segala sesuatu yang diajarkan atau melaksanakan segala sesuatu yang dilatih guru kepadanya , namun dari segi kedudukan mereka sebagai seorang al-sālik, mereka dikehendaki mematuhi beberapa adab dan akhlak yang ditentukan ke atasnya. Sama ada adab terhadap syeikh, mahupun terhadap dirinya dan adab serta akhlak terhadap rakan-rakan setariqat dan sesama mukmin yang lainnya. Semua yang berkaitan dengan adab ini akan diperhatikan oleh seorang syeikh kerana dengan keperibadian al-sālik tersebut akan menentukan kejayaan atau sebaliknya perjalanan tariqat yang dilaluinya.

Pelajaran-pelajaran sufi dan latihan-latihan dalam disiplin tariqat akan kurang faedahnya, jika pelajaran dan latihan itu tidak berkesan kepada perubahan akhlak dan budi pekerti al-sālik itu.

Oleh yang demikian kita sering menemukan beberapa judul kitab yang dikarang oleh tokoh-tokoh pengamal disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dengan menggunakan istilah-istilah seperti Siyar al-Sālikin, Hidāyat al-Sālikin yang kedua-duanya ditulis oleh ‘Abd al-Samad al-Palimbāni. Begitu juga dengan kitab Diyā’al-Murid dan sebagainya lagi. Semua kitab-kitab ini menggunakan istilah-istilah di atas sebagai judul karangan mereka, tentunya pemilihan judul ini adalah bertepatan dengan isi kandungan kitab-kitab tersebut yang mengolah dan mengatur kehidupan seorang yang al-sālik dalam menjalani suluknya.

Apabila kita membicarakan soal kedudukan seseorang yang al-sālik di hadapan seseorang yang bertaraf syeikh, secara langsung tentu sahaja akan melibatkan soal adab seorang al-sālik terhadap gurunya yang bergelar syeikh itu. Justeru sering kita dengar dan kita lihat kumpulan yang dinamakan al-sālik ini benar-benar menyanjung tinggi martabat serta kehormatan seorang syeikhnya. Mereka benar-benar takut dan taat terhadap syeikh, sama ada di hadapan mahupun di belakangnya. Bagi seorang yang al-sālik, mengkhianati atau membantah seorang guru yang memberikan pelajaran dan petunjuk adalah tindakan yang tercela dan dosa. Justeru dengan kerananya akan menghalang perjalanan seorang yang al-sālik ke hadirat Allah S.W.T.

Dengan keterangan di atas dapat kita katakan bahawa antara tujuan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf itu ialah untuk menanamkan penghayatan syariat ke dalam diri seorang yang sālik dengan pemerhatian oleh seorang yang bergelar syeikh. Dalam konteks ini peranan syeikh adalah bertujuan untuk memantau agar hasil dari didikan itu berkesan dalam jiwa para al-sālikin. Antara ukuran yang digunakan sama ada didikan itu berkesan atau sebaliknya dapat dinilai melalui keluhuran akhlak dan budi pekerti serta adab kesopanan dalam kehidupan harian terhadap syeikh, diri, para sahabat setariqat dan seterusnya adab sesama umat Islam seluruhnya.

No comments:

Post a Comment