Tuesday, October 6, 2009

Pembalasan Had Zina.

Di sini saya Huraikan semula Pembalasan Had Zina.

Pembalasan yang diperuntukkan terhadapa penzina, samada lelaki ataupun perempuan, samada yang belum muhsan (berkahwin) atau yang sudah muhsan. Kalau kita menyoroti kembali sejarah perkembangan pembalasan ke atas penzina, kita dapati pada permulaan Islam, ia berupa penahanan di dalam rumah-rumah dan tindakan yang menyakitinya samada dengan kata-kata atau sebat. Pembalasan sebegini adalah berdasarkan kepada firman Allah: surah An-Nisa ayat 15,


وَٱلَّـٰتِى يَأۡتِينَ ٱلۡفَـٰحِشَةَ مِن نِّسَآٮِٕڪُمۡ فَٱسۡتَشۡہِدُواْ عَلَيۡهِنَّ أَرۡبَعَةً۬ مِّنڪُمۡ‌ۖ فَإِن شَہِدُواْ فَأَمۡسِكُوهُنَّ فِى ٱلۡبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّٮٰهُنَّ ٱلۡمَوۡتُ أَوۡ يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً۬ (١٥)


yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu)."
(An-Nisa,15)

Ayat di atas dengan jelas menunjukkan satu jenis pembalasan yang hanya diperuntukkan terhadapa penzina perempuan sahaja, iaitu pengajaran di dalam rumah sehingga mati. Tetapi oleh kerana ia hanya menetapkan pembalasan ke atas kaum perempuan sahaja, maka akibatnya bilangan penzina lelaki kian bertambah, lalu diturunkan pula ayat berikutnya yang khusus tentang pembalasan terhadap kaum lelaki yang berzina pula, firman Allah, surah An-Nisa , ayat 16 :


وَٱلَّذَانِ يَأۡتِيَـٰنِهَا مِنڪُمۡ فَـَٔاذُوهُمَا‌ۖ فَإِن تَابَا وَأَصۡلَحَا فَأَعۡرِضُواْ عَنۡهُمَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ ڪَانَ تَوَّابً۬ا رَّحِيمًا (١٦)

Yang bermaksud:
"Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya."
(An.Nisa,16)

Jelas dari ayat di atas bahawa kaum lelaki yang berzina samada muhsan atau tidak, akan disakiti dengan kata-kata yang memburukkan dan memalukan mereka, atau kata-kata kesat serta hubungan yang tidak mesra, atau mencaci cela serta memukul mereka dengan sandal.

Kemudian pembalasan di atas ditukar kepada pembalasan sebat dan buang daerah ke atas penzina yang belum muhsan dan pembalasan rejam sampai mati (samada bersama-sama sebat seratus kali atau tidak) ke atas penzina yang telah muhsan. Perubahan ini berlaku disebabkan oleh turunnya firman Allah yang memansuhkan pembalasan sebelumnya, iaitu: surah An-Nur , ayat 2:


ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬‌ۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ وَلۡيَشۡہَدۡ عَذَابَہُمَا طَآٮِٕفَةٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ (٢)

Yang bermaksud:
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."
(An-Nur,2)

Dan firman Allah di dalam sepotong ayat yang telah dimansuhkan bacaannya : bermaksud,
"lelaki tua dan perempuan tua, apabila mereka berzina maka kamu rejamlah kedua-dua mereka sebagai satu amaran daripada Allah".
(Riwayat Ibn Majah, 2:854.)

Rasulullah SAW telah bersabda:yang bermaksud,
"Ambillah daripada saya, sesungguhnya Allah telah mengadakan jalan keluar untuk mereka (iaitu perempuan-perempuan yang berzina), jika dara dengan teruna maka disebat seratus kali dan dibuang daerah selama setahun, jika janda dengan duda maka sebat seratus kali dan direjam dengan batu." (Hadith di Riwayatkan Muslim, 11:190, Abu daud, 12:93, Al- Tirmidhi, 4:705 dan Ibn Majah, 2:853)

Itulah tiga bentuk pembalasan (iaitu sebat, rejam dan buang daerah) yang kekal sehingga hari ini sekalipun terdapat pandangan yang kurang sihat daripada sebahagian orang yang menganggap ketiga-tiganya sebagai pembalasan paling kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak layak dilaksanakan pada zaman bertamadun ini. Hukum Allah tetap milikNya,kita hanyalah hamba-hamba yang wajib mematuhi kehendak dan suruhanNya.

Sebarang pandangan yang singkat tidak harus dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan hukum-hukum Allah. Tujuan diadakan pembalasan di dalam Jenayah Zina ialah untuk mengawal keturunan manusia daru bercampur aduk dan mengawal kehormatan mereka dari tercemar.[1]


[1] 'Abd al-Qadir 'Audah, al-Tashri' al-Jinai al-Islami, 2:379, 380; Dr Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh,6:38.

No comments:

Post a Comment