Saturday, January 9, 2010

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.


4.3.5 Firman Allah S.W.T.:


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ .

Maksudnya:

Katakanlah wahai Muhammad! Jika sekiranya kamu mengasihi Allah S.W.T., maka hendaklah kamu ikut aku, nescaya Allah S.W.T. akan mengasihi kamu.

Ayat di atas secara umumnya dikaitkan oleh ulamak tasawwuf dengan amalan al-rābitah. Malahan ayat tersebut dijadikan sandaran terhadap keharusan amalan al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Antara beberapa sebab yang dikira wajar oleh ulamak tasawwuf untuk menyandarkan keharusan amalan al-rābitah dengan ayat di atas sebagai berikut:

1- Merujuk Kepada Konsep Fattabi‘uni.
Ayat di atas mengandungi perintah dari Allah S.W.T., melalui lisan Nabi Muhammad s.aw. dengan ungkapan Fattabi‘uni bermaksud: Ikutilah akan daku yang ditafsirkan oleh al-Ālusi dengan katanya:

أو من مجاز النقص أى إن كنتم تحبون طاعة الله تعالى أو ثوابه فاتبعونى فيما آمركم به عنه. كذا قيل.

Maksudnya:

Atau dari bab majāz al-Naqs iaitu: Jika sekiranya cintakan ketaatan kepada Allah S.W.T., atau pahala daripadaNya, maka hendaklah kamu sekalian mengikuti daku dari apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada kamu dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang olehNya. Demikian apa yang telah dikatakan.

Dari keterangan yang diberikan oleh al-Ālusi di atas tadi, jelas kepada kita bahawa, untuk mendapat dan merasakan mahabbah terhadap Allah S.W.T. itu mestilah dengan cara mengikuti Nabi s.a.w. dalam segala urusan yang berkaitan dengan suruhan dan larangan daripada Allah S.W.T. Persoalannya di sini ialah bagaimana kita hendak merealisasikan konsep ittibā‘ tersebut. Dari ungkapan fattabi‘uni, sebahagian besar ulamak tasawwuf mentafsirkan kalimah tersebut kepada maksud al-rābitah. Fakta ini berdasarkan kepada suatu keyakinan bahawa konsep al-ititbā‘ dalam ayat tersebut membawa pengertian ru`yat al-matbu‘ iaitu melihat kepada yang diikuti secara zahir mahupun batin. Hal ini telah diterangkan oleh al-Khāni dalam kitabnya al-Bahjah al-Saniyyah dengan katanya:

ففيه اشارة الى الرابطة لأن الأتباع يقتضى رؤية المتبوع حسا أو تخيله معنى وهو غرضنا من الرابطة .

Maksudnya:

Maka dalamnya mengisyaratkan kepada makna al-rābitah, kalimah ittibā‘ itu sendiri membawa pengertian ru`yat al-matbu‘ (melihat yang diikuti) sama ada secara zahir mahupun dengan cara menghadirkan makna (batin). Dan inilah yang kami maksudkan dengan al-rābitah itu. Jika tidak demikian maka ia tidak dikira sebagai matbu‘ .

Berdasarkan kepada kenyataan al-Khāni di atas, menunjukkan kepada kita bahawa hubungan yang bersifat ruhāniyyah itu nampaknya begitu penting dan sangat berperanan dalam membimbing seorang yang sālik menuju hadirat Allah S.W.T. Dengan menggunakan kaedah yang berkonsepkan al-rābitah tersebut, hubungan ruhāniyyah ini akan dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Dengan demikian perintah fattabi‘uni itu secara langsung dapat disempurnakan dari sudut zahirnya dengan mengikut dan melaksanakan segala suruhan dan larangan, manakala dari sudutnya yang batin pula dapat dilaksanakan dengan melakukan al-rābitah.

2- Merujuk Kepada Konsep Mahabbah
Ayat al-Qur’an di atas juga memberikan satu gambaran yang jelas kepada kita bahawa untuk mendapatkan sifat mahabbah terhadap Allah S.W.T., seseorang itu hendaklah mengikut jejak Rasulullah s.a.w. dari sudut zahir dan batin. Sedang hakikat al-hubb itu ialah wujudnya sifat al-‘alāqah al-rābitah dalam diri seseorang yang sālik. Tanpa sifat ini, adalah sukar bagi seseorang yang sālik untuk mencapai sifat mahabbah seperti yang dituntut dalam ayat di atas. Fakta ini dapat diperjelaskan lagi menerusi keterangan Muhammad Husayn al-Tabā`tabā’i dalam tafsirnya al-Mizān, antara lain menyebutkan dengan katanya:

والحب في الحقيقة هو العلقة الرابطة التي تربط أحد الشيئين بالآخر .

Maksudnya:

Dan sifat mahabbah itu hakikatnya ialah al-'alāqah al-rābitah (ketergantungan dan keterikatan) yang menghubungkan antara satu dengan yang lain.

Dari keterangan yang diberikan oleh al-Tabā’tabā’i di atas tadi jelas bahawa amalan al-rābitah tersebut adalah aspek terpenting bagi seorang yang sālik untuk membolehkannya mencapai maqām al-mahabbah dalam perjalanannya menuju ke hadirat Allah S.W.T. Jika dilihat dari sudutnya yang zahir, kita diperintahkan supaya mengikuti jejak Nabi Muhammad s.a.w. untuk mencapai maqām mahabbah tersebut, manakala dari sudut ruhāniyyah pula, amalan al-rābitah berfungsi sebagai wasilah untuk mencapai maqām tersebut.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada dua konsep yang terkandung dalam ayat al-Qur’an, surah Āli 'Imran di atas, para ulamak tasawwuf melalui disiplin ilmu dan amalan tasawwuf telah menentapkan amalan al-rābitah adalah salah suatu aspek penting yang menyumbang kepada kejayaan bagi seorang sālik untuk mencapai wusul ilā Allah S.W.T. Hal ini telah dinyatakan oleh al-Qādiri dalam kitabnya Madārij al-Haqiqah antara lain menyebutkan:

ولهذا عمد أئمة الطريقة الى تكليف السالكين بتصور المرشد الأعظم , صلى الله عليه وسلم , وتصور المشايخ المرشد, الورثة المحمديين , وتخيلهم للاستفادة من تلك الأسرار , والاستنارة من تلك الأنوار , لحفظ الحال والترقى الى الكمال .

Maksudnya:

Berdasarkan kepada pentingnya amalan al-rābitah tersebut, maka ulamak-ulamak tariqat telah menetapkan kepada para sālikin agar menghadirkan murshid al-a'zam Baginda s.a.w. dan menggambarkan mashāyikh al-murshidin yang mewarisi ajaran Muhammadiyyah, dan mengkhayalkannya bagi mendapatkan faedah dari rahsia-rahsia tersebut. Di samping mendapatkan cahaya bagi menjaga al-hāl dan peningkatan (al-Taraqqi) ke arah kesempurnaan.

Secara keseluruhan dari dalil-dalil yang telah dikutip melalui sumber al-Qur’an, seperti yang telah dibentangkan di atas tadi adalah merujuk kepada tafsirannya yang bersifat ishāri. Tafsiran seumpama ini telah pun diakui sah dan benar oleh kebanyakan ulamak Islam. Hal ini dinyatakan oleh al-Taftazāni, beliau menyebutkan:
وأما ما يذهب اليه بعض المحققين من أن النصوص على ظواهرها , ومع ذلك ففيها ءا شارات خفية ءالى دقائق تنكشف لأرباب السلوك يمكن التوفيق بينهما وبين الظواهر المرادة فهو من كمال الاءيمان ومحض العرفان .

Maksudnya:

Dan adapun pandangan yang dibuat oleh sesetengah golongan muhaqqiqin bahawa nas-nas al-Qur’an itu (yang dimaksudkan) ialah zahirnya. Walaupun demikian dalam nas-nas al-Qur’an itu juga terdapat berbagai isyarat yang tersembunyi yang menunjukkan berbagai rahsia yang sangat halus yang akan tersingkap (rahsia-rahsia) itu bagi golongan ahli suluk, yang mana ianya boleh disesuaikan dengan maksud yang zahirnya sebagaimana yang dikehendaki itu. Menyesuaikan di antara (maksud) yang tersembunyi dengan yang zahir itu adalah merupakan sebahagian dari kesempurnaan iman dan ma‘rifah yang sebenar.

Berdasarkan kepada prinsip tafsir ishāri seperti yang diterangkan di atas, maka segala dalil-dalil yang telah diperturunkan sememangnya mempunyai maknanya yang zahir, di samping maknanya yang bersifat batin ditunjukkan secara ishāri. Berdasarkan kepada dua prinsip tafsir ini maka para ulamak tasawwuf, seperti yang telah dihuraikan di atas, berpendapat segala ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibentangkan itu adalah merujuk kepada makna yang ditafsirkan secara ishāri dengan membawa pengertian al-rābitah. Hal ini terbukti dengan pengalaman yang telah dilalui dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf menunjukkan bahawa amalan rābitat al-syeikh itu akan membolehkan seseorang yang sālik sentiasa ingatkan Allah S.W.T, sifat ghaflah akan hilang di samping lenyapnya was-was yang bersifat kesyaitanan.

No comments:

Post a Comment