Saturday, January 9, 2010

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.


4.3.4 Firman Allah S.W.T.:

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلاَ أَنْ رَأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ .


Maksudnya:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan TuhanNya (tentang kejinya perbuatan zina itu) Demikianlah agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih .

Berdasarkan kepada ayat di atas para mufassirin telah berselisih pendapat tentang maksud burhāna rabbihi. Kerana ungkapan ini telah ditafsirkan kepada berbagai maksud dan tujuan. Walau bagaimanapun, mengikut pandangan dan keyakinan ulamak tasawwuf dan tariqat, yang dimaksudkan dengan burhāna rabbihi dalam ayat di atas adalah merujuk kepada maksud al-rābitah.

Keyakinan ini disandarkan kepada kebiasaan yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf yang sangat menekankan hubungan yang erat antara seorang murid dengan syeikhnya. Hasil dan kesan dari hubungan yang erat dan kukuh ini akan melahirkan satu sifat yang sentiasa ingat kepada guru atau syeikhnya. Ingatan tersebut akan berlaku ketika hendak melakukan perintah Allah S.W.T. seperti yang telah diterima ketika waktu pengajian yang diberikan oleh gurunya.

Begitu juga apabila hendak melakukan sesuatu kemaksiatan dia akan terbayang guru murshidnya seakan-akan marah terhadap dirinya dengan memperingatkan supaya jangan melakukan maksiat tersebut. Hal ini menyebabkan hawa nafsunya terhenti dan tidak jadi untuk meneruskan perbuatan yang diruntun oleh nafsu syahwat tersebut. Keadaan ini telah menjadi satu disiplin dan kaedah bagi seorang yang sālik dalam amalan tariqat. Kaedah ini dilakukan untuk mengawal diri dari terjerumus ke lembah maksiat yang boleh menggagalkan seorang yang sālik untuk wusul ilā Allah S.W.T.

Justeru kerana itu, jika seorang Islam yang mengambil sesuatu ilmu dengan tidak menggunakan perantaraan seorang guru murshid atau syeikh, maka kemungkinan untuk terjadinya penyelewengan terhadap nilai-nilai agama Islam adalah besar. Hal ini disebabkan seseorang itu merasakan dirinya tidak berada dalam lingkaran kesesatan. Dalam hal ini, yang paling jelas, ia tidak mendapat keberkatan dari kedudukan seorang guru yang murshid itu ketika mendapatkan ilmu yang tersebut. Dalam konteks ini perlu diingatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiripun diajarkan oleh Allah S.W.T. melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam mendapatkan ilmu pengetahuan.

Oleh yang demikian, rābitah yang dilakukan oleh pengamal tariqat khasnya dan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf amnya adalah semata-mata kerana Allah S.W.T. Tidak terdapat sedikitpun unsur-unsur penyembahan kepada guru murshid. Jangan disamakan amalan rābitah ini dengan perbuatan orang-orang yang musyrik, jika tidak memahami konsep serta tujuan amalan ini dilakukan. Orang-orang musyrik itu memang dengan sengaja menjadikan berhala-berhala mereka sebagai tempat melakukan perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., mereka beriktikad bahawa berbagai bentuk berhala tersebut mempunyai status sebagai oknom yang dipertuhankan lantaran kekuasaan yang dimiliki sama dengan kekuasaan Allah S.W.T.

Keadaan ini tidak berlaku dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, walaupun terdapat amalan rābitah dalamnya, tetapi ia mempunyai konsepnya yang tersendiri. Murshid hanya sebagai orang tua yang mengandungi makna barakah yang dijadikan wasilah seperti yang dituntut dalam ayat di atas. Tidak ada keyakinan bahawa guru atau syeikh itu memberikan bekas terhadap keyakinan dan iktikad yang dituju, iaitu Zat Allah S.W.T. Hanya Allah S.W.T. sebagai tempat pengharapan dan sembahan, tidak ada iktikad mempertuhankan guru murshid. Seperti yang telah dijelaskan di atas tadi, bahawa guru itu berada pada posisinya sebagai orang tua yang sewajarnya diikuti dan dipatuhi segala perintah dan anjurannya selama mana dia tidak bercanggah dengan hukum Allah S.W.T.dan RasulNya, sebaliknya apa juga bentuk larangan yang dibenci hendaklah segera dijauhi dan ditinggalkan. Mereka yang berada dan beramal dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf merasa takut dan khuatir apabila hendak meninggalkan perintah agama dan melanggar apa yang dilarang lantaran teringatkan atau terbayang wajah guru murshid berada di hadapannya dalam keadaan marah terhadapnya.

Dari penjelasan yang telah diberikan di atas tadi, dapat dinyatakan di sini bahawa disiplin ilmu dan amalan tasawwuf menjadikan ayat 24 dalam surah Yusuf tersebut sebagai sandaran bagi keharusan amalan rābitah. Satu hal yang perlu difahamkan di sini ialah firman Allah S.W.T. yang tersebut dalam ayat 24 surah Yusuf itu adalah jelas dari syariat yang terdahulu, (yakni syariat Nabi Yusuf) namun perlu diingatkan bahawa hukum syariat itu masih muhkamah (berjalan atau berlaku) bagi umat Muhammad s.a.w., tidak terdapat satu keterangan pun yang membatalkan atau membatasi syariat tersebut. Atau hanya terbatas dengan tamatnya tempoh kerasulan Nabi Yusuf a.s. Untuk itu ada kebenarannya menurut pandangan Islam jika ahli tariqat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf mengamalkan al-rābitah dengan para guru murshid mereka.

No comments:

Post a Comment