Sunday, January 3, 2010

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.


4.3.2 Firman Allah S.W.T.:


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. supaya kamu beroleh kejayaan.

Seperti yang telah kita jelaskan, ketika menghuraikan dalil yang pertama, pengertian batin atau ma‘nawiyyah terhadap ayat ini diambil kira dalam menjelaskan peranan dan kedudukan al-rābitah. Bagi menjelaskan fakta ini dapat kita lihat keterangan yang diberikan oleh ahli tafsir tentangnya. Sebagai contoh seperti keterangan yang telah dikemukakan oleh Syeikh al-Ālusi dalam tafsirnya yang terkenal, Ruh al-Ma‘āni antara lain menyebutkan:


(ورابطوا) فى مقام الروح ذواتكم حتى لا تعتريكم فترة أو غفلة واتقوا الله عن المخالفة والاعراض والجفاء

Maksudnya:

Dan berābitahlah kamu pada tingkat roh itu ialah diri kamu (hati dan sirr kamu) sehingga kamu tidak ditimpa lemah (iman) dan kelalaian dan bertakwalah kepada Allah S.W.T. (dengan menjaga diri) dari (sifat) menentang Allah S.W.T., membelakangkan Allah S.W.T. dan membenci Allah S.W.T.

Syeikh al-Fakhr al-Rāzi tidak ketinggalan memberikan keterangannya dalam tafsirnya Mafātih al-Ghayb, bahawa perkataan rābitu dalam ayat di atas adalah merujuk kepada makna yang zahir dan batin. Antara maksud yang termasuk dalam pengertian batin itu ialah seperti sifat sabar, tetap iman, gigih dan sebagainya lagi. Situasi seumpama ini memang boleh terjadi dalam hati seseorang, baik ketika berjihad atau mengerjakan ibadat seperti sembahyang dan sebagainya. Ini bererti bahawa sifat-sifat batiniah seperti di atas amat dituntut sebagai satu landasan kepada aspek yang zahir.

Dari keterangan yang telah diberikan oleh para mufassir di atas, dapat kita menyimpulkan di sini bahawa istilah rābitu yang digunakan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada maksud zahir dan batin. Sedang yang batin itu lebih ditekankan kerana ia sebagai dasar dan asas tiap-tiap yang zahir. Oleh yang demikian jika teguh aspek yang batin, maka sudah pasti akan teguh pula aspek zahir itu. Sebagai contoh; jika rābitah yang zahir itu ialah sentiasa bersiap sedia atau waspada di tempat ibadah atau dengan makna menanti-nanti waktu solat selepas menunaikan solat, bersiap sedia atau waspada dengan kekuatan tentera di perbatasan negara untuk memerangi musuh atau seumpamanya, maka rābitah yang bersifat batin atau ma‘nawiyyah pula bolehlah kita katakan sebagai perkara-perkara yang bersifat ruhāniyyah yang menyumbang kepada kekuatan keimanan kepada Allah S.W.T. dan akhirnya akan membawa seseorang itu mencapai kejayaan seperti yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam ayat di atas tadi. Antaranya ialah rābitah al-syeikh seperti yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.

Menurut Prof. Madya Dr. Jahid Sidek, huraian seperti yang tersebut berhubung dengan perintah rābitah dalam kalimah wa rābitu itu sebenarnya tidak menyalahi kaedah merumuskan kefahaman hukum dari ayat tersebut. Hal ini disebabkan, perintah daripada Allah S.W.T. itu sebenarnya merangkumi aspeknya yang zahir dan batin. Beliau seterusnya membuatkan kronologi terhadap kewajipan berpuasa yang merangkumi puasa zahir dan yang batin. Jika dari sudutnya yang zahir, puasa itu tidak boleh makan, minum dan apa juga yang boleh membatalkan puasa tersebut dari terbit fajar hingga terbenam matahari, maka begitu juga dengan puasa jika dilihat dari sudutnya yang batin hendaklah menjaga hati dan semua anggota dari berbagai pekerjaan yang membawa akibat kepada dosa. Malahan puasa yang batin itulah yang lebih penting seperti yang pernah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa ramai orang yang berpuasa itu hanya merasai lapar dan dahaga sahaja tanpa mendapat pahala dan hikmat yang sebenar dari puasa tersebut. Demikian juga dengan tuntutan berābitah dalam ayat di atas, jika kita hanya berābitah dari sudutnya yang zahir, bererti kita akan penat berada di tempat ibadat itu sahaja tanpa mendapat hikmatnya yang sebenar.


Kesimpulan

Dari keterangan dan perbincangan di atas, maka dapatlah kita tegaskan sekali lagi bahawa amalan rābitat al-syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf seperti yang telah diterangkan definisi dan konsepnya, begitu juga dengan kedudukan dan cara mengamalkannya merupakan salah satu dari berbagai bentuk wasilah yang dituntut oleh Allah S.W.T. Amalan tersebut tentu sahaja boleh menyampaikan seseorang yang sālik kepada hakikat mengenal Allah S.W.T., sama seperti kita berwasilah dan berwāsitah dengan segala ciptaan sama ada di langit dan di bumi seperti yang telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:


أَفَلاَ يَنْظُرُونَ إِلَى الاِْبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ . وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ . وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ . وَإِلَى الاَْرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ .

Maksudnya:

Maka apakah mereka tidak memerhatikan atau melihat bagaimana dunia diciptakan . Dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan. Dan bukit-bukit bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan .

Bagaimana keadaan dan perasaan kita ketika sedang merenung, memandang dan memikirkan tentang ciptaan Allah S.W.T. tersebut? Tentu sahaja pandangan dan renungan itu bukan kepada Zat Allah S.W.T., sebaliknya melihat dan memikirkan tentang berbagai kesan kewujudanNya, keagunganNya, kesempurnaanNya dan sebagainya lagi. Maka begitulah juga dalam ajaran tasawwuf, rābitah dengan syeikh al-murshid itu bukanlah zat syeikh itu yang menjadi tumpuan dan matlamat akhirannya, tetapi ialah wujudnya Allah S.W.T., keagunganNya, kehebatanNya, kesempurnaanNya dan sebagainya lagi. Akhirnya akan melahirkan seorang mukmin yang bersifat dengan sifat orang-orang yang mutawakkilin seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آياتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًَا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ .

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah S.W.T.(dan sifat-sifatNya) gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah .

No comments:

Post a Comment