Dalil keenam akan merujuk kepada beberapa buah hadis Baginda Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan keharusan amalan al-rābitah tersebut. Antara beberapa buah hadis yang dapat dikaitkan sebagai dalil keharusan amalan al-rābitah adalah seperti berikut:
1- Sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya:
Sesungguhnya sebahagian daripada manusia itu adalah sebagai anak kunci (yang membuka hati) bagi mengingati Allah S.W.T. (iaitu) apabila mereka itu dipandang maka ingatlah Allah S.W.T.(orang yang memandangnya itu).
2- Sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya:
Mahukah kamu aku khabarkan akan orang yang sebaik-baik di kalangan kamu? Orang yang sebaik-baik di kalangan kamu itu ialah mereka apabila dipandang maka yang memandang itu akan ingatkan Allah S.W.T.
3. Sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya:
Orang yang sebaik-baiknya di kalangan kamu itu ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah S.W.T. dengan memandang (rupanya) dan percakapannya akan menambahkan ilmu kamu dan amalannya mendorongkan kamu cintakan hari akhirat.
4. Sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya:
Rasulullah (s.a.w.) ditanya: Ya Rasulullah siapakah orang yang sebaik-baik menjadi rakan perbualan kami? Rasulullah bersabda: Dia itu, ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah S.W.T. dengan melihatnya, percakapannya menambahkan ilmu kamu dan amalannya pula mengingatkan kamu kepada akhirat.
5- Sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya:
Tidak akan masuk neraka orang (Islam) yang telah melihat aku (Nabi Muhammad) dan tidak juga akan masuk ke neraka orang yang melihat akan orang yang telah melihat aku dan tidak akan masuk ke neraka orang yang melihat muka-muka orang yang melihat kamu, iaitu walaupun (sampai) kepada tujuh puluh wasitah (lapisan keturunan). Sesungguhnya mereka itu adalah khalifahku dalam menyampaikan (ajaran Islam) dan asuhan Islam, sekiranya mereka itu sentiasa istiqamah dalam syariatku.
Dari lima buah hadis yang telah dibentangkan di atas tadi, cukup rasanya untuk menjelaskan dalil keharusan amalan al-rābitah. Dari sini dapatlah kita membuat kesimpulan dengan memandang rupa, mendengar perkataan dan memerhatikan tingkah-laku orang yang bersifat taqwa itu akan memberikan kesan rohaniah yang baik terhadap perjalanannya menuju Allah S.W.T. Antara beberapa kesan rohaniah tersebut ialah boleh menguatkan iman, membetulkan amalan dan menggemarkan kita kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan akhirat. Konsep melihat dan memandang yang terkandung dalam hadis di atas menurut keyakinan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah merujuk kepada makna yang zahir dan batin. Dari keterangan hadis di atas juga dapat kita memahami bahawa hadis-hadis tersebut menggalakkan kita supaya bersalawat kepada Nabi s.a.w. di samping berdampingan dengan orang-orang yang memiliki sifat-sifat taqwa. Atau sekurang-kurangnya sentiasa menjadikan mereka itu sebagai orang yang selalu kita ingati dalam khayalan kita. Apatah lagi jika orang itu sememangnya menjadi guru kita dalam bidang kerohanian seperti syeikh al-murshid. Sebaliknya kita dilarang dari bersahabat dengan orang-orang jahat yang selalu melanggar perintah Allah S.W.T. Pergaulan yang sedemikian sifatnya hanya akan mengganggu perjalanan rohaniah seseorang yang sālik.
Hubungan erat yang berlandaskan kasih sayang antara seorang sālik dengan seorang yang layak bergelar syeikh memang dituntut dalam Islam. Keadaan tersebut telah diajarkan oleh Baginda s.a.w. dan ditempuh serta diharungi oleh para sahabat semasa mereka bersama-sama dengannya. Khalifah Abu Bakr misalnya tidak dapat melupakan wajah Rasulullah s.a.w. sekalipun ketika beliau berada di dalam bilik air. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh al-lmam al-Bukhāri seperti berikut:
ان أبا بكر الصديق اشتكى إلى النبى صلى الله عليه وسلم عدم انفكاكه عنه حتى كأنه يراه فى بيت الخلأ .
Maksudnya:
Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah mengadu kepada Nabi s.a.w. tentang pengalamannya yang mana beliau terasa tidak bercerai daripada Nabi sehingga dalam bilik airpun seolah-olah ia masih melihat wajah Nabi s.a.w.
Demikianlah antara beberapa buah hadis yang dijadikan sandaran terhadap keharusan amalan al-rābitah. Namun demikian jika kita masih mahu meneliti kitab-kitab hadis yang lain, sudah pasti kita akan menemui berpuluh, malah mungkin beratus hadis yang berkaitan dengan amalan al-rābitah ini. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandalawi pernah menyatakan fakta ini dengan katanya:
Maksudnya:
Demikianlah terdapat beratus-ratus riwayat (hadis) tentang membayangkan rupa syeikh itu ada dalam kitab-kitab hadis. Oleh yang demikian adalah sukar benar bagi kita untuk mengatakan bahawa membayangkan rupa guru itu tidak harus secara mutlak.
salam..USTAZ SHAMSUDDIN , tahniah kerana ada kelapangan untuk mengurus bloh yang ilmiah --- Dari Us Shahir
ReplyDelete