Saturday, January 9, 2010

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.






4.3.3 Firman Allah S.W.T.:


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah S.W.T. dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadanya (dengan mematuhi dan meninggalkan laranganNya), dan berjuanglah pada jalan Allah S.W.T. (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."

Dari keterangan yang berdasarkan kepada ayat 35 surah al-Maidah di atas, jelas menunjukkan adanya perintah untuk mencari wasilah seperti yang terkandung dalam ungkapan وابتغوا إليه الوسيلة . Tujuan serta matlamat berbuat demikian juga telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam ayat tersebut dengan ungkapan لعلكم تفلحون . Dari keterangan yang diberikan dari dua ungkapan tersebut menunjukkan bahawa amalan mencari wasilah itu merupakan suatu yang sangat penting kerana tanpanya kejayaan yang dicari tidak akan kunjung tiba seperti yang telah diterangkan oleh struktur ayat tersebut.

Masalahnya sekarang ialah, apakah yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. dengan ungkapan وابتغوا إليه الوسيلة tersebut. Apakah ia hanya terbatas kepada amal soleh atau apa juga bentuk wasilah selain dari amal soleh. Di sinilah titik perselisihan yang timbul sehingga ada yang mengatakan bahawa wasilah selain amal soleh adalah bersifat bidaah dan tidak ada dalam syariat Islam.

Kita berpendapat, oleh kerana ayat al-Qur’an tersebut tidak memberikan penjelasan yang tepat terhadap maksud wasilah yang sebenar, maka di sini ada ruang yang diberikan oleh syariat Islam untuk mentafsirkan ayat tersebut kepada makna-makna yang tertentu berdasarkan kepada faktor-faktor tertentu.

Dalam hal ini ulamak tasawwuf berpendapat bahawa al-wasilah itu adalah bersifat umum, ia merangkumi semua bentuk tawassul sama ada kepada zat-zat yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T semasa hidup atau sesudah matinya, begitu juga tawassul dengan amal-amal soleh. Untuk membatasi tujuan al-wasilah dalam ayat di atas hanya kepada amal-amal soleh ternyata agak sukar, kerana selain bermaksud umum, kalimah tersebut juga dari sudut kaedah bahasa Arab berada pada posisi ism al-ma‘rifah bukan ism al-nakirah sekalipun kalimah al-wasilah itu dalam bentuknya yang mufrad tidak jamak.

Namun ulamak yang tidak terlibat secara langsung dengan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, secara umumnya menolak penggunaan ayat 35 dalam surah al-Ma`idah ini sebagai dalil keharusan untuk mengamalkan al-rābitah. Seperti Syeikh Ahmad Khātib menganggap wasilah selain daripada amal soleh itu adalah perbuatan bidaah dan terlarang dalam syariat Islam. Menurut beliau perbuatan berwasilah kepada selain dari amal soleh seperti berwasilah kepada zat-zat yang mulia yang mempunyai kelebihan serta ketinggian martabah di sisi Allah S.W.T. adalah permohonan dan permintaan kepada selain daripada Allah S.W.T. Beliau beranggapan perbuatan berwasilah tersebut adalah bertentangan dengan hadis Rasullah s.a.w. yang bermaksud:

Apabila kamu hendak meminta tolong maka pintalah pertolongan itu daripada Allah.

Sebenarnya, penggunaan ayat 35 surah al-Ma`idah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah bagi tujuan mensabitkan keharusan al-rābitah itu. Kerana amalan rābitah merupakan salah satu dari berbagai cara untuk berwasilah seperti yang dituntut dalam ayat di atas.

No comments:

Post a Comment