Sunday, September 6, 2009

1.Taubat dari dosa

Ada sepuluh akhlak terpuji yang diberi penekanan oleh Imam al-Ghazali, iaitu:
1. Taubat dari segala dosa.
2. Takutkan Allah.
3. Zuhud.
4. Sabar.
5. Syukur.
6. Ikhlas.
7. Tawakal.
8. Kasihkan Allah.
9. Reda dengan qadak Allah.
10. Mengingati mati.

1. Taubat dari Dosa

Taubat pada bahasa dengan makna kembali dan pulang, manakala taubat pada syarak ialah amalan yang berhimpun tiga rukun berikut:
i.Menyesal daripada maksiat yang dilakukan kerana Allah. Oleh itu menurutnya tidak sah taubat mereka yang tidak menyesal. Atau penyesalan itu bukan kerana Allah, seperti disebabkan bala yang turun kerana maksiat.
ii.Meninggalkan maksiat.
iii.Bercita-cita tidak akan kembali melakukan maksiat tersebut.

Ketiga-tiga syarat di atas adalah bilamana maksiat itu tidak berkait dengan dosa meninggalkan yang fardu dan tidak berkaitan dengan manusia. Jika dosa tersebut berkait dengan sembahyang fardu umpamanya, maka hendaklah menqada segala fardu yang luput. Sementara maksiat yang berkaitan dengan manusia pula seperti mencuri harta orang lain, disyaratkan memulangkan harta tersebut ataupun menggantikannya, atau meminta halal daripada tuan yang empunya. Ini adalah pandangan Imam al-Shafie. Pandangan yang sedikit berlainan dikemukakan daripada Imam Malik yang berpendapat, memadai dengan meminta halal secara ijmal (umum).

Sekiranya harta tersebut tidak berupaya dipulangkan, dan empunya harta itu pula tidak menghalalkan, maka langkah bertaubat dalam masalah ini menurut ialah dengan bersungguh-sungguh bertaubat dan memohon kepada Allah agar Allah menjadikan empunya harta itu reda kepadanya pada hari kiamat.

Syarat taubat seterusnya ialah sebelum ruh sampai ke halkum dan sebelum Matahari muncul dari sebelah Barat. Apabila syarat-syarat dan rukun taubat tersebut telah sempurna, maka taubat tersebut diterima oleh Allah.

Perihal penerimaan taubat Quran menyebut:

قُل لِّلَّذِينَ ڪَفَرُوٓاْ إِن يَنتَهُواْ يُغۡفَرۡ لَهُم مَّا قَدۡ سَلَفَ وَإِن يَعُودُواْ فَقَدۡ مَضَتۡ سُنَّتُ ٱلۡأَوَّلِينَ (٣٨)

Terjemahan:" Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana Sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala."
[Surah al-Anfal 8: 38]

Taubat dari segala dosa wajib disegerakan. Ia merupakan jalan permulaan bagi mereka yang menjalani jalan akhirat. Sifat menangguhkan taubat tergolong satu dosa pula, meskipun berlalu masa yang lama.

Sekiranya seseorang itu mengetahui dosa-dosanya secara terperinci, maka cara bertaubatnya pula mestilah dilakukan kepada setiap dosa-dosa yang diketahui itu dan dianggap tidak memadai hanya dengan satu taubat untuk semua dosa. Begitu pula seandainya tidak diketahui secara satu persatu maka hendaklah diungkapkan sebagai berikut:

“jika ada bagi aku dosa yang tiada aku ketahui akan dia maka aku taubat daripadanya kepada Allah taala”.

Taubat adalah satu ibadat yang dijanjikan pahala oleh Allah. Bagaimanapun kepastian sama ada terhapus atau tidak dosa setelah bertaubat diserahkan kepada Allah.
Alasan mengatakan bahawa taubat adalah ibadat yang dijanjikan pahala kerana orang yang bertaubat itu disukai Allah berdalilkan firman Allah:

وَيَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡمَحِيضِ‌ۖ قُلۡ هُوَ أَذً۬ى فَٱعۡتَزِلُواْ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلۡمَحِيضِ‌ۖ وَلَا تَقۡرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطۡهُرۡنَ‌ۖ فَإِذَا تَطَهَّرۡنَ فَأۡتُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٲبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ (٢٢٢)


Terjemahan: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
(al-Baqarah 2: 222)
Dan:

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَا‌ۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّ‌ۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآٮِٕهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآٮِٕهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ إِخۡوَٲنِهِنَّ أَوۡ بَنِىٓ أَخَوَٲتِهِنَّ أَوۡ نِسَآٮِٕهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِى ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٲتِ ٱلنِّسَآءِ‌ۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ‌ۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٣١)

Terjemahan: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah al-Nūr 24: 31)

Hadis yang menyebut anjuran supaya bertaubat. Hadis-hadis tersebut antaranya ialah:

اَلـتَّـائِبُ مِنَ الـذَّنْـبِ كَمَنْ لاَ ذَنـْبَ لَهُ.

Maksud: Orang yang bertaubat daripada dosa seumpama mereka yang tidak berdosa.

يَأَيُّهَا النَّاسُ تُوْبـُوْا إِلَى اللهِ فَإِنِّىْ أَتُوْبُ اِلَيْهِ فِىْ يَوْمٍ مِائَةَ مَرَةٍ.

Maksud: Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Tuhanmu, sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak seratus kali.

إِنَّ اللهَ عَـزَّ وَجَلَّ يَقْـبَلُ تَوْبَةَ الْـعَبْد مَا لَمْ يُغَـرْغِرُ.

Maksud: Sesungguhnya Allah Azzawajal menerima taubat seorang hamba selama mana belum sampai nyawa ke halkum.

مَنْ تَابَ قَبْلَ أَنْ تَطْلَعَ الشَّـمْسُ مِنْ مَـغْـرِبِهـَا تَابَ اللهُ عَلَـيْهِ.

Maksud: Sesiapa yang bertaubat sebelum muncul matahari dari tempat lenyapnya, nescaya Allah menerima taubatnya.

Taubat seseorang itu tertegah dengan adanya amalan berterusan mengerjakan maksiat. Sebab bagi berterusan mengerjakan maksiat itu lima perkara:

1.1 Lambat Balasan Seksa Yang Allah Janjikan

Menjadi tabiat manusia memandang remeh sesuatu yang lambat tibanya. Maka terapi penyakit seumpama ini hendaklah seseorang yang bertabiat demikian berfikir bahawa sesuatu yang akan tiba terlalu hampir sementara yang jauh itu ialah sesuatu yang tidak datang ataupun telah berlalu. Dalam hal ini hendaklah seseorang itu berfikir bahawa kematian itu terlalu hampir kepadanya melebihi dari hampir tali kasutnya sendiri. Ia tidak mengetahui bila usianya akan berakhir. Sebagai perbandingannya kalaulah seseorang itu berpenat lelah bekerja lantaran takut kelaparan pada tahun berikutnya, sedangkan masa datangnya lapar juga bertangguh, begitu jugalah sepatutnya ia bertaubat demi melepaskan seksa pada masa akan datang. Lebih-lebih lagi hendaklah ia berfikir bahawa pedih kelaparan itu lebih mudah berbanding kepedihan seksa Neraka.

1.2 Sukar Meninggalkan Kesedapan Dan Keinginan

Kepada mereka yang sukar untuk meninggalkan kesedapan dan keinginan, terapinya adalah dengan berfikir seperti berikut: Sekiranya seorang doktor yang tidak beriman memberitahunya bahawa air yang sejuk boleh memberi mudarat kepada tubuh badannya nescaya beliau akan meninggalkan daripada meminumnya walaupun dirinya tersangat ingin kepada air itu. Dalam hal ini Allah dan Rasul-Nya lebih benar perkhabarannya dan saranannya daripada doktor tersebut dalam menyampaikan ajaran dan perintah Allah dengan menjelaskan kepada mereka bahawa seksa api neraka lebih pedih berbanding dengan mudarat kesakitan yang disebabkan oleh air sejuk itu. Di sini hendaklah ia menetapkan di dalam hatinya, apabila sukar ia meninggalkan kesedapan dan keinginan pada masa yang sedikit, maka tentulah lebih sukar lagi kepadanya menanggung seksa api Neraka dan luputnya nikmat Syurga.

1.3 Menangguh Taubat Dari Sehari Ke Sehari Yang Lain

Kalangan yang sering menangguhkan taubat dari sehari ke sehari lantaran dibuai perasaan: “nanti aku akan bertaubat, kerana taubat itu ada dalam kekuasaanku”. Terapi kepada mereka yang berpandangan sedemikian, hendaklah berfikir dan mengetahui bahawa umurnya bukanlah miliknya. Ia boleh dimatikan secara tiba-tiba dalam keadaan belum sempat bertaubat. Andainya ia memikirkan sukar baginya untuk meninggalkan keinginan yang ia sedang nikmati sekarang, perlu ia bayangkan bahawa untuk meninggalkan keinginannya pada masa akan datang adalah lebih sukar lagi. Begitu juga kalaulah seseorang itu beranggapan untuk menantikan suatu hari yang mudah baginya melawan nafsunya dan bertaubat pada hari itu, maka harus ia ketahui bahawa hari tersebut belum lagi dijadikan untuknya. Sebagai perbandingannya, samalah seperti seorang yang ingin mencabut sepohon kayu, tetapi pada hari ini ia tidak mampu mencabutnya kerana akarnya kuat, lalu ia menangguhkan pada suatu ketika yang lain dengan anggapan ia akan dapat mencabutnya dengan mudah pada waktu itu. Perlu diketahui bahawa pohon kayu itu jika dibiarkan dari sehari ke sehari akan bertambah besar dan bertambah kuat akarnya, sedang dirinya sendiri akan bertambah tua dan semakin lemah. Sesungguhnya menangguhkan taubat dengan harapan dapat bertaubat pada masa akan datang adalah satu anggapan yang sehabis-habis jahil.

1.4 Menjanjikan Dirinya Dengan Kemurahan Dan Kemaafan Allah

Mereka yang menjanjikan dirinya dengan mengatakan bahawa Allah itu amat Pemurah dan Maha Pemaaf, lalu dengan itu ia menangguhkan taubatnya. Golongan seperti ini tidak kurang jahilnya dari golongan yang ketiga sebelumnya. Ini disebabkan ia mengharapkan kelepasan daripada dosanya sedang pada masa yang sama ia tidak menjalani jalan yang mengarahkan kepada kelepasan dosa itu. Iaitu beramal dengan taubat. Perumpamaan mereka yang tidak beramal dan mengharapkan terhasilnya apa yang dikehendaki, samalah seperti seseorang yang ingin terbang di angkasa tanpa sayap, atau inginkan anak tetapi tidak berkahwin, ataupun menggerakkan jentera tanpa minyak, atau ingin menumbuhkan tumbuhan tanpa menanamnya dengan sempurna. Hal ini sama sekali tidak mungkin berlaku sepertimana tidak mungkin berlaku sebuah kapal belayar di daratan. Hadis menyebut:

اَلْكَـيِّـسُ مَنْ دَانَ نَـفْـسُــهُ وَعَـمِلَ لِـمَـا بَــعْدَ الْـمَـوْتِ وَالْـعَـاجِـزُ مَـنْ اَتْبَعَ هَوَاهَا وَتَـمَـنَّـى عَـلَـى اللهِ اْلاَمَـانِىَّ.

Maksud: "Orang yang cerdik ialah mereka yang sentiasa menghitung dirinya dan beramal untuk selepas kematiannya, sementara orang yang lemah lagi cuai ialah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan ke atas Allah dengan berbagai-bagai angan-angan."

Orang yang lemah akalnya ialah orang yang lalai dan sering mengikuti keinginan dirinya sendiri. Mereka ini tidak menegah dirinya daripada perkara-perkara yang haram dan meletakkan harapan kepada keampunan Allah agar dapat memasuki Syurga di samping pada masa yang sama ia mengekalkan dirinya dalam maksiat tersebut tanpa bertaubat. Sa‘³d bin Jubair yang mengatakan:

“Kelalaian dengan Allah itu seorang yang berpanjangan mengerjakan maksiat dan mencita-citakan keampunan dari Allah”.

Bertaubat daripada dosa-dosa yang kecil juga hendaklah disegerakan kerana ia boleh menjadi dosa besar.

No comments:

Post a Comment