Thursday, September 10, 2009

4. Sabar

Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada perkara yang tidak disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain Allah. Pengertian ini diperkuatkan dengan pandangan al-Ghazālî dalam al-Arba‘în fî Uŝūl al-Dîn yang menyebut hakikat sabar adalah keteguhan [thabāt] yang mendorong hidup beragama dalam menghadapi dorongan nafsu. Ujar al-Ghazali:

“bermula hakikat sabar itu keteguhan yang membangkitkan agama pada melawan keinginan hawa nafsu”.

Dalam diri manusia ada dua ‘tentera’ yang saling berlawanan. Pertama kekuatan akal dan segala peralatannya, kedua syahwat dan segala pendorongnya. Sekiranya pendorong agama lebih kuat dan dapat mengalahkan hawa nafsu, bermakna seseorang itu telah dapat meraih kesabaran.

Sabar antara lain terdiri daripada sabar dalam memerangi nafsu, sabar ketika menghadapi kejahatan lidah dan tangan orang lain, sabar menghadapi kematian dan kebinasaan harta dan seumpamanya dalam situasi yang berbeza-beza. Ada perbezaan antara nama-namanya bergantung kepada tempat pemakaiannya. Keadaan ini dapat dilihat seperti berikut:

i. Sekiranya ‘sabar’ dihubungkan dengan mengawal diri ketika ditimpa musibah, dinamakan sabar, tidak dengan nama yang lain, lawannya ialah gelisah.
ii. Sekiranya ‘sabar’ dihubungkan dengan pertempuran, dinamakan sebagai berani lawannya pengecut.
iii. Sekiranya ‘sabar’ dihubungkan dalam hal menghadapi kesulitan perasaan dinamakan lapang dada dan lawannya meluat atau membosankan.
iv. Sekiranya ‘sabar’ dihubungkan dengan menahan percakapan dinamakan diam dan lawannya memecahkan rahsia.

Pernyataan berlakunya pertentangan antara akal dan syahwat dalam diri manusia memberi pengertian bahawa sabar adalah ciri khusus yang hanya ada pada manusia kerana ia bertolak dari menghadapi dua keadaan tersebut.

Malaikat tidak ada padanya sabar lantaran kesempurnaannya, sementara binatang pula tiada padanya sabar disebabkan kekurangannya. Seluruh gerakan dan diamnya binatang itu dikendalikan oleh syahwat. Kejadian kedua-dua makhluk Allah ini tidak ada pertentangan di dalam dirinya sehingga mereka perlu kepada sifat sabar.

Malaikat dengan kesempurnaan pengabdiannya tidak dikuasai oleh nafsu lantaran kejadiannya tidak dibekalkan dengan nafsu, sementara binatang dengan seluruh sifat kekurangannya tidak dikuasai oleh kekuatan untuk pengabdian kepada Allah kerana kejadiannya tidak dibekalkan akal untuk ditaklifkan. Justeru itu sabar kepada kedua-dua makhluk Allah ini tidak diperlukan.

Sebaliknya manusia dikuasai oleh dua dorongan yang saling berlawanan. Dorongan kemalaikatan dan dorongan kebinatangan dengan akal yang dikurniakan oleh Tuhan berada di tengah-tengahnya. Dengan akal inilah manusia ditaklifkan atas amalan dirinya dan mampu merealisasikan sifat sabar atau sebaliknya.
Mereka yang bersabar di atas kejahatan dan kezaliman yang dilakukan orang lain terhadapnya dalam erti tidak membalasnya akan dikurniakan pahala yang besar oleh Allah. Firman Allah:

قُلۡ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمۡ‌ۚ لِلَّذِينَ أَحۡسَنُواْ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٌ۬‌ۗ وَأَرۡضُ ٱللَّهِ وَٲسِعَةٌ‌ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٍ۬ (١٠)


Terjemahan: "Katakanlah (Wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di Akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini Luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
[al-Zumar 39: 10]


Sabar mempunyai keutamaan yang tidak ada pada lain-lain ibadat. Penjelasan telah menggariskan beberapa perkara berhubung dengan keutamaan sabar:

1. Mereka yang bersabar akan memperolehi rahmat, pertunjuk dan keampunan daripada Allah. Quran menyebut:

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَيۡہِمۡ صَلَوَٲتٌ۬ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةٌ۬‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ (١٥٧)

Terjemahan: “Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”
[Surah al-Baqarah 2: 157]


2. Mereka yang sabar akan mendapat pertolongan dan pemeliharaan daripada Allah berdalilkan Quran [al-Anfal 8: 46].

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَلَا تَنَـٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡ‌ۖ وَٱصۡبِرُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (٤٦)


Terjemahan: “Dan Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

3. Mereka yang bersabar dijadikan ikutan atau pimpinan oleh Allah. Quran menyebut:

وَجَعَلۡنَا مِنۡہُمۡ أَٮِٕمَّةً۬ يَہۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْ‌ۖ وَڪَانُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ (٢٤)


Terjemahan: "Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, Yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami."
(Surah al-Sajdah 32: 24)


4. Mereka yang bersabar diberikan ganjaran pahala yang tidak terhingga. Firman-Nya:

قُلۡ يَـٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمۡ‌ۚ لِلَّذِينَ أَحۡسَنُواْ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٌ۬‌ۗ وَأَرۡضُ ٱللَّهِ وَٲسِعَةٌ‌ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٍ۬ (١٠)


Terjemahan: “Katakanlah (Wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di Akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
(al-Zumar 39:10)


Allah taala telah menyebut perkataan sabar dalam Quran melebihi tujuh puluh tempat. Hadis juga banyak memerihalkan bahawa bersabar atas perkara-perkara yang tidak disukai adalah satu amalan kebajikan sepertimana sabda Rasulullah s.a.w:

فِـىْ الـصَّـبْرِ عَـلَى مَا تَكْرَهُ خَـيْرًا كَـثِـيْـرًا.

Maksud: “Bersabar terhadap apa yang engkau tidak sukai itu (benci) adalah kebaikan yang banyak.”

Nabi Allah Isa pernah berkata:

“Sesungguhnya kamu tidak akan temui apa yang kamu kasihi melainkan kamu bersabar di atas apa yang kamu tidak sukai”.


Sabar di atas perkara yang dibenci ditujukan kepada perkara-perkara yang dibenci oleh nafsu. Manakala perkara yang dibenci oleh nafsu itu pula membawa kebajikan kepada manusia. Begitu juga dengan maksud seseorang itu tidak memperolehi sesuatu yang dikasihinya kecuali bersabar atas perkara yang dibenci oleh nafsunya, lantaran nafsu [maksudnya nafsu amm±rah] sentiasa mendorong kepada kejahatan.
Menukil tulisan al-Ghazali dalam al-Arba‘in f³ U¡­l al-D³n, menyebut perihal sabar itu mempunyai tiga tingkatan mengikut lemah dan kuatnya. Iaitu:

1. Tingkatan Paling Tinggi.

Iaitu sabar yang dapat mengalahkan dorongan-dorongan nafsu secara menyeluruh hingga tiada lagi tinggal kekuatan yang bertentangan dalam dirinya. Tahap ini dapat dicapai dengan mengekalkan kesentiasaan sabar melalui proses mujahadah yang panjang. Bilamana sampai pada peringkat ini mereka termasuk dalam kalangan yang dimaksudkan dalam Quran:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَـٰمُواْ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (١٣)


Terjemahan: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (al-Ahqāf 46: 13)

dan

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨)


Terjemahan: “(setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!” (al-Fajr 89: 27-28)


Seruan kepada nafs al-mu¯ma’innah dalam Quran [al-Fajr 89: 27] adalah ketika hampir mati, sementara pada hari kiamat, mereka ini diseru dengan seruan:

فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى (٢٩) وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى (٣٠)


Terjemahan: "Serta masuklah Engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia "Dan masuklah ke dalam syurga-Ku! "(al-Fajr 89: 29-30)


2. Tingkatan Yang Lebih Rendah.

Iaitu seruan ke arah nafsu lebih kuat dan dapat mengalahkan dorongan agama, dan hawa nafsu menang dalam pertentangan tersebut, lalu hati tunduk kepada tentera syaitan. Mereka ini diseru dengan seruan seperti yang disebut dalam Quran:

وَلَوۡ شِئۡنَا لَأَتَيۡنَا كُلَّ نَفۡسٍ هُدَٮٰهَا وَلَـٰكِنۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ مِنِّى لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ (١٣)


Terjemahan: "Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam Dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)". (al-Sajdah 32: 13)

Mereka yang berada pada peringkat ini ada padanya dua alamat:

[i] Bahawa mereka ini terdiri dari orang-orang yang sering melengah-lengahkan taubat kepada Allah dan berkata kepada dirinya: “aku ingin akan taubat tetapi teruzur atas aku, maka tiada loba aku padanya.” Orang yang seperti ini adalah mereka yang putus asa lagi binasa.

[ii] Bahawa mereka yang tidak ada padanya keinginan untuk bertaubat, dan membisikkan kata-kata pada dirinya: “Allah taala sangat pemurah, sangat pengampun, sangat kasih sayang, terkaya Ia daripada taubatku, maka Syurga yang luas itu tiada sempit ia daripadaku”! Mereka yang tidak ingin bertaubat sebenarnya telah ditawan oleh keinginan sendiri, dan tidak digunakannya kecuali mengeluarkan helah bagi menunaikan kehendaknya jua. Golongan ini adalah: “orang yang telah jadi akalnya tawanan bagi keinginannya, dan sentiasa mencari helah untuk menunaikan keinginannya”.

3. Peringkat pertengahan.

Bahawa mereka ini tiada merasa lemah dalam pertarungan antara akal dan nafsunya. Kadang-kadang akal yang menyeru kepada agama memperolehi kemenangan, dan waktu itu terhasilah sabar, dan kadang-kadang tentera syaitan yang menang, pada waktu itu sabarnya hilang. Demikianlah silih berganti. Walau bagaimanapun mereka ini tergolong dalam golongan yang bersungguh-sungguh berjuang dan termasuk dalam golongan yang difirmankan Allah sebagai:

Terjemahan: “Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Tanda-tanda mereka yang berada pada peringkat ini ialah ia meninggalkan keinginan yang lemah dan tidak berupaya pula dari keinginan yang kuat; dan kadang-kadang ia meninggalkan keinginan yang kuat pada satu ketika dan tidak pada ketika yang lain. Bagaimanapun ia tetap merasa berdukacita atas kelemahannya dan sentiasa ia melawan nafsunya serta memeranginya. Jihad terhadap nafsu ini adalah dari sebesar-besar jenis jihad, hingga dikatakan padanya sebagai: al-jih±d al-akbar.

Manusia dalam kehidupannya sentiasa menghadapi dua situasi berikut: Iaitu perkara-perkara yang disenangi oleh kemahuannya dan perkara-perkara yang menyalahi kemahuannya. Berdasarkan kepada manusia menghadapi perkara tersebut sepanjang masa, maka sabar diperlukan oleh manusia sepanjang masa, bagi menghadapi dua keadaan tersebut.

Manusia berhajat kepada sabar dalam menghadapi perkara-perkara yang serasi dengan keinginannya seperti tubuh badan yang sihat, keselesaan dalam hidup, adanya kekayaan dan pangkat serta seumpamanya. Bilamana ketiadaan sabar terhadap perkara tersebut nescaya akan terdoronglah manusia itu bersikap melampaui batas atau berlebih-lebihan dalam menggunakan nikmat mengikut sesuka hatinya sehingga membawanya jatuh ke dalam kehancuran. Malahan bukan sekadar itu, sabar dalam menghadapi perkara ini adalah dikatakan lebih sukar. Beliau tidak pula menghuraikan dengan lebih lanjut mengapa dikatakan lebih sukar. Bagaimanapun jika dilihat kepada pandangan al-Ghazali, dikatakan lebih sukar kerana sabar di sini berkait rapat dengan keupayaan. Misalnya orang yang lapar lebih mampu bersabar menghadapi kelaparan ketika makanan tiada di hadapannya berbanding dengan ketika makanan yang enak-enak sedia terhidang di hadapannya dan ia berupaya pula untuk memakannya.

Ada kata-kata Sahabat yang menyebut:

“ Kami diuji dengan percubaan kesusahan maka sabar oleh kami dan kami diuji dengan percubaan kesenangan maka tiada kami sabar”.

Sabar terhadap perkara-perkara yang disenangi nafsu itu ialah dengan ketiadaaan perasaan cenderung hati kepada kesenangan tersebut, kerana ia merupakan pemberian yang bersifat sementara semata-mata, bila-bila masa sahaja ia boleh diambil daripadanya; dalam menggunakan kesenangan itu pula hendaklah tidak secara berlebih-lebihan dan menyedari bahawa kesenangan yang dinikmati itu tidak pula melalaikan hidupnya. Menjelaskan sabar terhadap perkara-perkara yang tidak disukai oleh hawa nafsu, Ia terbahagikannya kepada empat:

1. Mengerjakan Ketaatan

Manusia memerlukan sabar ketika melakukan amal ketaatan seperti mengerjakan sembahyang. Ini disebabkan nafsu manusia kadang-kadang dipengaruhi oleh sifat malas mengerjakannya atau merasa kedekut bila hendak mengeluarkan harta untuk berzakat.
Ataupun mempunyai dua sebab sekaligus seperti dalam mengerjakan ibadat haji dan keluar untuk berjihad fi sabilillah. Amal-amal ketaatan ini memerlukan kesabaran yang banyak dan sukar dilakukan. Oleh itu sewaktu mengerjakan ketaatan ini seseorang itu perlu kepada sabar dalam tiga keadaan berikut:

[i] Ketika permulaan mengerjakan ibadat dengan menghasilkan ikhlas dan sabar daripada runtunan yang membawa kepada sifat riyak.

[ii] Ketika mengerjakan amal ketaatan tersebut. Iaitu tidak malas untuk menunaikan segala yang fardu dan sunatnya.

[iii] Ketika selesai mengerjakan amal ketaatan itu, iaitu bersabar daripada menyebutnya dan menzahirkannya dengan riyak dan sum‘ah.

2. Sabar Meninggalkan Maksiat


“Sabar daripada maksiat itu lebih sukar daripada sabar atas mengerjakan taat, istimewa maksiat yang sudah diadatkan, kerana bertolong-tolong padanya tentera hawa nafsu dan tentera adat. Maka jika berhimpun kepada keduanya oleh mudah mengerjakannya nescaya tiada sabar daripadanya melainkan al-¡iddiq”.

Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa manusia memerlukan kesabaran yang banyak terutama terhadap maksiat-maksiat yang tidak membebankan dirinya seperti mengumpat dan berdusta. Ataupun maksiat-maksiat lain seperti riyak, sukakan pujian sama ada secara sembunyi ataupun terang-terangan, senda gurau yang melampaui sehingga menyakiti hati teman-teman, atau ucapan yang menghina, mencemuh orang lain sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati.
Inilah yang dimaksudkan dengan sabar meninggalkan perkara maksiat. Bahawa menahan diri atau sabar diri daripada mengerjakan maksiat ini dianggap sebagai berjihad melawan nafsu. Menghujahkan perkara ini dibawakan Hadis:

اَلْمُـجَـاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَـفْـسَـهُ.

Maksud: Orang yang berjihad itu ialah orang yang memerangi nafsunya.

3. Perkara Tidak Berkaitan Dengan Ikhtiar
Tetapi Boleh Diusahakan Untuk Menolaknya.

Dalam hal ini contoh seperti orang yang diganggu oleh orang lain dengan lidah atau tangan, lalu ia sabar dengan tidak bertindak membalas perbuatan tersebut. Bersabar dalam hal ini ada kalanya menjadi wajib dan ada ketikanya menjadi keutamaan.

Perkara yang dinyatakan di atas telah dihujah dengan ayat Quran:


وَمَا لَنَآ أَلَّا نَتَوَڪَّلَ عَلَى ٱللَّهِ وَقَدۡ هَدَٮٰنَا سُبُلَنَا‌ۚ وَلَنَصۡبِرَنَّ عَلَىٰ مَآ ءَاذَيۡتُمُونَا‌ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُتَوَكِّلُونَ (١٢)


Terjemahan: "Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah (untuk dihisab pada hari kiamat); kemudian orang-orang Yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang Yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): "Sesungguhnya Kami telah menjadi pengikut kamu; maka Adakah kamu dapat menolak daripada Kami sedikit dari azab Allah? " mereka menjawab: "Kalaulah Allah menunjukkan jalan Selamat kepada kami, tentulah Kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu)".
[Ibrahim 14: 12]
Kenyataan berikut ini dapat menjelaskan lagi perkara di atas:

a. Athar Sahabat yang menyebut: “Kami tidak menghitung seseorang itu benar-benar beriman apabila ia tidak sabar di atas kepayahan”.
b. Allah berfirman:


وَلَا تُطِعِ ٱلۡكَـٰفِرِينَ وَٱلۡمُنَـٰفِقِينَ وَدَعۡ أَذَٮٰهُمۡ وَتَوَڪَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَڪِيلاً۬ (٤٨)


Terjemahan:” janganlah Engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).”
(al-
Al-Ahzab 33: 48)
dan firman-Nya lagi:

وَلَقَدۡ نَعۡلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدۡرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (٩٧) فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّـٰجِدِينَ (٩٨)


Terjemahan: "Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud. "(al-Hijr 15: 97-98).


c. Nabi Muhammmad s.a.w pernah disakiti orang dengan mengatakan bahawa baginda tidak berlaku adil dalam membahagikan unta serta tidak berlaku ikhlas dalam pembahagian tersebut. Apabila ungkitan itu diberitahu kepada baginda, Nabi s.a.w. bersabda:


فـَمَنْ يَـعْدِلُ إِذَا لَـمْ يَـعْـدِلِ اللهُ وَرَسُـوْلُهُ رَحِمَ اللهُ مُـوْسَـى قَدْ أُوْذِىَ بـِاَكْـثَـرِ مِنْ هَذَا فَـصَـبَرَ .

Maksud: "Maka siapakah lagi yang berlaku adil apabila Allah dan Rasul-Nya tidak berlaku adil?. Allah telah merahmati Nabi Musa a.s. Sesungguhnya beliau disakiti lebih banyak daripada ini maka beliau tetap bersabar."

d. Allah menyebut dalam Quran dan memerintahkan bersabar terhadap perkara-perkara menyakiti yang dilakukan oleh mereka yang tidak beriman. Dalam surah āli ‘Imran 3: 186, Allah berfirman:



۞ لَتُبۡلَوُنَّ فِىٓ أَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِڪُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِڪُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَذً۬ى كَثِيرً۬ا‌ۚ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ (١٨٦)


Terjemahan: “Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

4.Sabar Menerima Qadak Allah

Sabar menerima qadak Allah ini seperti kematian orang yang dikasihi, musnahnya harta benda dan sebagainya disebabkan bala bencana yang menimpa. Bersabar dalam menghadapi perkara-perkara ini menurut adalah setinggi-tinggi pangkat kesabaran.

Penjelasan al-Ghazali menyebut bahawa darjah kesabaran yang tinggi sedemikian itu dapat dicapai dengan meninggalkan rasa kesal lantaran terlampau sedih dengan sesuatu musibah yang menimpa, seperti bertindak mengoyakkan baju, menampar pipi, terlampau banyak merintih sambil melahirkan perasaan dukacita yang keterlaluan. Sayugianya perkara-perkara tersebut hendaklah dihindari, dan hendaklah menerima qadak Allah itu dengan rasa lapang dada dan berkeadaan seperti biasa. Bahagian sabar yang keempat ini menyebut bahawa sabar ini adalah setinggi-tinggi pangkat sabar. Ungkapan ini diiringi dengan membawa kata-kata Ibn ‘Abbas [w:68H/687M] berkenaan tiga pangkat sabar dalam Quran: "sabar atas menunaikan segala fardu dan baginya tiga ratus pangkat dan sabar atas yang diharamkan Allah taala dan baginya enam ratus pangkat dan sabar atas bala pada ketika jatuh ia dengan terkejut dan baginya sembilan ratus pangkat".

Kesempurnaan iman tersusun dari sabar dan syukur. Adanya sabar memberi erti seseorang itu telah memenuhi separuh daripada keimanan. Manakala keimanan yang sempurna pula adalah gabungan daripada sabar dan syukur. Beliau menegaskan: “dan tatkala adalah iman yang sempurna itu tersusun daripada sabar dan syukur”. Kenyataan di atas beliau perkukuhkan dengan Hadis:

اَلإِيْمَانِ نِصْـفَـانِ: نِصْـفٌ فِى الصَّـبْرِ وَنصْفٌ فِى الشُّـكْرِ.

Maksud: "Iman terbahagi kepada dua: Separuh pada (terletak) pada kesabaran dan separuh lagi (terletak) pada kesyukuran.
"

Keimanan yang sempurna tidak terkeluar dari konsep Hadis di atas, kerana konsep iman itu ialah membenarkan dengan hati, menuturkan dengan lidah dan beramal dengan anggota. Ketiga-tiga perkara tersebut terbahagi kepada dua bahagian berikut:
i. Mengerjakan segala yang diperintahkan, hal ini merupakan hakikat syukur.
ii. Meninggalkan segala yang dilarang, hal ini merupakan hakikat sabar dari mengerjakan maksiat.

No comments:

Post a Comment