Sunday, September 6, 2009

2. Takutkan Allah

Pengertian takut ialah: “perasaan pedih dalam hati serta merasai sakit dengan perkara yang tidak disukai pada masa akan datang” Ada dua sebab yang boleh menghasilkan seseorang itu takut kepada Allah:

1. Dosa-dosa yang dilakukan
2. Mengenal sifat-sifat Allah taala.

Antara dua sebab tersebut takut lantaran mengenal sifat-sifat Allah lebih sempurna daripada yang pertama lantaran mereka yang mengenal sifat-sifat Allah pasti merasa takut kepada-Nya. Quran menyebut:


وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ مُخۡتَلِفٌ أَلۡوَٲنُهُ ۥ كَذَٲلِكَۗ إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)


Terjemahan: "...sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu."
(Fatir 35: 28)

Ayat tersebut diberi pengertian oleh Mandili sebagai: Hanya sanya takutkan Allah taala daripada segala hamba-Nya oleh sekalian orang alim.Ukuran takut pula berbeza antara seorang dengan seorang yang lain mengikut pengenalan. Barangsiapa yang banyak pengenalannya nescaya banyak takutnya dan barangsiapa yang sedikit pengetahuannya nescaya sedikit oleh takutnya. Hadis menyebut:

أَنَا أَخْوَفُكُمْ ِللهِ تَعَالَى

Maksud:" Aku adalah orang yang paling takut kepada Allah taala dari kalangan kamu."


Nabi s.a.w adalah orang yang paling banyak makrifatnya kepada Allah, justeru itu ukuran martabat takutnya melebihi orang lain. Dapat dikatakan bahawa perasaan tersebut wujud dalam diri manusia hasil dari cetusan hati yang menurut perkiraan serta keyakinannya bahawa ia akan terkena sesuatu yang tidak diingini, sama ada pada dirinya ataupun apa yang dimilikinya.

Suasana ini dapat digambarkan kepada seorang penjenayah ke atas seorang raja, kemudian penjenayah itu ditangkap. Ia merasa takut dihukum bunuh atas perbuatan jenayahnya walaupun ada kemungkinan ia akan diampun. Takutkan Allah adalah satu kelakuan yang terpuji dan memperolehi empat keutamaan yang Allah taala himpunkan kepada mereka: pertunjuk, rahmat, ilmu pengetahuan dan keredaan daripada Allah. Quran menegaskan:


وَلَمَّا سَكَتَ عَن مُّوسَى ٱلۡغَضَبُ أَخَذَ ٱلۡأَلۡوَاحَ‌ۖ وَفِى نُسۡخَتِہَا هُدً۬ى وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلَّذِينَ هُمۡ لِرَبِّہِمۡ يَرۡهَبُونَ (١٥٤)


Terjemahan: "Petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya)."(al-A‘rāf 7: 154)


وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ مُخۡتَلِفٌ أَلۡوَٲنُهُ ۥ كَذَٲلِكَۗ إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ (٢٨)

Terjemahan: "...sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu." (Fatir 35: 28)

جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)

Terjemahan: "Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya." (Surah al-Bayinah 98: 8)

Ada dua jalan yang boleh menghasilkan takut dalam hati seseorang Mukmin:

Bahawasanya menghasilkan takut itu dengan dua perkara:

1. Dengan pengetahuan dan pengenalan. Maka mereka yang mengetahui kebesaran Allah taala terkaya-Nya daripada segala makhluk, Dia menjadikan Syurga dan Neraka. Manusia pula tiada mengetahui adakah ia penduduk Syurga atau penduduk Neraka maka sudah tentu ia takut kepada Allah taala.

2. Dengan memandang kepada sekalian mereka yang takut dan menilik kelakuan mereka serta mendengar perkhabaran mereka itu. Bandingannya seperti kanak-kanak tiada takut kepada ular, kerana tiada mengetahui bahawasanya ular itu menyebabkan kebinasaan. Bersalahan bapa bagi budak itu, ia takutkan ular kerana ia mengenal dan mengetahui mudarat dengan sebab dipatuk ular. Apabila melihat kanak-kanak perihal ayahnya yang takutkan ular, dan lari daripadanya, gementar badannya kerana melihat ular itu nescaya ia mengikut akan ayahnya pada ketakutan dan ada dalam hatinya perasaan takut, sekalipun tidak mengetahui sifat ular.

Para ulama yang berkecimpung dalam bidang akhlak mengibaratkan sifat takut itu sebagai cemeti yang menghalau hamba kepada tuah akhirat. Walau bagaimanapun sifat tersebut tidak harus berlebih-lebihan sehingga menyebabkan seseorang itu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sifat berputus asa itu dicela. Mengelakkan terjadinya sifat berputus asa kerana bersangatan rasa takut kepada ancaman Allah disarankan agar dicampurkan perasaan takut tersebut dengan mengharapkan rahmat daripada Allah, lebih-lebih lagi kepada orang yang mengerjakan maksiat. Kepada mereka ini, perasaan takutnya hendaklah lebih kuat daripada mengharapkan rahmat. Sebaliknya kepada mereka yang mengerjakan ketaatan, hendaklah diimbangkan sama banyak antara takut dan harap.

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dalam menanggapi perkara ini menyebut:

Apabila bersangatan takut hendaklah mencampur ia akan dia dengan harap akan rahmat Allah taala. Dan sayugia bahawa lebih kuat takut daripada harap selama mana ada ia mengerjakan dosa. Adapun orang yang taat yang tiada ada maksiatnya maka sayugianya sama banyak oleh takutnya dan harapnya.

Hakikat ini disebabkan manusia tidak mengetahui secara pasti apakah amal-amalnya itu diterima atau tidak, justeru dalam keadaan ini sudah tentu perasaannya diselubungi rasa takut dan harap kepada Allah. Takut dan bimbang kalau-kalau tidak diterima dan pada masa yang sama mendambakan harapan, harap-harapnya diterima Allah. Bertolak dari sini mereka yang Mukmin itu akan sentiasa berusaha memperbaiki amal-amalnya sebaik mungkin, atau berbuat taat sebanyak yang boleh.

Takut dan harap, masing-masing menunggu sesuatu yang mendatang. Ia memberi motivasi positif kepada mereka yang beriman untuk berbuat ketaatan disamping menyuntik unsur positif kepada mereka yang berdosa, iaitu harapan agar Tuhan mengampunkannya, lantas mereka berusaha beramal dan bertaubat untuk mendapatkan keampunan-Nya.

Unsur positif kepada mereka yang sedia beramal pula ialah takut kalau-kalau amalan tersebut tidak diterima, lantas mereka terus juga beramal dan tidak berpuas hati dengan ada perasaan bahawa amalan yang mereka lakukan telah cukup. Tegasnya kehilangan konsep takut ini akan membawa kepada rosaknya perjalanan sistem peribadatan lantaran manusia dapat membuat ‘confirmation’ kepada amalannya.

Hasilnya akan berlakulah mala petaka kepada manusia itu sendiri. Dalam menghujah kenyataan ini Umar al-Khatabb [w: 23H/644M] pernah menyebut Jika diseru:

“hendaklah masuk Syurga sekalian makhluk kecuali seorang lelaki, nescaya aku takut bahawa akulah lelaki yang dimaksudkan, dan jika diseru: hendaklah masuk api Neraka oleh sekalian makhluk kecuali seorang lelaki, nescaya aku harap bahawa akulah lelaki yang dimaksudkan”

Apabila seseorang itu hampir dengan masa kematiannya, hendaklah ia berharap dan sentiasa berbaik sangka dengan Tuhannya lantaran takut pada ketika hampir mati tiada memberi apa-apa faedah kepada seseorang.

Keadaan begini lebih utama dengan alasan Hadis:

لاَ يَمُـوْتَنَّ أَحَدٌ مِـنْكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يـُحْـسِـنُ الظَّـنَ بِاللهِ تَـعَالَـى.

Maksud: "Janganlah seseorang kamu mati melainkan dalam keadaan ia bersangka baik terhadap Allah taala."

Seseorang yang hampir mati itu hendaklah menaruh pengharapan rahmat dan kemaafan daripada Allah, kerana pada ketika itu perasaan takut tidak membawa apa-apa faedah.
Dalam membicarakan masalah harap dan cita-cita al-Mandili cuba membuat perbezaan kepada dua istilah yang kelihatannya hampir bersamaan. Ungkapan ini dapat difahami daripada kenyataan Mandili yang menyebut: “dan bahawasanya harap itu menyalahi ia akan cita-cita”. Menghuraikan lebih lanjut masalah di atas Mandili menyebut istilah harap sebagai:

“harap itu bergantung hati dengan yang digemari pada hasilnya pada masa yang akan datang serta berusaha ia pada sebab bagi hasilnya, seperti mereka yang ia membajak akan sawah dan menanam ia padanya akan padi, maka harap ia akan mendapat padi pada ketika mengetam”.

Sementara istilah cita-cita pula diungkapkan oleh Mandili sebagai: Cita-cita itu bergantung hati dengan yang tersebut dengan tiada berusaha pada menghasilkan yang digemari itu, seperti mereka yang bercita-cita mendapat anak dengan tiada ia berkahwin. Menghujah perbezaan dua istilah di atas Mandili berdalilkan Quran:


إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَـٰهَدُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِ‌ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٢١٨)


Terjemahan: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-Baqarah 2: 218)

Mandili menjelaskan lagi kedudukan tersebut dengan membuat analogi hasil ‘perasaan mengharap’ dengan hasil ‘perasaan takut’. Perasaan mengharap menurutnya akan membawa seseorang gemar unuk mendapatkan apa yang diharapkannya, sementara hasil dari perasaan takut pula menyebabkan seseorang itu lari daripada apa yang ditakutinya.

Kedua-dua takut dan harap itu ada tindakan susulan untuk mencapai matlamatnya. Mandili mengatakan bahawa tahap takut yang paling minimun ialah yang dapat menyebabkan seseorang meninggalkan dosa dan berpaling dari dunia. Kenyataan ini bermaksud konsep takut yang sempurna ialah mereka yang zuhud dari dunia. Oleh kerana itu sesiapa yang sifat takutnya tidak menyebabkan ia bertindak sedemikian (berpaling dari dunia) bermakna hatinya masih belum memiliki sifat takut dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

No comments:

Post a Comment