Sunday, September 6, 2009

3.Zuhud

Zuhud adalah di antara akhlak terpuji yang telah anjurkan agar seseorang itu beramal dengannya. Pengertian zuhud ialah tidak menyukai dunia dan berpaling daripadanya.

“Bahawasanya zuhud itu benci akan dunia dan berpaling daripadanya”.

Kebencian kepada dunia dan berpaling daripadanya bukanlah bermakna membuang dunia sama sekali bahkan bererti tidak menjadikan dunia itu bertakhta di hati, sehingga menyebabkan seseorang itu tergila-gilakan dunia. Mereka adalah manusia yang hidup di dunia tetapi hatinya untuk akhirat.

Orang zuhud dikasihi Allah dan manusia. Hadis menyebut:

إِزْهَـدْ فِـىْ الـدُّنْـيـَا يُـحِـبَّـكَ اللهُ وَازْهَــدْ فِـيـْمـَا فِـىْ أَيـْدِىْ الـنَّـاسِ يُـحِـبُّكَ الـنَّاسُ.

Maksud: Zuhudlah pada dunia nescaya kamu disukai Allah, dan berzuhudlah terhadap apa yang ada pada tangan manusia nescaya kamu dikasihi orang.

Zuhud tidak akan terhasil kecuali dengan ilmu. Quran menyebut:


وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ وَيۡلَڪُمۡ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَيۡرٌ۬ لِّمَنۡ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلصَّـٰبِرُونَ (٨٠)

Terjemahan: Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar". (al-Qasas 28: 80)

Ayat di atas menceritakan perihal orang yang diberi ilmu tidak terpesona dengan kemewahan yang dimiliki oleh Qarun.

Ada tiga tahap zuhud:

Pertama, Keadaan hati seseorang itu masih cenderung kepada dunia, akan tetapi ia berusaha bersungguh-sungguh melawan nafsunya. Tingkat ini permulaan bagi zuhud.

Kedua, Seseorang yang begitu mudah meninggalkan keduniaan, tidak cenderung padanya dan memandangnya sebagai hina bila dihubungkan dengan apa yang diharapkan dari nikmat Allah. Mereka ini seumpama orang yang menolak satu dirham kerana mengharap akan mendapat dua dirham. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili mengungkapkan:

"Bahawa liar hatinya daripada dunia dan tiada cenderung ia kepadanya kerana mengetahui akan bahawasanya tiada bisa menghimpun akan dunia dan akhirat, maka mudah hatinya dengan meninggalkan dunia itu kerana mengetahui ia akan bahawasanya akhirat itu lebih baik daripada dunia, seperti murah hati mereka yang membeli akan permata yang indah dengan seringgit, sekalipun kasih ia akan wang yang seringgit itu dan ini zuhud yang lebih rendah."

Ketiga, Orang yang tidak cenderung hatinya pada dunia dan pada dirinya sama sahaja, sama ada keduniaan itu ada atau pun tiada. Mereka ini menganggapkan harta benda yang ada pada miliknya seumpama air, sedang perbendaharaan Allah taala itu seperti lautan. Justeru itu hatinya tidak berpaling kepada dunia walaupun adanya rasa keinginan atau cetusan gemar pada hatinya. Zuhud tahap ini lebih tinggi dan lebih sempurna dari tahap yang kedua. Dalam hal ini Mandili mengungkapkan:

"Bahawa tiada cenderung hatinya kepada dunia dan tiada liar daripadanya, bahkan adanya dan tiadanya bersamaan keduanya pada sisinya dan adalah harta benda pada sisinya seperti air dan perbendaharaan Allah taala seperti laut, maka tiada berpaling hatinya kepadanya kerana gemar atau kerana liar, dan bermula ini zuhud yang lebih sempurna dan lebih tinggi daripada yang kedua."

Tahap mereka yang sebegini tidak ada kekhuatiran pada dirinya sama ada dari pihak kebencian atau pun dari pihak kegemaran. Alasan yang diberikan ialah: “kerana yang benci akan sesuatu berbimbang ia dengan dia, semacam dengan yang kasih akan dia”. Dalam hal ini dicontohkan beberapa orang lelaki mencela dunia di hadapan Rabi‘ah al-‘Adawiyyah [w:185H], beliau berkata: “Andainya dalam hati kalian tiada kekeruhan, nescaya tiadalah kalian mencelanya”.
Aisyah radiiya Allahu anha yang pernah dibawakan seratus seribu dirham kepadanya, tetapi tiadalah ia benci pada wang tersebut, akan tetapi pada hari itu juga dibahagi-bahagikannya, sedikit pun tiada berbaki. Lalu berkatalah khadamnya: “kalaulah dibelikan daging satu dirham dengan wang tersebut dapatlah puan berbuka puasa dengan daging”. Ujarnya: “Andainya kamu memperingatkan aku nescaya aku lakukan”. Tahap ini dikatakan terkaya dan ia lebih sempurna dari pangkat zuhud.

Sebab-sebab yang mendorong kepada zuhud terbahagi kepada tiga perkara.

1 Takutkan azab Neraka.
2 Inginkan nikmat Syurga.
3 Mengagungkan Allah.

Sebab yang pertama dianggap zuhud orang-orang yang takut. Mandili mengatakan: “takut akan api neraka, dan iaitu zuhud sekalian yang takut”. Sementara penyebab yang kedua pula dianggap sebagai zuhud orang yang mengharap. Hal ini ditegaskan oleh Mandili dengan menyebut: “gemar pada nikmat akhirat, ini lebih tinggi dari yang pertama dan zuhud yang terjadi daripadanya zuhud sekalian yang harap”.

Walau bagaimanapun penyebab yang kedua ini dianggap lebih afdal dari yang pertama, kerana beribadat yang disertakan dengan harap lebih afdal dari ibadat disebabkan takut, lantaran harapan melazimkan adanya rasa kecintaan [ma¥abbah]. Perkara ini ditegaskan oleh Mandili dengan ungkapan: “dan bermula ibadat serta harap lebih afdal daripada ibadat serta takut, kerana harap itu melazimkan ia akan kasih”.

Penyebab yang ketiga pula dianggap paling tinggi, kerana mereka yang berada di tahap ini tidak ada keinginan selain Allah. Zuhud ini disebut sebagai zuhud orang-orang ‘arif³n dan dirumuskan sebagai: “dan iaitu yang lebih tinggi, bahawa adalah sebab bagi zuhud itu membesarkan diri daripada berpaling kepada yang lain daripada Allah taala, kerana membersihkan hati daripadanya dan menghinakan akan barang yang lain daripada Allah taala dan itu zuhud sekalian ‘arif³n”.

Tingkatan zuhud yang paling sempurna dalam segala zuhud ialah zuhud dari yang selain Allah di dunia dan akhirat. Tingkatan yang lebih rendah dari zuhud ini ialah zuhud pada dunia sahaja sama ada berupa harta, kemegahan atau bersenang-senang dengannya. Lebih rendah daripada ini pula ialah zuhud pada harta sahaja, tetapi masih tidak meninggalkan kemegahan dan seumpamanya. Dalam kata-kata yang lain zuhud pada setengah perkara dan tidak pada perkara yang lain. Zuhud yang terakhir ini dianggap sebagai zuhud paling lemah kerana kemegahan lebih lazat dan digemari daripada harta, maka berzuhud pada kemegahan itu lebih utama.

Ada perbezaan antara kezuhudan dan kefakiran. Zuhud adalah satu ibarat mengkesampingkan dunia kerana taat serta berkemampuan berbuat demikian. Andaikata dunia dikesampingkan sedang pada waktu yang sama hati terasa masih cenderung kepadanya, maka pada waktu itu dinamakan sebagai fakir bukannya zuhud.

Orang fakir memiliki keutamaan melebihi orang kaya. Kenyataan ini disandarkan kepada Hadis:

يَدْخُلُ فُقَرَاءُ أُمَّتِى الْجَنَّةَ قَبْلَ أَغْنِيَائِهِمْ بِـخَمْـِسـمِائَـةِ عَامٍ.

Maksud: "Orang yang fakir dari kalangan umatku akan masuk ke dalam syurga mendahului orang kaya selama lima ratus tahun."

Terdapat riwayat lain yang mengatakan beza masa tersebut adalah selama “empat puluh tahun”. Al-Ghazali³ ada menyebut bahawa dimaksudkan dengan fakir yang mendahului lima ratus tahun ialah fakir yang zahid, mendahului orang kaya yang gemar kepada dunia. Manakala masa “empat puluh tahun” pula adalah fakir yang rakus mendahului orang kaya yang rakus.
Sabda Rasulullah s.a.w bagi menggambarkan kelebihan hidup miskin:

اَللَّـهُـمَّ أَحْـيِـنِى مِـسْــكِـيْـنـًا وَأَمِـتْـنِىْ مِـسْـكِـيْـنـًا.

Maksud: "Wahai Tuhanku, hidupkan daku dalam keadaan miskin dan matikanlah daku dalam keadaan miskin."

Menurut hemat penulis gambaran perihal keutamaan hidup fakir yang dinyatakan dalam Hadis-Hadis di atas ialah fakir yang dapat menjaga adab-adab kefakirannya dengan baik, dalam ertikata berhajatnya mereka kepada Allah dari satu sudut, sementara tidak meminta-minta kepada orang lain untuk memenuhi keperluan hidupnya dari satu segi yang lain pula.

Apabila ada sifat seperti ini dalam diri seseorang, ternyata bahawa ia telah beramal dengan sifat zuhud. Hadis ada memaparkan bagaimana pujian Rasulullah s.a.w kepada mereka yang berpada dengan kehidupannya:

طُـوْبَى لِمَـنْ أَسْـلَـمَ وَكَانَ عَـيْشُـهُ كَـفَافـًا .

Maksudnya: "Berbahagialah bagi sesiapa yang tunduk dan patuh kepada Allah (Islam) dan kehidupannya pula berpada-pada."

Untuk mendapatkan pahala yang besar pula, hendaklah si Fakir tersebut bersabar serta reda dan berpada dengan apa yang ada kerana bersabar atas kepapaan itu adalah permulaan kepada zuhud. Memperkukuhkan agar hidup dalam suasana kemiskinan, dapat dilihat daripada sirah Rasulullah s.a.w seperti berikut:

“wafat oleh Nabi s.a.w pada ketika baju besinya tergadai pada sisi Yahudi, kerana hutangnya sebab nafkah ahlinya”.

Sirah ini tidaklah bermaksud baginda mengajarkan agar umat Islam hidup dalam keadaan papa kedana, tetapi memberi pengajaran agar mereka tidak meletakkan keutamaan hidup di dunia melebihi kehidupan akhirat. Kecintaan dan kesenangan hidup di dunia adalah sementara dan akhiratlah yang sewajarnya diberi keutamaan, lantaran akhirat itulah kehidupan yang sebenar-benarnya seperti yang dijelaskan dalam sabdanya:

اَللَّهُمَّ لاَ عَـيْـشَ إِلاَّ عَـيْـشُ اْلآخِرَةِ

Maksud: "Wahai Tuhanku, tiada kehidupan yang sebenar kecuali kehidupan akhirat."

Sesungguhnya para Sahabat yang mengutamakan akhirat itulah yang mampu membangunkan dunia sebaliknya mereka yang mengutamakan dunia dan membelakangkan akhirat akan menghancurkan dan meruntuhkan kehidupan dunia ini. Pesanan ini jelas tergambar di dalam Hadis:

فَوَاللهِ مَا اْلــفَــقْـرَ أَخْشَـى عَلَـيْـكُمْ وَلَـكِـنْ أَخْـشَــى عَلَـيْـكُمْ أَنْ تُـبْـسَــطَ عَلَـيـْكُـمُ الـدُّنـْيــَا كَـمَا بُسِــطَــتْ عَـلَـى مَنْ كَانَ قَــبْـلَـكُـمْ فَـتَـنَـافَسُــوْهـَا كَمَا تَـنَـافَسُـوْهَـا وَتُـهْـلِـكَكُـمْ كَـمـَا أَهْلَـكَتْهُمْ

Maksud: "Maka demi Allah bukanlah kefakiran yang paling aku takut menimpa kamu semua, akan tetapi yang paling aku takut menimpa kamu ialah dibentangkan atas kamu dunia sepertimana dibentangkan atas orang-orang sebelum kamu, lalu mereka berebut-rebut padanya sepertimana kamu juga berebut-rebut padanya, akhirnya kamu binasa sepertimana mereka juga binasa."

Dalam riwayat yang lain ketika Abu ‘Ubaydah membawa pulang harta yang banyak dari Bahrain, dan berita kepulangannya diketahui oleh sahabat-sahabat kalangan Ansar, mereka datang bersembahyang Subuh bersama-sama Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w tersenyum melihat mereka dan bersabda:

أَظُـنُّـكُمْ سَـمِعْـتُمْ بِقُدُوْمِ أَبِـى عُـبَيْـدَةَ وَأَنَّهُ جَـاءَ بِشَـىْءٍ قَـالُوْا أَجَلْ يَا رَسُـوْلَ اللهِ قَالَ: فَـأَبْشِـرُوْا وَأَمِّلُوْا مَا يَـسُـرُّكُـمْ فَـوَاللهِ مَا الْـفَقْرَ أَخْشَـى عَـلَـيْكُمْ وَلَكِنْ أَخْـشَـى عَـلَـيْـكُمْ أَنْ تُـبْـسَـطَ عَلَـيْكُمُ الدُّنْيَا كَمَا بُـسِـطَـتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَـبْـلَـكُمْ فَـتَــنَـافَـسُـوْهَـا كَـمَـا تَـنَـافَسـُـوْهـَا وَتُلْهِيَْكُمْ كَمَا أَلْـهَـتْـهُمْ.

Maksud: "Saya beranggapan bahawa kamu semua telah mendengar kepulangan Abu Ubaidah membawa sesuatu harta?. Jawab mereka: Benar! Wahai Rasulullah. Sabdanya: Bergembiralah engkau semua dan bolehlah mengharapkan sesuatu yang akan menyenangkan kamu semua. Demi Allah, bukanlah kefakiran itu yang aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut jikalau harta dunia ini diluaskan untuk kamu semua (menjadi kaya raya) seperimana telah diluaskan untuk orang-orang sebelum kamu, lalu kamu semua berlumba-lumba untuk mencarinya sepertimana mereka juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu harta benda itu melalaikan kamu sepertimana mereka itu lalai."

Suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersembahyang jenazah ke atas seorang ahli Badar, apabila selesai baginda menaiki mimbar dan berkhutbah:

إِنِّـىْ فَـرَطُـكُـمْ وَأَنـَا شَــهِــيـْـدٌ عَــلَـيـْـكُـمْ وَإِنِِّـى وَاللهِ لأَنْـظُـرُ إِلَـى حَـوْضِـى اْلآنَ وَإِنِّـى قَدْ أُعْـطِـيْتُ مَـفَـاتِـيْحَ خَــزَائِـنِ اْلأَرْضِ أَوْ مَـفَـاتِـيـْحَ اْلأَرْضِ وَإِنِّى وَاللهِ مَـا أَخـَافُ عَـلَـيـْكـُمْ أَنْ تُـشْــرِكُـوْا بَـعْـدِىْ وَلَـكِنى أَخـَافُ عَــلَــيْـكُـمْ أَنْ تَـنَـافَـسُــوْا فِـيـْهــَا
.
Maksud: "Sesungguhnya aku mendahului kamu semua, dan aku bersaksi atas kamu semua, dan sesungguhnya demi Allah, aku benar-benar melihat Hawđ-ku (kolam di Syurga) sekarang ini, dan sesungguhnya aku telah diberikan kunci-kunci khazanah bumi atau kunci-kunci bumi, dan aku demi Allah sesungguhnya tidak takut kamu berlaku syirik selepas (wafat) ku, akan tetapi aku takut atas kamu bahawa kamu berlumba-lumba padanya (mengejar keduniaan)."

Kebimbangan Rasulullah s.a.w itu adalah berpandukan kepada petunjuk kenabiannya dan sejarah umat terdahulu yang binasa kerana berfaham dengan faham kebendaan [materialisme].

Justeru itu dalam peringatannya kepada umat Islam sikap zuhud yang ditunjukkan itu adalah sebagai penawar mujarab bagi memulihkan keadaan. Kelihatan di sini Mandili berkecenderungan untuk mengaitkan konsep hidup dalam kepapaan dengan sifat zuhud dan sekaligus menganjurkan agar hidup dengan suasana papa lantaran kepapaan adalah permulaan kepada zuhud. Ujarnya:

“..dan bermula sabar atas kepapaan itu adalah ia permulaan bagi zuhud, dan tiada sempurna zuhud dan lainnya melainkan dengan sabar..”

Andaikata benar kenyataan sabar atas kepapaan itu sebagai permulaan hidup zuhud, pada hemat penulis perkara ini jelas keliru dan mengelirukan, kerana konsep zuhud itu terjadi kepada mereka yang memiliki harta dan berupaya pula mengawal dirinya daripada menjadikan harta itu meresap ke dalam dirinya dengan erti cintakan harta atau mengabdikan diri kepada harta.

Keadaan ini amat berbeza dengan suasana mereka yang tidak memiliki apa-apa harta, maka sudah tentu ia tidak dapat berzuhud pada hartanya. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh berzuhud kepada harta sedang ia sendiri papa tidak memiliki apa-apa harta. Berzuhud pada sesuatu yang tiada, sama sekali tidak mungkin terjadi. Ini disebabkan zuhud adalah satu ibarat dari usaha yang dilakukan bagi berpaling dari dunia dan antara yang dizuhudkan dari dunia itu ialah perkara yang berupa harta benda.

Menurut al-Ghazālî, ada enam perkara yang dizuhudkan, iaitu: makanan, pakaian, tempat tinggal, peralatan rumah, pernikahan, harta dan kemegahan. Al-Maqdisi³ dalam memberikan tujuh perkara, sama seperti al-Ghazālî kecuali harta dan kemegahan diasingkan masing-masing menjadi bahagian yang tersendiri.

Maksud Hadis kemiskinan dan kepapaan agak sukar difahami bila tidak dihubungkan dengan doa-doa lain yang sering didoakan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu baginda sering memohon kepada Allah antaranya agar dijauhkan dari sifat-sifat tercela seperti bakhil, dukacita, malas, pengecut. dan doa-doa agar Allah kurniakan kepadanya kekayaan. Tegasnya Rasulullah s.a.w memohon perlindungan dari kefakiran itu ialah kefakiran orang-orang yang ‘terpaksa’; sementara memohon dihidupkan dalam ‘kefakiran’ atau mengatakan keutamaan mereka yang fakir ialah kefakiran yang bermaksud berhajat kepada Allah.

Nyatalah bahawa Hadis-hadis tersebut tiada pertentangan sama sekali bila dihubungkan antara satu dengan yang lain dan tidak memaksudkan agar tidak memiliki harta benda, atau berusaha mendapatkannya. Cuma yang ditekankan ialah supaya tidak menjadi fitnah sama ada dengan kemiskinan, ataupun dengan kekayaan.

1 comment: