Thursday, April 23, 2009

Zikrullah Dan Wirid Dalam Ilmu Tasawuf.

PENDAHULUAN

Salah satu aspek terpenting di dalam disiplin ilmu dan amalan tasawuf ialah amalan zikrullah dan wirid. Amalan ini sering menonjol di kalangan pengamal tareqat tasawuf. Zikir atau zikrullah merujuk kepada maksud mengingati Allah S.W.T. Di dalam amalan tareqat dan tasawuf zikrullah atau mengingat Allah S.W.T. itu dibantu dengan bermacam-macam ungkapan yang secara langsung atau tidak langsung membawa maksud mengingati Allah S.W.T.. Seperti dengan menyebut nama-nama Allah S.W.T., sifat-sifat-Nya, dan perbuatan-Nya.

Ahli tareqat dan tasawuf berkeyakinan bahawa seorang insan melalui amalan zikir akan menjadikan dirinya dapat merasakan lahir dan batinya dilihat oleh Allah S.W.T. dan segala urusan pekerjaannya diawasi oleh Allah S.W.T., perkataannya didengar oleh Allah S.W.T., manakala cita-cita dan niatnya pula tidak terlepas dari pengetahuan Allah S.W.T. Benarlah seperti apa yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis Jibril yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi di dalam Sunannya tentang situasi ini, antara lain menyatakan:

ما الإحسان : الإحسان أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك .
Bermaksud:

“Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Ihsan? Baginda bersabda: Ihsan itu ialah sesungguhnya engkau menyembah (mengabdi diri) kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Maka sesungguhnya jika engkau tidak dapat melihat-Nya maka sesungguhnya Dia (Allah) melihat kamu”


Di dalam amalan tareqat dan tasawuf, dengan amalan zikrullah seseorang akan mencapai makrifah kepada-Nya dan akan melahirkan dua sifat kepada pengamalnya; Pertama akan melahirkan sifat takwa manakala yang kedua akan melahirkan sifat mahabbah iaitu sifat cintakan kepada Allah S.W.T. Dengan sifat takwa seorang hamba akan menuruti segala perintah tuannya selaku Khalik, manakala sifat mahabbah pula akan melahirkan sifat cintakan kepada perbuatan yang disuruh oleh Allah S.W.T. selaku penciptanya.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment