Monday, December 14, 2009

4.2.4 AI-Rābitah sebagai sumber al-mahabbah .


4.2.4 AI-Rābitah sebagai sumber al-mahabbah .

Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, al-mahabbah, kasih mengasihi dan sayang menyayangi antara seorang murid dengan gurunya, antara seorang murid dengan rakan setariqatnya dan seterusnya antara seorang murid dengan masyarakatnya amat dituntut dan diberatkan. Perkara ini menjadi asas yang sangat penting bagi seorang murid atau sālik ketika menjalani suluk. Ini kerana dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf hubungan yang erat antara murid, guru dan rakan-rakan setariqat adalah ukuran bagi menentukan berjaya atau gagalnya seseorang yang sālik untuk mencapai wusul ilā Allah. Mahabbah di sini merangkumi aspek zahir dan batin bagi seorang yang sālik. Dari sudut zahirnya, tuntutan untuk berkasih sayang itu jelas dapat dilihat seperti yang dituntut oleh hadis baginda s.a.w. yang antara lain menyatakan:

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم كالجسد الواحد إذا اشتكى منه عضو واحد تداعى له سائر الجسد بالهر والحمى

Maksudnya:

Perumpamaan bagi seorang muslim dari sudut kasih, sayang dan lemah lembutnya mereka sesama mereka ialah seperti satu jasad, apabila mengadu salah satu anggota dengan satu kesakitan maka seluruh anggota badannya akan berjaga dan menanggung penderitaan tersebut.

Manakala mahabbah dari sudutnya yang batin bagi seorang yang sālik itu dapat dilihat dari firman Allah S.W.T. yang antara lain:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ .
Maksudnya:


Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

Ayat di atas jelas membawa maksud perintah supaya setiap mukmin itu bersama-sama dengan orang-orang yang bersifat al-sādiqin. Untuk menyahut seruan tersebut adalah wajar bagi seorang yang mukmin merasa-rasakan diri mereka bersama-sama dengan orang-orang yang al-sādiqin. Kebersamaan tersebut terjelma dalam semua aspek kehidupan mereka, sama ada dari sudut keimanan seperti berpegang kepada janji, taubat, inābah dan sebagainya. Malahan bagi mereka yang berkesempatan untuk bertemu dengan mereka, maka hendaklah bersama-sama bergaul dan berdampingan dengan orang-orang al-sādiqin tersebut.

Sebaliknya jika tidak berkesempatan untuk berbuat demikian maka cukup sekadar dengan roh melalui kaedah dan amalan al-rābitah. Ini kerana menurut Ibrāhim Hilmi al-Qādiri, terdapat ramai orang yang bersama-sama dengan orang-orang yang bersifat al-sādiqin dari sudut zahirnya, tetapi pada hakikatnya mereka itu tidak bersama-sama dengan golongan al-siddiqin tersebut dari sudut al-hāl. Sedangkan di sana terdapat golongan yang berjauhan dengan orang-orang yang bersifat al-siddiqin dari sudut zahirnya, tetapi sebenarnya mereka bersama-sama dengan golongan al-siddiqin itu dari sudut rohnya.

Fakta di atas dapat dibuktikan dengan melihat kepada konsep al-kaynunah yang terdapat dalam ayat di atas tadi. Konsep al-kaynunah yang terkandung dalam perkataan kunu tidak akan sempurna dan berlaku dalam perintah ayat di atas jika tidak wujud suatu keadaan irtibāt antara kedua belah pihak, iaitu antara orang-orang yang bersifat al-siddiqin dan orang-orang yang beriman. Oleh yang demikian al-rābitah itu berfungsi sebagai penghubung antara kedua-dua golongan ini dengan satu landasan mahabbah yang berdasarkan kepada hubungan al-ruhi.

Dalam konteks ilmu dan amalan tasawwuf seorang yang sālik dianggap gagal dalam usahanya mencapai tahap al-taraqi dalam perjalanannya menuju Allah S.W.T., melainkan dengan menjaga adab-adab al-mahabbah dan ikhlas terhadap gurunya. Apabila terdapat pada diri seorang murid atau salik sifat su’ al-zann terhadap gurunya atau ustaz yang mengajarnya di samping melupakan kelebihan-kelebihan mereka ke atas dirinya (lebih tepat jika dikatakan di sini mereka yang angkuh dengan ilmu pengetahuan yang diperolehi sehingga mereka sanggup mengenepi dan mengecilkan kedudukan guru-guru yang pernah mengajar dan membimbing mereka). Atau dalam erti kata lain mereka bersifat biadab terhadap guru mereka lantaran itu maka tertutuplah pintu-pintu al-fuyudāt yang bersifat al-hāl ke atas dirinya.

Terdapat suatu kisah yang telah dinukil oleh al-Qādiri dan beliau muatkan kisah tersebut dalam kitabnya yang berjudul Madārij al-Haqiqah antara lain beliau menyebutkan kisah tersebut dengan katanya:

حكى أن سلطان الغزنوى دخل على الشيخ أبى الحسن الخرقانى قدس سره وجلس ساعة ثم قال للشيخ ماذا تقول فى حق أبى يزيد البسطامى فقال هو رجل من رآه اهتدى فقال السلطان وكيف ذلك وأن أبا جهل رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم ولم يخلص من الضلالة قال الشيخ فى جوابه انه ما رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم وانما رأى محمد بن عبدالله يتيم أبى طالب لو كان رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم لدخل فى السعادة .أى لو رآه عليه الصلاة والسلام من حيث أنه رسول الله معلم هاد وأذعن. كما قال الله تعالى : وَتَرَاهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ وَهُمْ لاَ يُبْصِرُون .َ

Maksudnya:

Diceritakan bahawa Sultan Mahmud al-Ghaznawi telah berjumpa dengan Syeikh Abu al-Hasan al-Kharqāni dan ia bertanya kepada Syeikh al-Kharqāni tentang pandangannya terhadap Syeikh al-Bistāmi. Maka berkata Syeikh al-Kharqāni bahawa dia (Syeikh al-Bistāmi) ialah seorang yang sesiapa memandangnya akan diberikan pertunjuk dan hidayat. Berkata Sultan Mahmud seterusnya: Bagaimana halnya dengan Abu Jahl, ia melihat Rasulullah (s.a.w.) sedang ia tidak dapat melepaskan dirinya dari belenggu kesesatan? Syeikh al-Kharqāni menjawab: Sesungguhnya Abu Jahl itu tidak melihat Rasulullah s.a.w. tetapi yang dilihatnya hanyalah Muhammad ibn ‘Abdillah seorang yang yatim dari keturunan Abu Tālib. Jika sekiranya Abu Jahl itu melihat bahawa Muhammad itu sebagai seorang Rasul yang bersifat mu'allim dan bersamanya terdapat hidayat serta pertunjuk pastilah dia akan beroleh kebahagiaan. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: Dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.

Dari gambaran kisah yang telah disebutkan, jelas kepada kita bahawa hubungan yang bersifat ruhiyyah itu sangat penting bagi seseorang untuk mencapai tahap keredaan daripada Allah S.W.T. Hubungan yang bersifat ruhiyyah inilah yang dikenali dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf sebagai al-rābitah, hubungan yang berlandaskan kepada kasih sayang. Menjaga adab sopan antara murid dengan guru semasa bergaul dan menjaga hubungan tersebut ketika seorang murid berjauhan melalui amalan al-rābitah.

Keadaan ini menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah asas bagi seorang yang sālik untuk mencapai wusul ilā Allah. Oleh sebab itu dalam ajaran tasawwuf, seorang sālik yang tidak melihat guru atau syeikhnya dengan selayaknya, di samping menjaga adab yang sewajarnya terhadap guru atau syeikh, maka sukar baginya untuk mencapai matlamat wusul tersebut. la tidak akan mendapat keberkatan dari tunjuk ajar yang telah diberikan oleh syeikh atau gurunya itu sekalipun ia bersahabat dan berguru dalam masa yang lama.

Begitu juga dengan penggunaan kalimah السلام عليك أيها النبي jika dilihat dari sudut amalan dan penghayatannya dapat kita jadikan dalil dan bukti tentang wujud makna dan amalan al-rābitah dalam kehidupan harian dan amalan kita. Apabila kita membaca tashahhud ketika mendirikan solat, ia mengandungi makna dan pengajaran yang jelas bahawa seseorang itu mestilah mengingati Allah S.W.T. dan merasakan dirinya hampir kepada Allah S.W.T., namun dalam waktu yang sama dia juga harus mengingati Nabi Muhammad s.a.w. dalam erti menyayangi dan mengasihinya.

Keadaan ini disebabkan oleh perutusan Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita dan dengan itu kita telah dapat mendirikan solat dengan betul seperti yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Dengan mengucapkan doa السلام عليك أيها النبي yang membawa maksud: Selamat sejahtera ke atas kamu wahai Nabi, jelas dengan penggunaan istilah kamu wahai Nabi itu memperlihatkan seolah-olah solat itu didirikan secara bersama dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana menurut al-Ghazāli, apabila seseorang mendirikan solat dan sebelum ia mengucapkan kalimah السلام عليك أيها النبي hendaklah ia menghadirkan Nabi s.a.w. dalam hatinya.

Dalam ilmu psikologi ia disebut sebagai tajrid yang membawa maksud mengosongkan hatinya dari segala sesuatu bagi memberi ruang untuk mengingati sesuatu yang lebih penting. Walaupun Nabi Muhammad s.a.w. telah wafat dan disemadikan di Madinah dengan jarak ribuan kilometer dari kita, namun ia tidak menjadi halangan untuk seseorang itu merasa hampir, kasih dan sayang terhadap Nabi s.a.w. Sebagai contoh, walaupun seseorang itu berada jauh dari kampung halamannya, tetapi dia boleh mengingat dalam hatinya tentang rumah dan tempat tinggal serta kaum keluarga yang menghuninya. Dalam hal ini jarak antara satu dengan yang lain tidak menghalang ingatan seseorang.

Bacaan tashahhud akhir adalah bacaan yang termasuk dalam rukun solat, tanpanya solat dikira batal. Manakala dalam tashahhud itu pula terkandung kalimah السلام عليك أيها النبي . Ungkapan ini bukan sahaja wajib disebut atau dibaca, tetapi sewajarnya dihayati menurut makna dan maksud sebenar yang terkandung dalamnya. Ucapan; Selamat sejahtera ke atas engkau wahai Nabi merupakan ucapan yang membawa maksud للمخاطب , iaitu ucapan yang menggunakan ganti nama yang pertama. Penggunaan kalimah عليك yang bermaksud ke atasmu tidak memberi sebarang makna jika tidak dihayati dan dirasakan bahawa orang yang menerima ucapan itu sedang berada hampir dengannya. Kerana dengan melihat zahir ayat ia menggambarkan satu dialog antara orang yang pertama dan yang kedua.

Penggunaan istilah; Selamat sejahtera atas engkau wahai Nabi merupakan ucapan yang tepat dari sudut rasionalnya, kerana dengan pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan kepada umat manusia dan seluruh alam ini. Ucapan terima kasih juga kerana Nabi s.a.w. telah membawa obor hidayat ketika manusia meraba-raba dalam kesesatan jahiliyah. Melalui Baginda Rasulullah s.a.w. manusia dapat menerima ajaran wahyu Allah S.W.T. seterusnya menyelamatkan manusia dari segala kesengsaraan dunia mahupun akhirat.

Walaupun manusia boleh mengucapkan salawat atas Nabi sebanyak yang mungkin di luar solat, namun dalam bacaan tashahhud Allah S.W.T. menghendaki manusia mengucapkannya dalam solat, sebagai lambang mengenang jasa bagi seluruh umat manusia atas pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Dengan berselawat juga manusia dapat merasai keakraban dan rasa kasih sayang terhadap Baginda Rasulullah s.a.w yang menjadi kesayangan dan kecintaan umat manusia seluruhnya.

Selain dari itu seorang yang sālik hendaklah mengucapkan salam itu dengan penuh keyakinan bahawa salamnya itu didengar oleh Nabi s.a.w., selain dari itu ia mestilah menaruh keyakinan penuh bahawa salamnya telah dijawab oleh Nabi s.a.w. Dengan keyakinan seperti itu dia tidak merasakan dirinya bercakap secara bersendirian kerana apalah ertinya jika kita mengucapkan sesuatu kepada seseorang sedangkan ia tidak mendengar ucapan tersebut.

Oleh yang demikian, untuk menjadikan seseorang itu lebih seronok dan dapat merasakan kemanisan ketika mendirikan solatnya, hendaklah dia merasakan dan meyakini sungguh-sungguh pada setiap kali ia mengucapkan selawat ke atas Nabi. Pada ketika itu hendaklah dirasa-rasakan secara dhawqiyyah bahawa Nabi telah mendengar dan menjawab salam tersebut. Alangkah bahagianya seseorang itu jika ia tahu bahawa ucapan selawatnya telah dijawab oleh Baginda s.a.w. dengan sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, untuk melahirkan rasa kasih dan sayang terhadap Nabi s.a.w. seorang yang sālik hendaklah dia bersegera mendirikan solat, kerana dalam solat tersebut dia boleh berbalas-balas salam dengan Baginda s.a.w. dan boleh berjumpa dan bertemu dengannya. Keyakinan yang demikian akan melahirkan rasa motivasi untuk segera melakukan solat apabila telah tiba waktunya, selain ditambah dengan solat-solat yang sunat, kerana dalam tashahhud sahajalah ia akan dapat melepaskan rasa kasih sayang dan rindunya terhadap Allah S.W.T. dan RasulNya.

Dari berbagai fakta yang telah diterangkan di atas dapat kita lihat dengan jelas bagaimana kedudukan al-rābitah itu sebagai salah satu dari sumber al-mahabbah yang telah diamalkan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.

No comments:

Post a Comment