Monday, December 14, 2009

4.2.1 Al-Rābitah sebagai sumber pendidikan.


4.2.1 Al-Rābitah sebagai sumber pendidikan.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa manusia itu dijadikan oleh Allah S.W.T. daripada dua unsur, iaitu unsur jasmani dan unsur rohani. Kedua-dua unsur ini akan mengalami perubahan ke arah yang lebih baik atau sebaliknya. Hal ini bergantung kepada sejauhmana manusia itu berusaha untuk memperbaiki dirinya seperti yang telah digambarkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا . فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا . قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا . وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا .

Maksudnya:

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengannya), serta mengilhamkan (untuk mengamal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada taqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Ayat di atas memberikan gambaran bahawa manusia itu sebenarnya diperintahkan oleh Allah S.W.T. supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan di sisi Tuhannya dengan membersihkan jiwa rohaninya. Dengan kesempurnaan itu nanti akan membawa manusia ke arah kejayaan seperti yang tersebut dalam ayat di atas. Dari kenyataan ayat di atas juga dapat kita memahami bahawa terdapat unsur-unsur pendidikan terhadap rohani manusia bagi mencapai tahap bersih. Dalam konteks ini, bagaimana boleh kita kaitkan aspek pendidikan tersebut dengan apa yang cuba ditonjolkan dalam ayat di atas tadi dengan al-rābitah? Dalam dunia pendidikan dan pengajaran, seorang murid (yang dalam istilah tasawwuf dikenali sebagai al-sālik) semestinya berusaha mewujudkan hubungan yang baik dengan seorang guru (dalam istilah tasawwuf ia disebut sebagai syeikh), di samping murid itu harus tunduk dan patuh terhadap semua peraturan yang dibuat oleh gurunya di sekolah. Sedangkan peraturan yang dibuat oleh guru itu sendiri harus sesuai dengan norma-norma pendidikan sehingga dengan demikian apa yang menjadi tujuan dan matlamat pendidikan dan pengajaran akan tercapai seperti yang telah dirancangkan. Iaitu berjaya dalam membentuk manusia yang cekap dan berbudi luhur sesuai dengan kehendak daripada Allah S.W.T. dan RasulNya.

Seandainya hubungan yang tidak harmoni terjadi antara seorang murid dengan gurunya, maka keberkatan ilmu daripada seorang guru dalam usaha mendidik dan membimbing perjalanan rohani akan gagal sampai kepada si murid. Hasilnya seorang murid akan selalu bersikap dan bertindak melawan semua peraturan guru, sama ada di waktu pembelajaran ataupun di luar waktu pembelajaran. Oleh sebab itu situasi yang dapat menciptakan hubungan antara murid dengan gurunya mempunyai peranan yang sangat penting. Sudah barang tentu hal seumpama ini harus didokong oleh beberapa faktor pendidikan yang diperlukan. Hubungan inilah yang dikenali dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf sebagai al-rābitah. Apabila ditinjau tentang fungsi dan peranan seorang guru dalam dunia pendidikan, dia berada pada posisi orang tua kepada seorang murid di saat-saat seorang murid berada dalam asuhan dan bimbingan guru tersebut. Sedangkan peranan seorang guru itu pula sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pendidikan si murid seperti yang diberikan oleh kedua orang tuanya dalam lingkungan keluarganya sendiri. Oleh itu tidak ada bezanya antara seorang bapa dengan seorang guru dalam konteks pendidikan.

Guru pada hakikatnya adalah termasuk dalam pengertian orang tua yang setaraf dengan bapa jika dilihat hubungannya dengan dunia pendidikan, khususnya dalam pendidikan Islam. Untuk itu sewajarnya seorang guru mendapat tempat dan penghormatan daripada seorang murid dengan bergaul mesra dan menghormatinya, sedang menghormati dan menyayangi seorang guru dari sudut yang batin, ialah dengan melakukan amalan al-rābitah. Hal ini sewajarnya dilakukan oleh si murid bagi menjamin tercapainya tujuan serta maksud pendidikan dan pengajaran yang bersifat zahir dan batin.

Namun suatu yang agak malang dalam dunia pendidikan hari ini hubungan yang sewajarnya wujud dan menjadi syarat untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan itu tercemar dengan sebab keingkaran dan kedurjanaan yang dilakukan oleh pihak murid atau mereka yang ada kaitan dengannya. Seperti yang kita telah jelaskan di atas tadi bahawa manusia itu terjadi dari dua unsur terpenting, iaitu unsur jasmani dan unsur rohani, oleh itu pendidikan juga haruslah merangkumi kedua-dua aspek tersebut, pendidikan yang bersifat jasmani dan pendidikan yang bersifat rohani. Mungkin sebahagian orang menganggap pengajaran dan pembelajaran itu hanya berkait dengan soal-soal penyampaian ilmu pengetahuan semata-mata dan tidak lebih dari itu. Jika demikianlah tanggapan masyarakat umum terhadap dunia pendidikan, maka itu merupakan satu kesilapan yang amat besar dan tidak hairanlah kalau selama ini kita telah melahirkan ramai cendekiawan terpelajar dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat tetapi mereka terlibat dengan berbagai skandal, rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Perlakuan mereka jelas bertentangan dengan hukum syarak. Mungkin kita boleh bertanya: Apakah mereka itu tidak berilmu dan tidak mempunyai pendidikan? Jawapannya tentu tidak. Kerana mereka yang terlibat ini bukan di kalangan mereka yang gagal dalam peperiksaan UPSR, PMR atau SRP di peringkat rendah, SPM dan STPM di peringkat menengah, ataupun B.A., M.A. dan Ph.D di peringkat pengajian tinggi. Jawapan yang kita dapati tentu tidak, malahan mereka memiliki semua itu bahkan mereka lebih cemerlang dalam hal ini. Persoalannya kenapa masih terjadi hal yang seumpama itu? Di sinilah titik pemisah yang begitu jelas dan ketara di antara sistem pendidikan sekular yang hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tanpa melihat kepada aspek-aspek yang bersifat kerohanian dan spritual dengan sistem pendidikan anjuran Rasulullah s.a.w. yang memberikan keseimbangan di antara rohani dan jasmani. Penekanan yang diberikan oleh Baginda s.a.w. ialah pembentukan sistem pendidikan yang seimbang antara keperluan jasmani dan rohani berdasarkan kepada keimanan kepada S.W.T. Dalam hal ini Allah S.W.T berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ. فَإِذَا قُضِيَتْ الصَّلاَةُ فَانتَشِرُوا فِي الاَْرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari jumaat, maka segeralah kamu ke masjid untuk mengingati Allah S.W.T. dengan mengerjakan sembahyang jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya. Dan apabila telah selesai menunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah S.W.T. dan ingatlah akan Allah S.W.T. banyak-banyak supaya kamu berjaya."

Oleh sebab itu kita harus menyingkap semula sejarah awal yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. dalam menjalankan usaha mendidik umat manusia ke arah kesempurnaan dan kejayaan dari sudut jasmani dan rohani. Persoalan pertama yang boleh kita kemukakan di sini ialah kesungguhan para sahabat yang dianggap sebagai al-sālik untuk menerima segala tunjuk ajar, asuhan dan bimbingan daripada Rasulullah s.a.w. yang dianggap sebagai murshid dalam dunia pendidikan pada ketika itu. Belum pernah kita temui dalam sejarah tercatat sebarang perselisihan, keingkaran atau lebih jauh dari itu sehingga membawa permusuhan dan persengketaan di kalangan para sahabat dengan Rasulullah s.a.w. ketika mereka diasuh, dibimbing dan diajar oleh Baginda s.a.w. Mereka menerima sepenuhnya ajaran dan asuhan tersebut dengan hati yang penuh keikhlasan walaupun dirasakan bertentangan dengan kehendak diri mereka. Dalam hal ini nampaknya para sahabat lebih mementingkan Allah S.W.T. dan RasulNya lebih dari kepentingan dan kehendak peribadi mereka. Gambaran ini jelas dari firman Allah S.W.T:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً مُبِينًا .

Maksudnya:

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah S.W.T. dan RasulNya telah menetapkan sesuata ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah S.W.T. dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.

Dari keterangan ayat di atas ternyata Allah S.W.T. cuba memberikan satu gambaran tentang bentuk penyerahan secara mutlak seorang yang bergelar al-sālik (para sahabat) kepada syeikh atau guru yang murshid (Rasulullah s.a.w.) bagi memenuhi syarat yang paling utama untuk mencapai kesempurnaan rohani. Dengan berbuat demikian membolehkan seorang yang bergelar al-sālik itu menerima pancaran cahaya iman dan keberkatan daripada orang yang bergelar syeikh itu. Faktor ini adalah antara ciri terpenting yang terdapat dalam sistem pendidikan yang wujud pada ketika itu. Hubungan kasih sayang dan ketergantungan hati terhadap syeikh (Rasulullah s.a.w.) yang begitu kuat sehingga membolehkan para sahabat itu mencapai tahap kesempurnaan yang paling tinggi dari sudut jasmani dan rohaninya. Sehingga ada di kalangan mereka yang sudah diberitakan sebagai penghuni syurga walaupun mereka masih berada di atas muka bumi ini lagi. Di bawah sistem ini juga telah lahirlah beberapa individu yang berjiwa mulia dan bersih hatinya dari sebarang kekotoran. Apa yang ada di dalam jiwa mereka hanyalah Allah S.W.T. dan Rasul sehingga diriwayatkan bahawa Abu Bakr al-Siddiq tidak dapat melupakan Rasulullah s.a.w. walaupun ketika beliau berada di dalam bilik air.

Dari keterangan dan fakta yang telah dikemukakan di atas tadi jelas kepada kita bahawa pengaruh seorang syeikh terhadap sālik itu sangat besar. Manakala hubungan di antara kedua-duanya mestilah sentiasa terjalin. Kegagalan untuk berbuat demikian bererti telah menutup sebahagian daripada pintu keberkatan. Justeru dalam disiplin ilmu tasawwuf hal tersebut terpelihara melalui kaedah dan konsep al-rābitah. Dengan menggunakan kaedah dan amalan al-rābitah ini akan membolehkan seorang yang sālik itu menerima pendidikan daripada seorang syeikh. Walaupun seorang sālik tidak berada di hadapan syeikh pada ketika itu, namun proses pendidikan dan pembelajaran itu tetap berlaku dan berjalan seperti yang berlaku ke atas Saidina Abu Bakr al-Siddiq di atas tadi. Oleh itu dapat dikatakan di sini bahawa al-rābitah menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf merupakan salah satu sumber pendidikan yang sangat penting terhadap rohaniah seorang yang al-sālik. Kerana dengan al-rābitah, rohaniah seorang yang sālik akan berupaya mencapai keredaan Allah S.W.T. dengan melalui ketinggian dan keberkatan daripada syeikhnya.

Al-Qur’an tidak ketinggalan memberikan penjelasan terhadap ketinggian dan kebersihan jiwa mereka yang telah dididik dengan sistem Baginda Rasulullah s.a.w., sehingga Allah S.W.T. menurunkan satu ayat memperihalkan tentang keadaan tersebut dengan firmanNya:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آياتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًَا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ .

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut Allah S.W.T. gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

Seperti yang banyak kita temui dalam catatan sejarah, bahawa para sahabat r.a. itu sering meniru dan membayangkan rupa dan keadaan Rasulullah s.a.w. Keadaan ini mereka lakukan bagi memudahkan mereka mencontohi segala yang berlaku ke atas diri Rasulullah s.a.w. Disebabkan pentingnya menjaga dan mengingati seluruh keadaan yang terdapat pada diri Rasul s.a.w. itu, maka Imam al-Tirmidhi telah berusaha mengumpulkan seberapa banyak maklumat yang terdapat pada diri peribadi Baginda s.a.w. lalu beliau muatkan dalam sebuah kitabnya yang berjudul al-Shamā`il al-Muhammadiyyah. Apa yang dimuatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam kitabnya yang tersebut itu jelas mengandungi berbagai gambaran dan keadaan sifat serta bentuk fizikal yang terdapat pada diri Rasulullah s.a.w. Semua gambaran tersebut sebenarnya adalah untuk dijadikan ikutan serta panduan bagi kita yang telah jauh ditinggalkan oleh Baginda s.a.w. Dengan peninggalan tersebut boleh kita jadikan sebagai sumber pendidikan bagi membentuk, mendidik dan mengasuh rohaniah manusia bagi mencapai kesempurnaan dan kejayaan di sisi Allah S.W.T. Dengan sifat dan keadaan yang tersebut itu menyebabkan Baginda s.a.w. mencapai tahap kesempurnaan dan makhluk yang paling sempurna di sisi Tuhannya.

Persoalannya di sini ialah bagaimana hal keadaan tersebut boleh dijadikan sebagai ikutan dan sumber pendidikan seperti yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam firmanNya:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللَّهَ وَالْيَوْمَ الاْخِرَ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ .

Maksudnya:

Sesungguhnya ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah S.W.T. dan (kedatangan) hari kiamat dan banyak menyebut Allah S.W.T.

Bagaimana boleh kita mencapai maksud uswah daripada diri Rasulullah s.a.w. seperti yang dituntut oleh ayat di atas? Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. telah jauh meninggalkan kita ke belakang, sudah hampir melangkah kelima belas abad yang lalu. Di sinilah kedudukan al-rābitah yang berperanan untuk mencapai maksud tersebut. Konsep keterikatan, ketergantungan dan hubungan kasih sayang seperti yang terdapat dalam lingkungan makna al-rābitah itu, akan menjadi sumber pendidikan yang sangat penting bagi mengikat dan menggantungkan hati seorang yang al-sālik dengan sifat-sifat kesempurnaan yang telah dimiliki oleh Baginda s.a.w. Sedangkan sifat-sifat tersebut hanya diketahui dan diperolehi melalui catatan-catatan mereka yang terdahulu seperti yang termuat dalam al-Shamā`il. Justeru itu, apa yang boleh kita lakukan dalam konteks merealisasikan seluruh isi kandungan aI-Shamā`il dan yang lainnya dalam diri dan jiwa kita? Dengan melalui amalan al-rābitah itu kita akan dapat merasa-rasakan dan membayang-bayangkan keadaan diri dan sifat peribadi Rasulullah s.a.w. itu benar-benar berada pada diri kita. Dengan melalui kaedah al-rābitah ini juga dapat dilihat dengan jelas mengandungi unsur-unsur pendidikan yang dapat diterapkan ke dalam jiwa seorang yang al-sālik bagi mencapai maksud wusul ilā Allah S.W.T.

AI-Rābitah juga dapat dilihat dalam bentuk al-qudwah. Dengan qudwah ini, proses pendidikan boleh berlaku di antara seorang al-sālik dengan syeikhnya. Kita merujuk kepada firman Allah S.W.T.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ .

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah S.W.T. maka ikutilah daku nescaya Allah S.W.T. mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah S.W.T. Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Muhammad ibn ‘Abdillah al-Khāni memberikan ulasan yang menarik terhadap ayat al-Qur’an di atas dengan katanya:

ففيه اشار الى الرابطة لان الاتباع يقتضى رؤية المتبوع حسا أو تخيله . معنى وهو غرضنا من الرابطة .والا فلا يعد اتباعا.

Maksudnya:

Dalam ayat di atas mengisyaratkan kepada makna al-rābitah, kerana istilah al-ittibā‘ (mengikut) di dalam ayat tersebut merujuk kepada makna ru’yat al-matbu‘ (melihat kepada yang diikut), samada dengan cara yang dapat dirasa atau dengan cara mengkhayalkannya, itulah yang kami maksudkan dengan istilah al-rābitah. Kalau tidak demikian maka ia tidak dikira sebagai ittibā‘.

No comments:

Post a Comment