Tuesday, March 31, 2009

Tasawwuf Dan Tariqat: Satu Pengenalan Dan Kepentingan Beramal Dengannya

Abstrak

Kekeliruan yang berlaku terhadap amalan tasawuf dan tariqat menyebabkan ramai di kalangan masyarakat Islam mencurigai kesahihan amalan di dalam tasawuf dan tariqat. Oleh yang demikian kertas kerja ini cuba menyingkap beberapa persoalan asas tentang tasawuf dan tariqat. Pengenalan terhadap tasawuf dan tariqat dalam Islam, hubungan antara al-Quran dengan tasawuf dan tariqat, hadis dengan tasawuf dan tariqat, kedudukan tasawuf dan tariqat,dan keperluan dan tujuan tasawuf dan tariqat.

1- Pendahuluan

Apabila kita membincangkan perkara yang berhubung dengan tariqat dan tasawuf, maka mahu tidak mahu kita pasti akan membincangkan makna tariqat dan tasawuf, pengajaran serta konsep dan hubungan antara keduanya.Untuk menyempurnakan kehendak tajuk di atas penulis akan membincangkan kedudukan tariqat dan tasawuf dalam Islam, menghuraikan hubungan antara tariqat dan tasawuf dan melihat kepentingan ilmu dan amalan tariqat dan tasawuf terhadap kehidupan manusia.

Dengan penuh kesedaran penulis mengakui, dengan kelemahan dan kemampuan yang sangat terbatas di samping keilmuan yang cetek sudah pasti penulis tidak dapat melengkapkan kertas kerja ini dengan kupasan-kupasan yang menarik dan menyentuh semua aspek yang berkaitan dengan pengalaman dan ajaran yang terdapat dalam ilmu tariqat dan tasawuf.

Namun, penulis dengan rasa penuh tawaduk akan cuba sedaya upaya untuk menjelaskan beberapa aspek yang dianggap sebagai asas dan pengenalan kepada ilmu tariqat dan tasawuf ini. Oleh yang demikian, tulisan ini dipersembahkan sebagai satu usaha kea rah cuba memahami perjalanan tariqat dan tasawuf berdasarkan kemampuan penulis yang terhad dan mempunyai kelemahan.


2- Tariqat dan Tasawwuf Menurut Islam.


Perkataan tariqat, kata jamaknya tara’iq dan turuq berasal dari kata kerja taraqa yatruqu atau tariqa yatraqu yang membawa berbagai mengikut perbezaan bentuk dan kontek penggunaanya dalam sesuatu percakapan atau sesuatu ayat. Sebagai contoh:طرق النجاد الصوف بالعود ayat ini membawa maksud : Penenun hamparan itu memukul kulit berbulu itu dengan kayu. Perkataan taraqa di dalam ayat ini membawa maksud memukul.
Atau dikatakan طرق القوم ayat ini mebawa maksud : Ia telah datang kepada kaum itu pada waktu malam.Perkataan taraqa dalam ayat ini membawa maksud datang pada waktu malam. طرق الابل الماء Bermakna Unta itu telah memijak dan mengkencingkan air itu.

أطرق الرجل Bermaksud: Orang laki-laki itu diam tanpa berkata-kata. Atraqa bermaksud diam tanpa berkata-kata.Apabila dikatakan: تطارق القوم Ayat ini membawa maksud: Setengah dari kaum itu mengikut jejak setengah yang lain.Oleh yang demikian makna tataraqa dalam ayat ini membawa maksud mengikut jejak. Apabila disebut ungkapan : تطرق إلى الأمر bermaksud: Ia mencari jalan keluar mengenai perkara (masalah) itu.Oleh itu makna perkataan tatarraqa dalam ayat tersebut membawa maksud mencari jalan penyelesaian.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah (s.a.w) Nabi bersabda :
أعوذ بك من طوارق الليل إلا طارقا يطرق بخير yang membawa maksud:
"Aku berlindung dengan Engkau ya Allah dari semua kejadian yang berlaku pada waktu malam, kecuali kejadian yang akan berlaku dengan membawa kebaikan". Perkataan yatruqu dalam hadis di atas membawa maksud berlaku atau akan terjadi.

Dari keterangan ringkas mengenai katakerja taraqa yatruqu dan tariqa yatruqu di atas jelas sekali kedua-dua bentuk katakerja tersebut mempunyai makna mengikut konteks penggunaanya. Sesuai dengan kedua-dua bentuk katakerja itu maka tariqah itu tentu mempunyai berbagai makna seperti yang akan dibincangkan kelak.

3- Al-Quran dan tasawuf

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menjadi sandaran dan dijadikan pegangan oleh ahli tariqat dan tasawuf. Antaranya ayat-ayat yang memerintahkan agar manusia berpaling dari dunia dan berhadap kepada Allah S.W.T. seperti yang terkandung di dalam ayat Surah al-Hadid ayat yang ke20 antara lain menyatakan:

Bermaksud:
“Ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya hidup di dunia ini adalah permainan, perhiasan, bermegah-megah antara kamu, berlumba-lumba mencari harta dan anak-anak; yang demikian itu adalah umpama air hujan yang menakjubkan orang-orang kafir kesuburannya kemudian tumbuh-tumbuhan itu bertukar menjadi kering layu, berubah menjadi kuning dan seterusnya menjadi reput dan hancur. Manakala di hari akhirat nanti menuggu siksa yang pedih kepada mereka dan keampunan dan keredaan bagi orang-orang mukmin”


Ayat di atas secara keseluruhanya memperlihatkan kepada kita tentang kedudukan dan peranan ruh dalam kehidupan manusia. Ruh sebelum dipindahkan oleh Allah ke dunia, telah memperakukan ketuhanan Allah S.W.T. Atau dalam erti kata yang lain telah mengadap kepada Allah S.W.T.sejak azali lagi. Oleh yang demikian di dalam ayat tersebut jelas bahwa Allah memperingatkan semula tugas dan peranan yang sebenar kedatangan manusia di muka bumi ini.

Ruh yang sifatnya suci, diarahkan oleh Allah S.W.T. di dalam ayat ini agar mengadap kepada Allah seperti ia telah menghadap kepada-Nya ketika di alam arwah lagi. Demikian pegangan dan keyakinan ahli tasawuf dan tariqat terhadap ayat tersebut. Ahli tasawuf dan tariqat melihat ayat sebagai sandaran untuk mengingati Allah, cinta kepada-Nya, di samping sentiasa mengadap kepada-Nya. Berpaling kepada selain daripada Allah menurut ahli tariqat dan tasawuf adalah sebahagian dari penyimpangan dalam perjalanan menuju kepada Allah S.W.T. Oleh yang demikian ahli tariqat dan tasawuf sentiasa komited dalam ketaatan, peribadatan, melawan hawa nafsu, melawan kezaliman, berjuang untuk menegakan Islam sehingga menjadi agama sebagai panduan hidup.

4- Hadis dan Tasawuf


Hadis Rasulullah s.a.w. adalah sumber kedua dan berperanan sebagai penerang kepada al-Quran. Oleh yang demikian banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan terhadap apa yang telah dinaskan oleh al-Quran tentang kemuliaan akhlak, pembersihan jiwa, penyucian hati, mujahadat al-nafs, maqam dan ahwal dalam ilmu tasawuf.


5- Kedudukan Tasawuf dan Tariqat


Berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang telah dikemukakan di atas di samping difinisi tariqat, sudah dikira cukup untuk menjelaskan kedudukan serta peranan tariqat dan tasawuf. Boleh dinyatakan disini bahawa tariqat dan tasawuf merupakan jalan, wasilah atau jambatan yang menghubungkan antara syariat dan hakikat. Keadaan ini bermakna tanpa tariqat, maka syariat tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Syariah yang dilaksanakan tanpa hakikat adalah ibarat tubuh tanpa ruh.

6- Keperluan tariqat dan tasawuf


Apakah kepentingan tariqat dan tasawuf pada zaman ini? Zaman pembangunan sains dan teknologi. Mungkin ada yang mengatakan apa gunanya tariqat dan tasawuf? Tidakah ia hanya akan membantut dan mematahkan semangat pembangunan? Dalam persoalan ini , tasawuf yang benar tidak akan menjadi penghalang kepada pembangunan, malahan ia berperanan sebagai penyuntik semangat dan pengimbang kepada pembangunan itu sendiri. Pembangunan kebendaan yang tidak disertai dengan pembangunan insan (ruhani) akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan antara keperluan jasmani dan ruhani . Untuk mendapatkan gambaran dan ukuran yang tepat tentang hubungan tersebut kita kemukakan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang dikenali sebagai Hadis Jibril. Nabi s.a.w. ditanya tentang Iman, Islam dan Ihsan.

Persoalan Iman yang diajukan oleh Jibril dalam hadis tersebut adalah gambaran tentang konsep kerohanian yang bersifat spritual, manakala persoalan Islam pula adalah gambaran tentang konsep yang bersifat zahir manakala Ihsan pula adalah gambaran tentang hubungan antara Allah dengan manusia dalam melaksanakan amalan Islam yang berlandaskan kepada asas kepercayaan. Berdasarkan kepada hadis di atas juga, para ulama Islam telah mengijmakan bahawa kesempurnaan Islam itu hanya akan sempurna dan lengkap apabila ketiga-tiga aspek Iman, Islam dan Ihsan disatukan.

7- Tujuan Bertariqat dan Bertasawuf


Antara tujuan bertariqat dan bertasawuf di dalam Islam ialah:
1) Mengadakan latihan kerohanian dengan tujuan untuk melawan hawa nafsu (mujahadah), membersihkan jiwa dari sfat-sifat yang tercela dan diisi dengan sifat-sifat yang terpuji.
2) Sentiasa dapat mewujudkan rasa ingat kepada Allah S.W.T. Zat Yang Maha Agong dan Maha Kuasa atas segalanya. Keadaan ini dapat dicapai dengan melakukan amalan zikrullah dan wirid yang disertakan dengan muraqabah .
3) Melahirkan perasaan takut kepada Allah S.W.T. sehingga timbul usaha untuk menghindarkan diri dari segala macam pengaruh duniawi yang menyebabkan lupa kepada Allah S.W.T.
4) Mencapai tingkatan makrifah.Dengan syarat semua ketaatan dilakukan dengan keikhlasan kepada Allah S.W.T.
5) Akhirnya akan mencapai tujuan sebenar dalam kehidupan.

Demikian antara lain beberapa tujuan bertariqat dan bertasawuf. Jelasnya ia akan dapat mengerjakan syariah Allah S.W.T. dengan melalui jalan yang menyampaikanya kepada tujuan hakikat yang sebenarnya sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh syariat itu sendiri.

8- Dasar Bertariqat dan Bertasawuf

Apabila membicarakan tentang dasar kepada amalan bertariqat dan bertasawuf, sebenarnya dapat dilihat dari dalam tariqat dan tasawuf itu sendiri. Sehingga dari sini akan dapat diketahui secara jelas tentang kedudukan hukumnya di dalam Islam. Antaranya dengan melihat kepada amalan utama yang dilakukan dalam tariqat dan tasawuf seperti wirid dan zikrullah. Sehubungan dengan amalan ini Allah S.W.T. berfirman didalam surah al-Ahzab:41-42:
يآايها الذين امنوا اذكروا الله كثيرا وسبحوه بكرة واصيلا .

Bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknay. Bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang."

Ayat di atas membawa maksud arahan kepada orang-orang yang beriman supaya berzikrullah dengan menyebut nama Allah S.W.T. dan bertasbih ketika waktu pagi dan petang, siang mahu pun malam. Amalan zikir dalam ayat ini adalah bersifat mutlak yang masih belum ada qayyidnya . Dapat dinyatakan di sini bahawa pensyariatan zikir masih dalam bentuknya yang global atau umum. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak banyak memberikan perincian atau mentaqyidkannya, sama ada yang berbentuk syaray-syarat, rukun-rukun atau pun kayfiyat-kayfiatnya.

9- Kesimpulan

Dalam meneruskan jihad tariqah sufiyyah ini, susunlah barisan yang kuat dan kemas, di samping siarkan pengajaran tariqat tasawuf itu dengan mengikut adab-adab, peraturan-peraturannya, dan akhlak ahli tasawuf. Bergeraklah dalam kesatuan dan wujudkanlah yayasan dan perguruan tariqat dan tasawuf yang sesuai dengan zaman ini. Jangan jadikan diri anda sebagai pak turut dan taqlid , kerana Islam membencinya. Oleh yang demikian jadilah seorang ahli tariqat dan tasawuf yang bersifat tabi’en,’arifin.dan sadiqin.

والله أعلم بالصواب
والحمد لله رب العالمين

kERTAS KERJA INI DIBENTANGKAN OLEH:
Dr. Othman bin Napiah
Pusat Pengajian Islam Dan Pembangunan Sosial
Universiti Teknologi Malaysia
Skudai JB

2 comments:

  1. Assalamualaikum. Saya berminat untuk mengenali dan mendalami ilmu tasawwuf. Sebagai langkah awal, bagaimana boleh saya mendapatkan buku-buku tersebut yang berkaitan ilmu tasawwuf? Mohon dapat memberi kerjasama. Sebarang maklumat, boleh menghubungi saya melalui emel nza_sp@yahoo.com. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ustaz. Saya berminat untuk mengenali dan mendalami ilmu tasawwuf. Sebagai langkah awal bagaimanakah boleh saya mendapatkan buku-buku tersebut untuk rujukan? Mohon dapat uztaz berikan respond, emel saya nza_sp@yahoo.com. Terima kasih.

    ReplyDelete