Sunday, February 1, 2009

Melihat Allah S.W.T.

Adakah harus atau boleh melihat Allah S.W.T. pada hari akhirat? Persoalan ini adalah persoalan ghaibiyat yang berkaitan dengan akidah iman.Menurut dalil dari al-Quran bahawa melihat Allah S.W.T. pada hari akhirat itu adalah suatu yang harus, atau dengan ertikata yang lain adalah boleh.Hal ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Adalah muka orang-orang yang beriman pada hari kiamat itu dalam keadaan gilang gemilang dan dapat melihat ia akan Allah dengan pandangan yang nyata". Di dalam ayat yang lain pula Allah S.W.T. menyatakan dengan firmanNya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya terdindinglah pandangan orang yang kafir itu dari melihat Allah".Manakala di dalam ayat yang lain Allah S.W.T. menerangkan dengan firmanNya yang bererti:"Dan menyambut mereka itu(orang-orang yang beriman) pada hari berjumpa mereka itu dengan Tuhan".Di dalam ayat ini terdapat kalimah " salam" yang membawa maksud bertemu, manakala pertemuan akan membawa maksud melihat. Allah S.W.T. melihat mereka yang beriman dan begitu juga dengan orang-orang yang beriman akan dapat melihatNya. Manakala dalil dari hadis Rasulullah s.a.w. dapat kita lihat dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu 'Isa al-Tirmidhi katanya dari Jurir bin Abdullah al-Bajalliy r.a katanya: Ketika kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w. maka ketika itu Nabi s.a.w memandang ke arah bulan purnama lalu Baginda bersabda:Sesungguhnya kamu sekelian akan dibawa kepada Tuhan kamu dan di saat itu kalian akan dapat memandang Tuhan kamu seperti kamu melihat bulan purnama ini.Tiada kesusahan dan kepayahan untuk kamu sekelian melihatNya .Andaikata kamu berupaya melasanakan sembahyang sebelum terbit matahari berbuatlah dan begitu juga andaikata kamu sekelian mampu melaksanakan solat sebelum terbenam matahari hendaklah kalian berbuat demikian.Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman Allah S.W.T. yan g bermaksud: Sembahyanglah kamu sekelian dengan memuji Tuhan mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam matahari. Hadis Hasan Sahih.
Kesimpulan.
Memandang atau melihat Allah S.W.T. di hari akhirat kelak merupakan suatu keharusan berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Sebagai seorang yang mukmin dengan keimanan yang benar dan jitu, untuk mencapai apa yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. dengan melihat Allah dan bercakap-cakap denganNya, maka hendaklah kita mengikut segala yang diarahkan oleh Allah S.W.T seperti yang terdapat di dalam hadis di atas dengan melaksanakan dan menjaga waktu solat yang telah ditetapkan kepada kita sekelian. Mudah-mudahan dengan itu nanti kita akan dapat bertemu dengan Allah S.W.T sebagai pertemuan yang sangat menggembirakan.

No comments:

Post a Comment