Showing posts with label Rabitah. Show all posts
Showing posts with label Rabitah. Show all posts

Saturday, January 9, 2010

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.


4.3.6 Sumber hadis Rasulullah s.a.w.
Dalil keenam akan merujuk kepada beberapa buah hadis Baginda Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan keharusan amalan al-rābitah tersebut. Antara beberapa buah hadis yang dapat dikaitkan sebagai dalil keharusan amalan al-rābitah adalah seperti berikut:


1- Sabda Nabi S.A.W:


إن من الناس مفاتح لذكر الله إذا رؤا ذكر الله .

Maksudnya:

Sesungguhnya sebahagian daripada manusia itu adalah sebagai anak kunci (yang membuka hati) bagi mengingati Allah S.W.T. (iaitu) apabila mereka itu dipandang maka ingatlah Allah S.W.T.(orang yang memandangnya itu).


2- Sabda Nabi S.A.W:


ألا أنبئكم بخياركم الذين إذا رؤا ذكر الله .

Maksudnya:

Mahukah kamu aku khabarkan akan orang yang sebaik-baik di kalangan kamu? Orang yang sebaik-baik di kalangan kamu itu ialah mereka apabila dipandang maka yang memandang itu akan ingatkan Allah S.W.T.


3. Sabda Nabi S.A.W:


خياركم من ذكركم الله رؤيته وزاد علمكم منطقه وغربكم فى اللآخرة عمله .

Maksudnya:

Orang yang sebaik-baiknya di kalangan kamu itu ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah S.W.T. dengan memandang (rupanya) dan percakapannya akan menambahkan ilmu kamu dan amalannya mendorongkan kamu cintakan hari akhirat.




4. Sabda Nabi S.A.W:


قيل يا رسول الله أي جلسائنا خير؟ قال : من ذكركم الله رؤيته وزاد في علمكم منطقه وذكركم باللآخرة عمله .

Maksudnya:

Rasulullah (s.a.w.) ditanya: Ya Rasulullah siapakah orang yang sebaik-baik menjadi rakan perbualan kami? Rasulullah bersabda: Dia itu, ialah orang yang mengingatkan kamu kepada Allah S.W.T. dengan melihatnya, percakapannya menambahkan ilmu kamu dan amalannya pula mengingatkan kamu kepada akhirat.


5- Sabda Nabi S.A.W:


لا يدخل النار مسلم رأنى , ولا من رأى من رأنى ولا من رأى من رأنى أى ولو بسبعين واسطة فانهم خلفائى فى التبليغ والارشاد ءان استقاموا على شريعتى .

Maksudnya:

Tidak akan masuk neraka orang (Islam) yang telah melihat aku (Nabi Muhammad) dan tidak juga akan masuk ke neraka orang yang melihat akan orang yang telah melihat aku dan tidak akan masuk ke neraka orang yang melihat muka-muka orang yang melihat kamu, iaitu walaupun (sampai) kepada tujuh puluh wasitah (lapisan keturunan). Sesungguhnya mereka itu adalah khalifahku dalam menyampaikan (ajaran Islam) dan asuhan Islam, sekiranya mereka itu sentiasa istiqamah dalam syariatku.

Dari lima buah hadis yang telah dibentangkan di atas tadi, cukup rasanya untuk menjelaskan dalil keharusan amalan al-rābitah. Dari sini dapatlah kita membuat kesimpulan dengan memandang rupa, mendengar perkataan dan memerhatikan tingkah-laku orang yang bersifat taqwa itu akan memberikan kesan rohaniah yang baik terhadap perjalanannya menuju Allah S.W.T. Antara beberapa kesan rohaniah tersebut ialah boleh menguatkan iman, membetulkan amalan dan menggemarkan kita kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan akhirat. Konsep melihat dan memandang yang terkandung dalam hadis di atas menurut keyakinan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah merujuk kepada makna yang zahir dan batin. Dari keterangan hadis di atas juga dapat kita memahami bahawa hadis-hadis tersebut menggalakkan kita supaya bersalawat kepada Nabi s.a.w. di samping berdampingan dengan orang-orang yang memiliki sifat-sifat taqwa. Atau sekurang-kurangnya sentiasa menjadikan mereka itu sebagai orang yang selalu kita ingati dalam khayalan kita. Apatah lagi jika orang itu sememangnya menjadi guru kita dalam bidang kerohanian seperti syeikh al-murshid. Sebaliknya kita dilarang dari bersahabat dengan orang-orang jahat yang selalu melanggar perintah Allah S.W.T. Pergaulan yang sedemikian sifatnya hanya akan mengganggu perjalanan rohaniah seseorang yang sālik.

Hubungan erat yang berlandaskan kasih sayang antara seorang sālik dengan seorang yang layak bergelar syeikh memang dituntut dalam Islam. Keadaan tersebut telah diajarkan oleh Baginda s.a.w. dan ditempuh serta diharungi oleh para sahabat semasa mereka bersama-sama dengannya. Khalifah Abu Bakr misalnya tidak dapat melupakan wajah Rasulullah s.a.w. sekalipun ketika beliau berada di dalam bilik air. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh al-lmam al-Bukhāri seperti berikut:

ان أبا بكر الصديق اشتكى إلى النبى صلى الله عليه وسلم عدم انفكاكه عنه حتى كأنه يراه فى بيت الخلأ .

Maksudnya:

Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq telah mengadu kepada Nabi s.a.w. tentang pengalamannya yang mana beliau terasa tidak bercerai daripada Nabi sehingga dalam bilik airpun seolah-olah ia masih melihat wajah Nabi s.a.w.

Demikianlah antara beberapa buah hadis yang dijadikan sandaran terhadap keharusan amalan al-rābitah. Namun demikian jika kita masih mahu meneliti kitab-kitab hadis yang lain, sudah pasti kita akan menemui berpuluh, malah mungkin beratus hadis yang berkaitan dengan amalan al-rābitah ini. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandalawi pernah menyatakan fakta ini dengan katanya:


وهكذا مئات الروايات عن التصور موجودة فى كتب الاحديث لذلك يصعب جدا أن نقول تصور الشيخ لا يجوز مطلقا;

Maksudnya:

Demikianlah terdapat beratus-ratus riwayat (hadis) tentang membayangkan rupa syeikh itu ada dalam kitab-kitab hadis. Oleh yang demikian adalah sukar benar bagi kita untuk mengatakan bahawa membayangkan rupa guru itu tidak harus secara mutlak.

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.


4.3.5 Firman Allah S.W.T.:


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ .

Maksudnya:

Katakanlah wahai Muhammad! Jika sekiranya kamu mengasihi Allah S.W.T., maka hendaklah kamu ikut aku, nescaya Allah S.W.T. akan mengasihi kamu.

Ayat di atas secara umumnya dikaitkan oleh ulamak tasawwuf dengan amalan al-rābitah. Malahan ayat tersebut dijadikan sandaran terhadap keharusan amalan al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Antara beberapa sebab yang dikira wajar oleh ulamak tasawwuf untuk menyandarkan keharusan amalan al-rābitah dengan ayat di atas sebagai berikut:

1- Merujuk Kepada Konsep Fattabi‘uni.
Ayat di atas mengandungi perintah dari Allah S.W.T., melalui lisan Nabi Muhammad s.aw. dengan ungkapan Fattabi‘uni bermaksud: Ikutilah akan daku yang ditafsirkan oleh al-Ālusi dengan katanya:

أو من مجاز النقص أى إن كنتم تحبون طاعة الله تعالى أو ثوابه فاتبعونى فيما آمركم به عنه. كذا قيل.

Maksudnya:

Atau dari bab majāz al-Naqs iaitu: Jika sekiranya cintakan ketaatan kepada Allah S.W.T., atau pahala daripadaNya, maka hendaklah kamu sekalian mengikuti daku dari apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada kamu dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang olehNya. Demikian apa yang telah dikatakan.

Dari keterangan yang diberikan oleh al-Ālusi di atas tadi, jelas kepada kita bahawa, untuk mendapat dan merasakan mahabbah terhadap Allah S.W.T. itu mestilah dengan cara mengikuti Nabi s.a.w. dalam segala urusan yang berkaitan dengan suruhan dan larangan daripada Allah S.W.T. Persoalannya di sini ialah bagaimana kita hendak merealisasikan konsep ittibā‘ tersebut. Dari ungkapan fattabi‘uni, sebahagian besar ulamak tasawwuf mentafsirkan kalimah tersebut kepada maksud al-rābitah. Fakta ini berdasarkan kepada suatu keyakinan bahawa konsep al-ititbā‘ dalam ayat tersebut membawa pengertian ru`yat al-matbu‘ iaitu melihat kepada yang diikuti secara zahir mahupun batin. Hal ini telah diterangkan oleh al-Khāni dalam kitabnya al-Bahjah al-Saniyyah dengan katanya:

ففيه اشارة الى الرابطة لأن الأتباع يقتضى رؤية المتبوع حسا أو تخيله معنى وهو غرضنا من الرابطة .

Maksudnya:

Maka dalamnya mengisyaratkan kepada makna al-rābitah, kalimah ittibā‘ itu sendiri membawa pengertian ru`yat al-matbu‘ (melihat yang diikuti) sama ada secara zahir mahupun dengan cara menghadirkan makna (batin). Dan inilah yang kami maksudkan dengan al-rābitah itu. Jika tidak demikian maka ia tidak dikira sebagai matbu‘ .

Berdasarkan kepada kenyataan al-Khāni di atas, menunjukkan kepada kita bahawa hubungan yang bersifat ruhāniyyah itu nampaknya begitu penting dan sangat berperanan dalam membimbing seorang yang sālik menuju hadirat Allah S.W.T. Dengan menggunakan kaedah yang berkonsepkan al-rābitah tersebut, hubungan ruhāniyyah ini akan dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Dengan demikian perintah fattabi‘uni itu secara langsung dapat disempurnakan dari sudut zahirnya dengan mengikut dan melaksanakan segala suruhan dan larangan, manakala dari sudutnya yang batin pula dapat dilaksanakan dengan melakukan al-rābitah.

2- Merujuk Kepada Konsep Mahabbah
Ayat al-Qur’an di atas juga memberikan satu gambaran yang jelas kepada kita bahawa untuk mendapatkan sifat mahabbah terhadap Allah S.W.T., seseorang itu hendaklah mengikut jejak Rasulullah s.a.w. dari sudut zahir dan batin. Sedang hakikat al-hubb itu ialah wujudnya sifat al-‘alāqah al-rābitah dalam diri seseorang yang sālik. Tanpa sifat ini, adalah sukar bagi seseorang yang sālik untuk mencapai sifat mahabbah seperti yang dituntut dalam ayat di atas. Fakta ini dapat diperjelaskan lagi menerusi keterangan Muhammad Husayn al-Tabā`tabā’i dalam tafsirnya al-Mizān, antara lain menyebutkan dengan katanya:

والحب في الحقيقة هو العلقة الرابطة التي تربط أحد الشيئين بالآخر .

Maksudnya:

Dan sifat mahabbah itu hakikatnya ialah al-'alāqah al-rābitah (ketergantungan dan keterikatan) yang menghubungkan antara satu dengan yang lain.

Dari keterangan yang diberikan oleh al-Tabā’tabā’i di atas tadi jelas bahawa amalan al-rābitah tersebut adalah aspek terpenting bagi seorang yang sālik untuk membolehkannya mencapai maqām al-mahabbah dalam perjalanannya menuju ke hadirat Allah S.W.T. Jika dilihat dari sudutnya yang zahir, kita diperintahkan supaya mengikuti jejak Nabi Muhammad s.a.w. untuk mencapai maqām mahabbah tersebut, manakala dari sudut ruhāniyyah pula, amalan al-rābitah berfungsi sebagai wasilah untuk mencapai maqām tersebut.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada dua konsep yang terkandung dalam ayat al-Qur’an, surah Āli 'Imran di atas, para ulamak tasawwuf melalui disiplin ilmu dan amalan tasawwuf telah menentapkan amalan al-rābitah adalah salah suatu aspek penting yang menyumbang kepada kejayaan bagi seorang sālik untuk mencapai wusul ilā Allah S.W.T. Hal ini telah dinyatakan oleh al-Qādiri dalam kitabnya Madārij al-Haqiqah antara lain menyebutkan:

ولهذا عمد أئمة الطريقة الى تكليف السالكين بتصور المرشد الأعظم , صلى الله عليه وسلم , وتصور المشايخ المرشد, الورثة المحمديين , وتخيلهم للاستفادة من تلك الأسرار , والاستنارة من تلك الأنوار , لحفظ الحال والترقى الى الكمال .

Maksudnya:

Berdasarkan kepada pentingnya amalan al-rābitah tersebut, maka ulamak-ulamak tariqat telah menetapkan kepada para sālikin agar menghadirkan murshid al-a'zam Baginda s.a.w. dan menggambarkan mashāyikh al-murshidin yang mewarisi ajaran Muhammadiyyah, dan mengkhayalkannya bagi mendapatkan faedah dari rahsia-rahsia tersebut. Di samping mendapatkan cahaya bagi menjaga al-hāl dan peningkatan (al-Taraqqi) ke arah kesempurnaan.

Secara keseluruhan dari dalil-dalil yang telah dikutip melalui sumber al-Qur’an, seperti yang telah dibentangkan di atas tadi adalah merujuk kepada tafsirannya yang bersifat ishāri. Tafsiran seumpama ini telah pun diakui sah dan benar oleh kebanyakan ulamak Islam. Hal ini dinyatakan oleh al-Taftazāni, beliau menyebutkan:
وأما ما يذهب اليه بعض المحققين من أن النصوص على ظواهرها , ومع ذلك ففيها ءا شارات خفية ءالى دقائق تنكشف لأرباب السلوك يمكن التوفيق بينهما وبين الظواهر المرادة فهو من كمال الاءيمان ومحض العرفان .

Maksudnya:

Dan adapun pandangan yang dibuat oleh sesetengah golongan muhaqqiqin bahawa nas-nas al-Qur’an itu (yang dimaksudkan) ialah zahirnya. Walaupun demikian dalam nas-nas al-Qur’an itu juga terdapat berbagai isyarat yang tersembunyi yang menunjukkan berbagai rahsia yang sangat halus yang akan tersingkap (rahsia-rahsia) itu bagi golongan ahli suluk, yang mana ianya boleh disesuaikan dengan maksud yang zahirnya sebagaimana yang dikehendaki itu. Menyesuaikan di antara (maksud) yang tersembunyi dengan yang zahir itu adalah merupakan sebahagian dari kesempurnaan iman dan ma‘rifah yang sebenar.

Berdasarkan kepada prinsip tafsir ishāri seperti yang diterangkan di atas, maka segala dalil-dalil yang telah diperturunkan sememangnya mempunyai maknanya yang zahir, di samping maknanya yang bersifat batin ditunjukkan secara ishāri. Berdasarkan kepada dua prinsip tafsir ini maka para ulamak tasawwuf, seperti yang telah dihuraikan di atas, berpendapat segala ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibentangkan itu adalah merujuk kepada makna yang ditafsirkan secara ishāri dengan membawa pengertian al-rābitah. Hal ini terbukti dengan pengalaman yang telah dilalui dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf menunjukkan bahawa amalan rābitat al-syeikh itu akan membolehkan seseorang yang sālik sentiasa ingatkan Allah S.W.T, sifat ghaflah akan hilang di samping lenyapnya was-was yang bersifat kesyaitanan.

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.


4.3.4 Firman Allah S.W.T.:

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلاَ أَنْ رَأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ .


Maksudnya:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan TuhanNya (tentang kejinya perbuatan zina itu) Demikianlah agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih .

Berdasarkan kepada ayat di atas para mufassirin telah berselisih pendapat tentang maksud burhāna rabbihi. Kerana ungkapan ini telah ditafsirkan kepada berbagai maksud dan tujuan. Walau bagaimanapun, mengikut pandangan dan keyakinan ulamak tasawwuf dan tariqat, yang dimaksudkan dengan burhāna rabbihi dalam ayat di atas adalah merujuk kepada maksud al-rābitah.

Keyakinan ini disandarkan kepada kebiasaan yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf yang sangat menekankan hubungan yang erat antara seorang murid dengan syeikhnya. Hasil dan kesan dari hubungan yang erat dan kukuh ini akan melahirkan satu sifat yang sentiasa ingat kepada guru atau syeikhnya. Ingatan tersebut akan berlaku ketika hendak melakukan perintah Allah S.W.T. seperti yang telah diterima ketika waktu pengajian yang diberikan oleh gurunya.

Begitu juga apabila hendak melakukan sesuatu kemaksiatan dia akan terbayang guru murshidnya seakan-akan marah terhadap dirinya dengan memperingatkan supaya jangan melakukan maksiat tersebut. Hal ini menyebabkan hawa nafsunya terhenti dan tidak jadi untuk meneruskan perbuatan yang diruntun oleh nafsu syahwat tersebut. Keadaan ini telah menjadi satu disiplin dan kaedah bagi seorang yang sālik dalam amalan tariqat. Kaedah ini dilakukan untuk mengawal diri dari terjerumus ke lembah maksiat yang boleh menggagalkan seorang yang sālik untuk wusul ilā Allah S.W.T.

Justeru kerana itu, jika seorang Islam yang mengambil sesuatu ilmu dengan tidak menggunakan perantaraan seorang guru murshid atau syeikh, maka kemungkinan untuk terjadinya penyelewengan terhadap nilai-nilai agama Islam adalah besar. Hal ini disebabkan seseorang itu merasakan dirinya tidak berada dalam lingkaran kesesatan. Dalam hal ini, yang paling jelas, ia tidak mendapat keberkatan dari kedudukan seorang guru yang murshid itu ketika mendapatkan ilmu yang tersebut. Dalam konteks ini perlu diingatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiripun diajarkan oleh Allah S.W.T. melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam mendapatkan ilmu pengetahuan.

Oleh yang demikian, rābitah yang dilakukan oleh pengamal tariqat khasnya dan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf amnya adalah semata-mata kerana Allah S.W.T. Tidak terdapat sedikitpun unsur-unsur penyembahan kepada guru murshid. Jangan disamakan amalan rābitah ini dengan perbuatan orang-orang yang musyrik, jika tidak memahami konsep serta tujuan amalan ini dilakukan. Orang-orang musyrik itu memang dengan sengaja menjadikan berhala-berhala mereka sebagai tempat melakukan perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., mereka beriktikad bahawa berbagai bentuk berhala tersebut mempunyai status sebagai oknom yang dipertuhankan lantaran kekuasaan yang dimiliki sama dengan kekuasaan Allah S.W.T.

Keadaan ini tidak berlaku dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, walaupun terdapat amalan rābitah dalamnya, tetapi ia mempunyai konsepnya yang tersendiri. Murshid hanya sebagai orang tua yang mengandungi makna barakah yang dijadikan wasilah seperti yang dituntut dalam ayat di atas. Tidak ada keyakinan bahawa guru atau syeikh itu memberikan bekas terhadap keyakinan dan iktikad yang dituju, iaitu Zat Allah S.W.T. Hanya Allah S.W.T. sebagai tempat pengharapan dan sembahan, tidak ada iktikad mempertuhankan guru murshid. Seperti yang telah dijelaskan di atas tadi, bahawa guru itu berada pada posisinya sebagai orang tua yang sewajarnya diikuti dan dipatuhi segala perintah dan anjurannya selama mana dia tidak bercanggah dengan hukum Allah S.W.T.dan RasulNya, sebaliknya apa juga bentuk larangan yang dibenci hendaklah segera dijauhi dan ditinggalkan. Mereka yang berada dan beramal dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf merasa takut dan khuatir apabila hendak meninggalkan perintah agama dan melanggar apa yang dilarang lantaran teringatkan atau terbayang wajah guru murshid berada di hadapannya dalam keadaan marah terhadapnya.

Dari penjelasan yang telah diberikan di atas tadi, dapat dinyatakan di sini bahawa disiplin ilmu dan amalan tasawwuf menjadikan ayat 24 dalam surah Yusuf tersebut sebagai sandaran bagi keharusan amalan rābitah. Satu hal yang perlu difahamkan di sini ialah firman Allah S.W.T. yang tersebut dalam ayat 24 surah Yusuf itu adalah jelas dari syariat yang terdahulu, (yakni syariat Nabi Yusuf) namun perlu diingatkan bahawa hukum syariat itu masih muhkamah (berjalan atau berlaku) bagi umat Muhammad s.a.w., tidak terdapat satu keterangan pun yang membatalkan atau membatasi syariat tersebut. Atau hanya terbatas dengan tamatnya tempoh kerasulan Nabi Yusuf a.s. Untuk itu ada kebenarannya menurut pandangan Islam jika ahli tariqat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf mengamalkan al-rābitah dengan para guru murshid mereka.

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.






4.3.3 Firman Allah S.W.T.:


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah S.W.T. dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadanya (dengan mematuhi dan meninggalkan laranganNya), dan berjuanglah pada jalan Allah S.W.T. (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."

Dari keterangan yang berdasarkan kepada ayat 35 surah al-Maidah di atas, jelas menunjukkan adanya perintah untuk mencari wasilah seperti yang terkandung dalam ungkapan وابتغوا إليه الوسيلة . Tujuan serta matlamat berbuat demikian juga telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam ayat tersebut dengan ungkapan لعلكم تفلحون . Dari keterangan yang diberikan dari dua ungkapan tersebut menunjukkan bahawa amalan mencari wasilah itu merupakan suatu yang sangat penting kerana tanpanya kejayaan yang dicari tidak akan kunjung tiba seperti yang telah diterangkan oleh struktur ayat tersebut.

Masalahnya sekarang ialah, apakah yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. dengan ungkapan وابتغوا إليه الوسيلة tersebut. Apakah ia hanya terbatas kepada amal soleh atau apa juga bentuk wasilah selain dari amal soleh. Di sinilah titik perselisihan yang timbul sehingga ada yang mengatakan bahawa wasilah selain amal soleh adalah bersifat bidaah dan tidak ada dalam syariat Islam.

Kita berpendapat, oleh kerana ayat al-Qur’an tersebut tidak memberikan penjelasan yang tepat terhadap maksud wasilah yang sebenar, maka di sini ada ruang yang diberikan oleh syariat Islam untuk mentafsirkan ayat tersebut kepada makna-makna yang tertentu berdasarkan kepada faktor-faktor tertentu.

Dalam hal ini ulamak tasawwuf berpendapat bahawa al-wasilah itu adalah bersifat umum, ia merangkumi semua bentuk tawassul sama ada kepada zat-zat yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T semasa hidup atau sesudah matinya, begitu juga tawassul dengan amal-amal soleh. Untuk membatasi tujuan al-wasilah dalam ayat di atas hanya kepada amal-amal soleh ternyata agak sukar, kerana selain bermaksud umum, kalimah tersebut juga dari sudut kaedah bahasa Arab berada pada posisi ism al-ma‘rifah bukan ism al-nakirah sekalipun kalimah al-wasilah itu dalam bentuknya yang mufrad tidak jamak.

Namun ulamak yang tidak terlibat secara langsung dengan disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, secara umumnya menolak penggunaan ayat 35 dalam surah al-Ma`idah ini sebagai dalil keharusan untuk mengamalkan al-rābitah. Seperti Syeikh Ahmad Khātib menganggap wasilah selain daripada amal soleh itu adalah perbuatan bidaah dan terlarang dalam syariat Islam. Menurut beliau perbuatan berwasilah kepada selain dari amal soleh seperti berwasilah kepada zat-zat yang mulia yang mempunyai kelebihan serta ketinggian martabah di sisi Allah S.W.T. adalah permohonan dan permintaan kepada selain daripada Allah S.W.T. Beliau beranggapan perbuatan berwasilah tersebut adalah bertentangan dengan hadis Rasullah s.a.w. yang bermaksud:

Apabila kamu hendak meminta tolong maka pintalah pertolongan itu daripada Allah.

Sebenarnya, penggunaan ayat 35 surah al-Ma`idah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah bagi tujuan mensabitkan keharusan al-rābitah itu. Kerana amalan rābitah merupakan salah satu dari berbagai cara untuk berwasilah seperti yang dituntut dalam ayat di atas.

Sunday, January 3, 2010

DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF.


4.3.2 Firman Allah S.W.T.:


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. supaya kamu beroleh kejayaan.

Seperti yang telah kita jelaskan, ketika menghuraikan dalil yang pertama, pengertian batin atau ma‘nawiyyah terhadap ayat ini diambil kira dalam menjelaskan peranan dan kedudukan al-rābitah. Bagi menjelaskan fakta ini dapat kita lihat keterangan yang diberikan oleh ahli tafsir tentangnya. Sebagai contoh seperti keterangan yang telah dikemukakan oleh Syeikh al-Ālusi dalam tafsirnya yang terkenal, Ruh al-Ma‘āni antara lain menyebutkan:


(ورابطوا) فى مقام الروح ذواتكم حتى لا تعتريكم فترة أو غفلة واتقوا الله عن المخالفة والاعراض والجفاء

Maksudnya:

Dan berābitahlah kamu pada tingkat roh itu ialah diri kamu (hati dan sirr kamu) sehingga kamu tidak ditimpa lemah (iman) dan kelalaian dan bertakwalah kepada Allah S.W.T. (dengan menjaga diri) dari (sifat) menentang Allah S.W.T., membelakangkan Allah S.W.T. dan membenci Allah S.W.T.

Syeikh al-Fakhr al-Rāzi tidak ketinggalan memberikan keterangannya dalam tafsirnya Mafātih al-Ghayb, bahawa perkataan rābitu dalam ayat di atas adalah merujuk kepada makna yang zahir dan batin. Antara maksud yang termasuk dalam pengertian batin itu ialah seperti sifat sabar, tetap iman, gigih dan sebagainya lagi. Situasi seumpama ini memang boleh terjadi dalam hati seseorang, baik ketika berjihad atau mengerjakan ibadat seperti sembahyang dan sebagainya. Ini bererti bahawa sifat-sifat batiniah seperti di atas amat dituntut sebagai satu landasan kepada aspek yang zahir.

Dari keterangan yang telah diberikan oleh para mufassir di atas, dapat kita menyimpulkan di sini bahawa istilah rābitu yang digunakan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada maksud zahir dan batin. Sedang yang batin itu lebih ditekankan kerana ia sebagai dasar dan asas tiap-tiap yang zahir. Oleh yang demikian jika teguh aspek yang batin, maka sudah pasti akan teguh pula aspek zahir itu. Sebagai contoh; jika rābitah yang zahir itu ialah sentiasa bersiap sedia atau waspada di tempat ibadah atau dengan makna menanti-nanti waktu solat selepas menunaikan solat, bersiap sedia atau waspada dengan kekuatan tentera di perbatasan negara untuk memerangi musuh atau seumpamanya, maka rābitah yang bersifat batin atau ma‘nawiyyah pula bolehlah kita katakan sebagai perkara-perkara yang bersifat ruhāniyyah yang menyumbang kepada kekuatan keimanan kepada Allah S.W.T. dan akhirnya akan membawa seseorang itu mencapai kejayaan seperti yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam ayat di atas tadi. Antaranya ialah rābitah al-syeikh seperti yang terdapat dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.

Menurut Prof. Madya Dr. Jahid Sidek, huraian seperti yang tersebut berhubung dengan perintah rābitah dalam kalimah wa rābitu itu sebenarnya tidak menyalahi kaedah merumuskan kefahaman hukum dari ayat tersebut. Hal ini disebabkan, perintah daripada Allah S.W.T. itu sebenarnya merangkumi aspeknya yang zahir dan batin. Beliau seterusnya membuatkan kronologi terhadap kewajipan berpuasa yang merangkumi puasa zahir dan yang batin. Jika dari sudutnya yang zahir, puasa itu tidak boleh makan, minum dan apa juga yang boleh membatalkan puasa tersebut dari terbit fajar hingga terbenam matahari, maka begitu juga dengan puasa jika dilihat dari sudutnya yang batin hendaklah menjaga hati dan semua anggota dari berbagai pekerjaan yang membawa akibat kepada dosa. Malahan puasa yang batin itulah yang lebih penting seperti yang pernah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa ramai orang yang berpuasa itu hanya merasai lapar dan dahaga sahaja tanpa mendapat pahala dan hikmat yang sebenar dari puasa tersebut. Demikian juga dengan tuntutan berābitah dalam ayat di atas, jika kita hanya berābitah dari sudutnya yang zahir, bererti kita akan penat berada di tempat ibadat itu sahaja tanpa mendapat hikmatnya yang sebenar.


Kesimpulan

Dari keterangan dan perbincangan di atas, maka dapatlah kita tegaskan sekali lagi bahawa amalan rābitat al-syeikh dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf seperti yang telah diterangkan definisi dan konsepnya, begitu juga dengan kedudukan dan cara mengamalkannya merupakan salah satu dari berbagai bentuk wasilah yang dituntut oleh Allah S.W.T. Amalan tersebut tentu sahaja boleh menyampaikan seseorang yang sālik kepada hakikat mengenal Allah S.W.T., sama seperti kita berwasilah dan berwāsitah dengan segala ciptaan sama ada di langit dan di bumi seperti yang telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:


أَفَلاَ يَنْظُرُونَ إِلَى الاِْبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ . وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ . وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ . وَإِلَى الاَْرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ .

Maksudnya:

Maka apakah mereka tidak memerhatikan atau melihat bagaimana dunia diciptakan . Dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan. Dan bukit-bukit bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan .

Bagaimana keadaan dan perasaan kita ketika sedang merenung, memandang dan memikirkan tentang ciptaan Allah S.W.T. tersebut? Tentu sahaja pandangan dan renungan itu bukan kepada Zat Allah S.W.T., sebaliknya melihat dan memikirkan tentang berbagai kesan kewujudanNya, keagunganNya, kesempurnaanNya dan sebagainya lagi. Maka begitulah juga dalam ajaran tasawwuf, rābitah dengan syeikh al-murshid itu bukanlah zat syeikh itu yang menjadi tumpuan dan matlamat akhirannya, tetapi ialah wujudnya Allah S.W.T., keagunganNya, kehebatanNya, kesempurnaanNya dan sebagainya lagi. Akhirnya akan melahirkan seorang mukmin yang bersifat dengan sifat orang-orang yang mutawakkilin seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آياتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًَا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ .

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah S.W.T.(dan sifat-sifatNya) gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah .

4.3 DALIL KEHARUSAN AMALAN AL-RĀBITAH MENGIKUT DISIPLIN ILMU TASAWWUF

Apabila kita membicarakan soal al-rābitah dan mentalaah kitab-kitab tasawwuf tentangnya, maka antara dalil-dalil yang telah digunakan oleh para ulamak tasawwuf dahulu dan sekarang ialah seperti berikut:
4.3.1 Firman Allah S.W.T:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ .
Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

Dalam ayat di atas terdapat dua fi‘il al-amr yang membawa maksud perintah. Perintah pertama agar bertakwa kepada Allah S.W.T., sedang yang kedua pula perintah agar bersama-sama dengan orang-orang yang bersifat sādiqin. Justeru menurut ayat di atas kita diperintahkan oleh Allah S.W.T. agar bersama-sama dengan mereka dari semua aspek kehidupan. Kita dituntut supaya bersifat sabar seperti sabarnya golongan tersebut, kita diperintahkan bersifat dengan sifat mukmin, solehin dan sebagainya seperti yang mereka miliki. Lantaran itu kita diperintahkan memohon kepada Allah S.W.T. agar dikurniakan dengan nikmat-nikmat seperti yang telah Allah S.W.T. kurniakan kepada golongan tersebut. Keadaan ini telah dirakamkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Maksudnya:

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan ni’mat kepada mereka, bukan jalan mereka yang dumurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.

Persoalannya di sini ialah bagaimana perintah supaya bersama-sama itu dapat dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin. Di sinilah titik permulaan untuk kita membicarakan masalah al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dengan bersandar kepada dalil di atas. Kerana terdapat berbagai pendapat serta pandangan yang telah dikemukakan terhadap persoalan ini. Namun bagi para ulamak tasawwuf, secara umumnya mereka berpendapat ayat tersebut membawa maksud al-rābitah. Pendapat tersebut adalah didasarkan kepada beberapa fakta berikut:

1- Menurut al-Khāni seperti yang terdapat dalam kitabnya berjudul al-Haqā`iq al-Wardiyyah, yang beliau nukil dari keterangan Syeikh ‘Ubaydullah bahawa al-kaynunah, (iaitu perkataan kunu) dalam ayat di atas merupakan perintah Allah S.W.T. agar manusia sentiasa bersama-sama dengan golongan al-siddiqin seperti yang disebutkan dalam surah al-Taubah tersebut, arahan supaya bersama-sama ini merangkumi aspek zahir dan batin. Menurut ‘Ubaydullah lagi, al-kaynunah al-ma‘nawiyyah itulah yang dimaksudkan oleh golongan tasawwuf dengan al-rābitah.

Oleh yang demikian dapat kita fahamkan di sini bahawa al-kaynunah tersebut boleh terjadi dalam dua bentuk, pertama al-kaynunah yang bersifat zahir dan kedua pula ialah al-kaynunah dari sudut ma‘nawiyyah atau yang batin.

2- AI-Kaynunah dalam ayat tersebut juga tidak boleh terjadi sama sekali kecuali setelah berlaku irtibāt yang sempurna antara kedua belah pihak. Oleh yang demikian perintah Allah S.W.T. supaya sentiasa bersama dengan golongan al-siddiqin itu tidak akan terjadi tanpa adanya suatu bentuk irtibāt antara kedua-dua golongan tersebut. Dalam mewujudkan situasi irtibāt antara kedua-dua golongan ini maka amalan al-rābitah berperanan sangat penting bagi mewujudkan irtibāt tersebut.

Dari kedua-dua fakta di atas memperjelaskan lagi di sini bagaimana ulamak tasawwuf menggunakan ayat al-Qur’an surah al-Taubah ayat 119 tersebut sebagai dalil yang menunjukkan keharusan amalan al-rābitah yang diamalkan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Walaupun demikian, pengambilan ayat ke119 dalam surah al-Taubah itu dibantah oleh ulamak bukan tasawwuf, seperti Syeikh Ahmad Khātib. Beliau membantah keras penggunaan ayat tersebut dengan membuat beberapa ulasan antaranya beliau menyebutkan:

Mereka mentafsir; orang-orang yang benar dengan guru-guru. Dan; serta mereka, dengan menghadirkan mereka ketika berzikir, kerana hendak memelihara rupa itu dan beradab kepadanya serta meminta limpahan daripadanya supaya dengan menghadirkannya, sempurna hadir hati kepada Allah Ta'ala dan turun cahaya. Dan dengan melihat rupa itu terhalang tiap-tiap pekerjaan yang bersifat kekurangan.

Dari keterangan di atas Syeikh Ahmad Khātib mengemukakan bantahan beliau dengan pandangannya:
Dalil itu adalah batal dan mentafsirkan al-Qur’an dengan fikiran semata-mata yang terlarang. Sabda Nabi kita (s.a.w.):

Bermaksud:

“Barangsiapa mengatakan sesuatu tentang al-Qur’an dengan fikirannya semata-mata atau dengan kejahilan, maka sediakanlah tempat tinggalnya di dalam api neraka.”


Orang tersebut telah termasuk dalam umum hadis ini kerana ia telah mentafsirkan al-Qur’an dengan fikirannya. Adapun makna:

Jadilah engkau seperti mereka itu tentang benarnya.

Dan seperti itu pula diriwayatkan Bayhaqi dan lain-lain dari Ibn Mas‘ud. Maka yang dikehendaki dengan sādiqin (orang-orang yang benar), ialah segala orang yang benar agama, niat, perkataan dan amalannya.

Maka dari tafsir di atas nyatalah bahawa ayat tersebut tidak boleh dijadikan dalil bagi menghadirkan guru ketika berzikir, iaitu makna rābitah. Dan jika kita umpamakan makna:

Jadilah kamu berserta orang-orang yang benar.

Maka ia juga tidak menunjukkan kepada makna menghadirkan rupa guru ketika berzikir. Kerana orang yang menghadirkan rupa guru itu tidaklah ia berserta orang yang benar. Kerana orang yang benar ialah anak Adam (manusia) yang amat benar dalam agama, niat dan ibadatnya. Sedang rupa guru itu bukan ia diri guru. Dan makna berserta suatu dengan suatu ialah bersama-sama dengan dia dan bergaul dengan dia. Bukan makna berserta itu menghadirkan rupanya. Maka antara dalil dan madlul berjauhan seperti antara bumi dengan langit.

Adapun katanya beradab dengan rupa guru meminta limpahan daripadanya, maka telah lalu bahawa ia terlarang menurut nas Qur’an yang telah diterangkan, kerana dia beradab terhadap bayang-bayang guru dan meminta kepadanya. Maka yang demikian menyampaikan kepada mensekutukan Tuhan dan mengiktikadkan yang lain dari Allah Ta'ala mempunyai bekas.

Penjelasan:
Seperti yang telah kita bincangkan, pengambilan ayat ke119 dalam surah al-Taubah ini adalah merujuk kepada makna yang batin atau ma‘nawi. Justeru, konsep bersama-sama yang cuba diutarakan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf yang terdapat dalam ayat di atas ialah bersama-sama dari sudut maknanya yang batin atau ma‘nawiyyah itu. Hal ini jelas terbukti dari keterangan yang diberikan oleh al-Ālusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘āni seperti yang beliau jelaskan
وجوز أن يكون عاما لهم ولغيرهم فيكون المراد بالصادقين الذين صدقوا فى الدين نية وقولا وعملا, وأن يكون خاصا بمن تخلف وربط نفسه بالسوارى.

Maksudnya:

Boleh juga diertikan bahawa al-sadiqin itu dengan makna yang am bagi mereka dan selain mereka, maka yang dimaksudkan dengan al-sadiqin itu ialah mereka yang benar dalam agama dari sudut niat, perkataan dan perbuatan. Dan boleh juga diertikan al-sadiqin itu secara khusus kepada mereka yang terdahulu dengan berabitah dirinya atas kemuliaan dan darjah mereka.

Jelas dari keterangan al-Ālusi ke atas ayat 119 surah al-Taubah itu tadi, menunjukkan bahawa al-siddiqin itu adalah merujuk kepada orang-orang yang terdahulu, sama ada mereka itu dari kalangan ahli kitab, Rasulullah s.a.w. mahupun para sahabat Baginda Rasulullah s.a.w. Fakta ini beliau jelaskan dengan menukil keterangan yang diriwayatkan oleh Ibn al-Mundhir daripada Jarir daripada Nāfi‘, beliau menyebutkan:

أن الاية نزلت فى الثلاثة الذين خلفوا , والمراد بالصادقين محمد صلى الله عليه وسلم وأصحابه , وبذلك فسره ابن عمر كما أخرجه أبى خاتم .

Maksudnya:

Sesungguhnya ayat tersebut diturunkan kepada golongan yang terdahulu, sedangkan maksud al-sādiqin pula ialah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya. Demikian penafsiran Ibn ‘Umar seperti yang dikeluarkan oleh Abu Khātim.

Oleh yang demikian, dapat kita membuat tanggapan di sini bahawa pandangan Syeikh Ahmad Khatib ketika menghuraikan makna berserta atau bersama itu hanya terbatas kepada makna yang zahir dengan merujuk kepada pergaulan secara fizikal, pandangan tersebut tentu sahaja menyalahi kaedah pentafsiran yang telah dikemukakan oleh al-Ālusi tersebut. Kerana menurut al-Ālusi, yang dimaksudkan dengan al-sādiqin itu ialah mereka yang terdahulu yang sezaman dengan Nabi s.a.w., atau yang sebelum itu lagi. Jika demikian, bagaimana pandangan Syeikh Ahmad Khatib dalam menjelaskan bersama-sama dengan orang al-sādiqin itu boleh dipraktikkan, kerana zaman mereka telah berlalu sekian lama. Dalam konteks ini apakah boleh kita mengabaikan sahaja perintah Allah S.W.T. agar kita bersama dengan orang yang al-sādiqin tersebut? Di sinilah timbulnya pandangan ulama-ulama tasawwuf yang mentafsirkan bersama-sama itu dalam pengertiannya yang ma‘nawiyyah. Menurut al-Khāni bersama-sama dari sudut ma‘nawiyyah itulah yang dimaksudkan dengan al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.

Kesimpulan:
Dari perbincangan di atas, dapat kita mengambil beberapa kesimpulan yang menyebabkan timbulnya kekeliruan ketika memahami maksud ayat 119 dalam surah al-Taubah tersebut adalah seperti berikut:

a) Tidak memahami dan menerima bentuk pentafsiran yang bersifat ma‘nawiyyah terhadap ayat-ayat al-Qur’an.

b) Pentafsiran yang dilakukan mestilah memahami secara bahasa dan istilah terhadap makna al-rābitah tersebut, kerana makna dan konsep al-rābitah itu tidak hanya terbatas kepada amalan menghadirkan rupa guru ketika hendak berzikir semata-mata, tetapi lebih luas dan lebih umum dari itu. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan:

عن أسماء بنت يزيد, انها سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ألا أنبئكم بخياركم؟ قالوا: بلى يا رسول الله! قال : خياركم الذين اذا رؤا , ذكر الله عز وجل .

Maksudnya:

Daripada Asmā` binti Yazid, bahawa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda. Adakah tidak mahu aku khabarkan kepada kamu orang yang paling baik di kalangan kamu? Mereka menjawab : Bahkan Ya Rasulullah! Mereka yang apabila dilihat mengingatkan orang yang melihat itu kepada Allah S.W.T.

Hadis di atas memberikan penjelasan kepada kita bahawa dengan melihat seseorang yang berada pada maqāmnya yang hampir dengan Allah S.W.T., akan memberikan keberkatan terhadap orang yang melihatnya. Bagi seorang yang sālik, hal tersebut merupakan wasilah yang boleh mempercepatkan bagi dirinya untuk berada pada tahap wusul kepada Allah S.W.T. Oleh sebab itu, dalam menjalani suluk, seorang yang sālik amat dituntut untuk menghadirkan rābitah sebagai memenuhi maksud hadis di atas. Jika sekiranya yang dimaksudkan dengan ru’yah itu hanya terbatas kepada pandangan yang zahir sahaja, bagaimana dengan orang-orang terkemudian yang tidak pernah berjumpa dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w., para sahabat, tābi‘ al-tābi‘in dan seterusnya? Tentu sahaja kita tidak dapat mencapai maksud dan tujuan dari hadis di atas.

Dalam konteks Malaysia hari ini, siapa agaknya yang boleh menepati kehendak dari hadis di atas? Sukar untuk kita mencari seorang guru yang menepati ciri-ciri seperti generasi awal zaman Rasul s.a.w. Jika adapun terlalu kecil bilangannya dan sukar pula untuk berjumpa dan melihatnya bagi mencapai maksud dan tujuan dari hadis di atas. Oleh itu, menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwaf, ru'yah dalam hadis di atas merangkumi kedua-dua maksud, iaitu penglihatan yang zahir dan yang kedua ialah penglihatan yang batin. Melihat dengan mata hati yang bersifat sanubari itu sebenarnya adalah lebih berkesan dan memberikan manfaat bagi seorang yang sālik ketika menjalani al-suluk.

Monday, December 14, 2009

4.2.4 AI-Rābitah sebagai sumber al-mahabbah .


4.2.4 AI-Rābitah sebagai sumber al-mahabbah .

Dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf, al-mahabbah, kasih mengasihi dan sayang menyayangi antara seorang murid dengan gurunya, antara seorang murid dengan rakan setariqatnya dan seterusnya antara seorang murid dengan masyarakatnya amat dituntut dan diberatkan. Perkara ini menjadi asas yang sangat penting bagi seorang murid atau sālik ketika menjalani suluk. Ini kerana dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf hubungan yang erat antara murid, guru dan rakan-rakan setariqat adalah ukuran bagi menentukan berjaya atau gagalnya seseorang yang sālik untuk mencapai wusul ilā Allah. Mahabbah di sini merangkumi aspek zahir dan batin bagi seorang yang sālik. Dari sudut zahirnya, tuntutan untuk berkasih sayang itu jelas dapat dilihat seperti yang dituntut oleh hadis baginda s.a.w. yang antara lain menyatakan:

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم كالجسد الواحد إذا اشتكى منه عضو واحد تداعى له سائر الجسد بالهر والحمى

Maksudnya:

Perumpamaan bagi seorang muslim dari sudut kasih, sayang dan lemah lembutnya mereka sesama mereka ialah seperti satu jasad, apabila mengadu salah satu anggota dengan satu kesakitan maka seluruh anggota badannya akan berjaga dan menanggung penderitaan tersebut.

Manakala mahabbah dari sudutnya yang batin bagi seorang yang sālik itu dapat dilihat dari firman Allah S.W.T. yang antara lain:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ .
Maksudnya:


Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

Ayat di atas jelas membawa maksud perintah supaya setiap mukmin itu bersama-sama dengan orang-orang yang bersifat al-sādiqin. Untuk menyahut seruan tersebut adalah wajar bagi seorang yang mukmin merasa-rasakan diri mereka bersama-sama dengan orang-orang yang al-sādiqin. Kebersamaan tersebut terjelma dalam semua aspek kehidupan mereka, sama ada dari sudut keimanan seperti berpegang kepada janji, taubat, inābah dan sebagainya. Malahan bagi mereka yang berkesempatan untuk bertemu dengan mereka, maka hendaklah bersama-sama bergaul dan berdampingan dengan orang-orang al-sādiqin tersebut.

Sebaliknya jika tidak berkesempatan untuk berbuat demikian maka cukup sekadar dengan roh melalui kaedah dan amalan al-rābitah. Ini kerana menurut Ibrāhim Hilmi al-Qādiri, terdapat ramai orang yang bersama-sama dengan orang-orang yang bersifat al-sādiqin dari sudut zahirnya, tetapi pada hakikatnya mereka itu tidak bersama-sama dengan golongan al-siddiqin tersebut dari sudut al-hāl. Sedangkan di sana terdapat golongan yang berjauhan dengan orang-orang yang bersifat al-siddiqin dari sudut zahirnya, tetapi sebenarnya mereka bersama-sama dengan golongan al-siddiqin itu dari sudut rohnya.

Fakta di atas dapat dibuktikan dengan melihat kepada konsep al-kaynunah yang terdapat dalam ayat di atas tadi. Konsep al-kaynunah yang terkandung dalam perkataan kunu tidak akan sempurna dan berlaku dalam perintah ayat di atas jika tidak wujud suatu keadaan irtibāt antara kedua belah pihak, iaitu antara orang-orang yang bersifat al-siddiqin dan orang-orang yang beriman. Oleh yang demikian al-rābitah itu berfungsi sebagai penghubung antara kedua-dua golongan ini dengan satu landasan mahabbah yang berdasarkan kepada hubungan al-ruhi.

Dalam konteks ilmu dan amalan tasawwuf seorang yang sālik dianggap gagal dalam usahanya mencapai tahap al-taraqi dalam perjalanannya menuju Allah S.W.T., melainkan dengan menjaga adab-adab al-mahabbah dan ikhlas terhadap gurunya. Apabila terdapat pada diri seorang murid atau salik sifat su’ al-zann terhadap gurunya atau ustaz yang mengajarnya di samping melupakan kelebihan-kelebihan mereka ke atas dirinya (lebih tepat jika dikatakan di sini mereka yang angkuh dengan ilmu pengetahuan yang diperolehi sehingga mereka sanggup mengenepi dan mengecilkan kedudukan guru-guru yang pernah mengajar dan membimbing mereka). Atau dalam erti kata lain mereka bersifat biadab terhadap guru mereka lantaran itu maka tertutuplah pintu-pintu al-fuyudāt yang bersifat al-hāl ke atas dirinya.

Terdapat suatu kisah yang telah dinukil oleh al-Qādiri dan beliau muatkan kisah tersebut dalam kitabnya yang berjudul Madārij al-Haqiqah antara lain beliau menyebutkan kisah tersebut dengan katanya:

حكى أن سلطان الغزنوى دخل على الشيخ أبى الحسن الخرقانى قدس سره وجلس ساعة ثم قال للشيخ ماذا تقول فى حق أبى يزيد البسطامى فقال هو رجل من رآه اهتدى فقال السلطان وكيف ذلك وأن أبا جهل رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم ولم يخلص من الضلالة قال الشيخ فى جوابه انه ما رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم وانما رأى محمد بن عبدالله يتيم أبى طالب لو كان رأى رسول الله صلى الله عليه وسلم لدخل فى السعادة .أى لو رآه عليه الصلاة والسلام من حيث أنه رسول الله معلم هاد وأذعن. كما قال الله تعالى : وَتَرَاهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ وَهُمْ لاَ يُبْصِرُون .َ

Maksudnya:

Diceritakan bahawa Sultan Mahmud al-Ghaznawi telah berjumpa dengan Syeikh Abu al-Hasan al-Kharqāni dan ia bertanya kepada Syeikh al-Kharqāni tentang pandangannya terhadap Syeikh al-Bistāmi. Maka berkata Syeikh al-Kharqāni bahawa dia (Syeikh al-Bistāmi) ialah seorang yang sesiapa memandangnya akan diberikan pertunjuk dan hidayat. Berkata Sultan Mahmud seterusnya: Bagaimana halnya dengan Abu Jahl, ia melihat Rasulullah (s.a.w.) sedang ia tidak dapat melepaskan dirinya dari belenggu kesesatan? Syeikh al-Kharqāni menjawab: Sesungguhnya Abu Jahl itu tidak melihat Rasulullah s.a.w. tetapi yang dilihatnya hanyalah Muhammad ibn ‘Abdillah seorang yang yatim dari keturunan Abu Tālib. Jika sekiranya Abu Jahl itu melihat bahawa Muhammad itu sebagai seorang Rasul yang bersifat mu'allim dan bersamanya terdapat hidayat serta pertunjuk pastilah dia akan beroleh kebahagiaan. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: Dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.

Dari gambaran kisah yang telah disebutkan, jelas kepada kita bahawa hubungan yang bersifat ruhiyyah itu sangat penting bagi seseorang untuk mencapai tahap keredaan daripada Allah S.W.T. Hubungan yang bersifat ruhiyyah inilah yang dikenali dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf sebagai al-rābitah, hubungan yang berlandaskan kepada kasih sayang. Menjaga adab sopan antara murid dengan guru semasa bergaul dan menjaga hubungan tersebut ketika seorang murid berjauhan melalui amalan al-rābitah.

Keadaan ini menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf adalah asas bagi seorang yang sālik untuk mencapai wusul ilā Allah. Oleh sebab itu dalam ajaran tasawwuf, seorang sālik yang tidak melihat guru atau syeikhnya dengan selayaknya, di samping menjaga adab yang sewajarnya terhadap guru atau syeikh, maka sukar baginya untuk mencapai matlamat wusul tersebut. la tidak akan mendapat keberkatan dari tunjuk ajar yang telah diberikan oleh syeikh atau gurunya itu sekalipun ia bersahabat dan berguru dalam masa yang lama.

Begitu juga dengan penggunaan kalimah السلام عليك أيها النبي jika dilihat dari sudut amalan dan penghayatannya dapat kita jadikan dalil dan bukti tentang wujud makna dan amalan al-rābitah dalam kehidupan harian dan amalan kita. Apabila kita membaca tashahhud ketika mendirikan solat, ia mengandungi makna dan pengajaran yang jelas bahawa seseorang itu mestilah mengingati Allah S.W.T. dan merasakan dirinya hampir kepada Allah S.W.T., namun dalam waktu yang sama dia juga harus mengingati Nabi Muhammad s.a.w. dalam erti menyayangi dan mengasihinya.

Keadaan ini disebabkan oleh perutusan Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita dan dengan itu kita telah dapat mendirikan solat dengan betul seperti yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Dengan mengucapkan doa السلام عليك أيها النبي yang membawa maksud: Selamat sejahtera ke atas kamu wahai Nabi, jelas dengan penggunaan istilah kamu wahai Nabi itu memperlihatkan seolah-olah solat itu didirikan secara bersama dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana menurut al-Ghazāli, apabila seseorang mendirikan solat dan sebelum ia mengucapkan kalimah السلام عليك أيها النبي hendaklah ia menghadirkan Nabi s.a.w. dalam hatinya.

Dalam ilmu psikologi ia disebut sebagai tajrid yang membawa maksud mengosongkan hatinya dari segala sesuatu bagi memberi ruang untuk mengingati sesuatu yang lebih penting. Walaupun Nabi Muhammad s.a.w. telah wafat dan disemadikan di Madinah dengan jarak ribuan kilometer dari kita, namun ia tidak menjadi halangan untuk seseorang itu merasa hampir, kasih dan sayang terhadap Nabi s.a.w. Sebagai contoh, walaupun seseorang itu berada jauh dari kampung halamannya, tetapi dia boleh mengingat dalam hatinya tentang rumah dan tempat tinggal serta kaum keluarga yang menghuninya. Dalam hal ini jarak antara satu dengan yang lain tidak menghalang ingatan seseorang.

Bacaan tashahhud akhir adalah bacaan yang termasuk dalam rukun solat, tanpanya solat dikira batal. Manakala dalam tashahhud itu pula terkandung kalimah السلام عليك أيها النبي . Ungkapan ini bukan sahaja wajib disebut atau dibaca, tetapi sewajarnya dihayati menurut makna dan maksud sebenar yang terkandung dalamnya. Ucapan; Selamat sejahtera ke atas engkau wahai Nabi merupakan ucapan yang membawa maksud للمخاطب , iaitu ucapan yang menggunakan ganti nama yang pertama. Penggunaan kalimah عليك yang bermaksud ke atasmu tidak memberi sebarang makna jika tidak dihayati dan dirasakan bahawa orang yang menerima ucapan itu sedang berada hampir dengannya. Kerana dengan melihat zahir ayat ia menggambarkan satu dialog antara orang yang pertama dan yang kedua.

Penggunaan istilah; Selamat sejahtera atas engkau wahai Nabi merupakan ucapan yang tepat dari sudut rasionalnya, kerana dengan pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan kepada umat manusia dan seluruh alam ini. Ucapan terima kasih juga kerana Nabi s.a.w. telah membawa obor hidayat ketika manusia meraba-raba dalam kesesatan jahiliyah. Melalui Baginda Rasulullah s.a.w. manusia dapat menerima ajaran wahyu Allah S.W.T. seterusnya menyelamatkan manusia dari segala kesengsaraan dunia mahupun akhirat.

Walaupun manusia boleh mengucapkan salawat atas Nabi sebanyak yang mungkin di luar solat, namun dalam bacaan tashahhud Allah S.W.T. menghendaki manusia mengucapkannya dalam solat, sebagai lambang mengenang jasa bagi seluruh umat manusia atas pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Dengan berselawat juga manusia dapat merasai keakraban dan rasa kasih sayang terhadap Baginda Rasulullah s.a.w yang menjadi kesayangan dan kecintaan umat manusia seluruhnya.

Selain dari itu seorang yang sālik hendaklah mengucapkan salam itu dengan penuh keyakinan bahawa salamnya itu didengar oleh Nabi s.a.w., selain dari itu ia mestilah menaruh keyakinan penuh bahawa salamnya telah dijawab oleh Nabi s.a.w. Dengan keyakinan seperti itu dia tidak merasakan dirinya bercakap secara bersendirian kerana apalah ertinya jika kita mengucapkan sesuatu kepada seseorang sedangkan ia tidak mendengar ucapan tersebut.

Oleh yang demikian, untuk menjadikan seseorang itu lebih seronok dan dapat merasakan kemanisan ketika mendirikan solatnya, hendaklah dia merasakan dan meyakini sungguh-sungguh pada setiap kali ia mengucapkan selawat ke atas Nabi. Pada ketika itu hendaklah dirasa-rasakan secara dhawqiyyah bahawa Nabi telah mendengar dan menjawab salam tersebut. Alangkah bahagianya seseorang itu jika ia tahu bahawa ucapan selawatnya telah dijawab oleh Baginda s.a.w. dengan sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, untuk melahirkan rasa kasih dan sayang terhadap Nabi s.a.w. seorang yang sālik hendaklah dia bersegera mendirikan solat, kerana dalam solat tersebut dia boleh berbalas-balas salam dengan Baginda s.a.w. dan boleh berjumpa dan bertemu dengannya. Keyakinan yang demikian akan melahirkan rasa motivasi untuk segera melakukan solat apabila telah tiba waktunya, selain ditambah dengan solat-solat yang sunat, kerana dalam tashahhud sahajalah ia akan dapat melepaskan rasa kasih sayang dan rindunya terhadap Allah S.W.T. dan RasulNya.

Dari berbagai fakta yang telah diterangkan di atas dapat kita lihat dengan jelas bagaimana kedudukan al-rābitah itu sebagai salah satu dari sumber al-mahabbah yang telah diamalkan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.

4.2.3 AI-Rābitah Sebagai Sumber Perpaduan.


4.2.3 AI-Rābitah Sebagai Sumber Perpaduan.

Apabila kita membicarakan soalan perpaduan, apa yang terlintas dalam fikiran kita ialah persoalan; Apakah bentuk perpaduan yang boleh dikaitkan dengan al-rābitah? Untuk menjelaskan persoalan ini kita kemukakan sebahagian daripada ayat al-Qur’an yang mempunyai hubungan rapat dengan perbincangan ini, Allah S.W.T. berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara¬-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih dari kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. supaya kamu berjaya mencapai kemenangan."

Menurut pandangan beberapa ahli mufassir yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir mereka, bahawa perkataan rābitu dalam ayat di atas meliputi kedua-dua aspek al-rābitah; Iaitu rābitah zahir dan rābitah batin. Antara beberapa bentuk al-rābitah zahir yang membawa maksud perpaduan berdasarkan ayat di atas ialah:

1. Perpaduan dalam peperangan

a) Menurut keterangan daripada al-Tusi dalam tafsirnya al-Tibyān, dinukil daripada al-Hasan, Qatādah, Ibn Jurayj dan al-Dahhāk, maksud dari kalimah rābitu dalam ayat di atas ialah memperkuatkan semangat jihad fi sabilillah. Untuk mencapai semangat jihad fi sabilillah tentulah memerlukan kesabaran dan perpaduan di kalangan pasukan tentera tersebut. Oleh yang demikian dapat kita katakan bahawa perkataan rābitudalam ayat di atas jelas membawa kepada maknanya yang zahir.

b) Memperkuat dan memperkemas persediaan ketenteraan untuk menghadapi peperangan. Fakta ini dikutip dari keterangan yang diberikan oleh al-‘Ajili dalam tafsirnya al-Futuhāt al-Ilāhiyyah yang antara lain beliau menjelaskan ketika mentafsirkan perkataan rābitu tersebut dengan katanya:

أصل المرابطة أن يربط هؤلأ خيولهم وهؤلأ خيولهم بحيث يكون كل من الخصمين مستعدا لقتال الآخر ثم قيل لكل مقيم ثغر يدفع عمن ورأه مرابط وإن لم يكن له مركوب مربوط.

Maksudnya:

Asal perkataan al-murābitah itu ialah bahawa mereka mengikat akan kuda masing-masing, sekira-kira kedua-dua pihak bersedia untuk memerangi antara satu dengan yang lain. Kemudian dikatakan kepada setiap orang mestilah berada dalam kubu masing-masing untuk mempertahankan mereka yang berada di belakang mereka supaya berada dalam keadaan tetap. Sekalipun mereka tidak mempunyai tunggangan untuk mempertahankan.

Keterangan ini menunjukkan bahawa perkataan rābitu dalam ayat tersebut juga membawa maksud perpaduan dari sudutnya yang zahir, kerana mustahil satu ketumbukan ketenteraan yang kuat dapat diwujudkan jika faktor perpaduan diabaikan. Dalam ayat yang lain Allah S.W.T. menjelaskan kedudukan ini dengan firmanNya:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنيَانٌ مَرْصُوصٌ .

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah S.W.T. mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamanya, dalam barisan yang tersusun rapi, seolah-olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Mengutip dari keterangan al-Ālusi yang terdapat dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘āni antara lain beliau menjelaskan berhubung dengan kalimah marsus dengan katanya:

والظاهر أن المراد تشبيههم فى التخام بعضهم ببعض بالبنيان المرصوص من حيث إنهم لا فرجة بينهم ولا خلل.

Maksudnya:

Yang jelas dari penggunaan perumpamaan kepada mereka tentang bersatu antara satu dengan yang lain dengan istilah "marsus" ialah sekira-kira perpaduan mereka itu tidak ada ruang dan pemisah yang memisahkan barisan dan perpaduan mereka.

Sehubungan dengan ini Nabi Muhammad s.a.w. ada menjelaskan dengan sabdanya:

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضهم بعضا

Maksudnya:

Seorang mukmin bagi seorang mukmin yang lain seperti satu bahan binaan yang menguatkan antara satu dengan yang lain.

Secara umumnya ayat al-Qur’an dan hadis di atas memberikan satu gambaran bahawa perpaduan antara setiap individu muslim itu satu kewajipan semasa dalam peperangan atau sebaliknya. Setiap individu muslim itu sebenarnya berperanan menyumbang kepada kekuatan dan perpaduan dalam sesebuah masyarakat. Dalam konteks ini dapat kita lihat penggunaan istilah rābitu lebih merujuk kepada makna yang bersifat zahir.

c) Perkataan al-rābit digunakan juga untuk makna sentiasa menanti atau menunggu kedatangan waktu solat. Sebagai contoh, selepas menunaikan solat maghrib, terus duduk berwirid dan berzikir untuk menanti waktu solat yang berikutnya. Fakta ini dapat diperjelaskan lagi dengan melihat sebuah hadis Rasulullah s. a. w. yang antara lain menyebutkan:

ألا أدلكم على ما يمحو الله به الخطايا ويرفع به الدرجات قالوا بلى يا رسول الله قال أسبغ الوضوء على المكاره وكثرة الخطأ إلى المساجد وانتظار الصلاة بعد الصلاة فذلكم الرباط فذلكم الرباط فذلكم الرباط

Maksudnya:

Telah bersabda Rasulullah (s.a.w.): Adakah tidak mahu aku tunjukkan kepada kamu tentang sesuatu yang boleh menghapuskan kesalahan-kesalahan di samping mengangkat darjat kamu. Mereka menjawab: Bahkan wahai Rasulullah! Baginda (s.a.w.) menjawab dengan sabdanya: Sempurnakanlah wuduk walau dalam keadaan yang susah (yakni di waktu sakit dan sejuk) dan perbanyakkanlah langkah untuk menuju ke masjid dan menanti-nanti waktu solat selepas waktu solat. Demikian itulah al-ribāt, demikian itulah al-ribāt, demikian itulah al-ribāt.

Perkataan al-ribāt dalam hadis di atas jelas menunjukkan kepada makna yang zahir, iaitu menyempurnakan wuduk, memperbanyakkan langkah ke masjid di samping menanti-nanti dari satu waktu solat ke waktu solat yang berikutnya. Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa al-rābitah itu boleh terjadi dalam bentuknya yang zahir. Seperti al-rābitah ketika menghadapi peperangan, sedang al-rābitah zahir seumpama ini melambangkan kepada satu bentuk perpaduan dan persatuan yang juga bersifat zahir. Begitu juga dengan al-rābitah di antara waktu solat ke satu solat yang lain, juga melambangkan hubungan yang zahir antara dua waktu solat tersebut. Seterusnya mari kita lihat pentafsiran al-rābitah dari sudut batin atau rohani yang menepati dengan asas-asas perpaduan yang juga bersifat rohaniah.

d) Sepertimana perkataan al-ribāt yang terkandung dalam hadis di atas, ditafsirkan dengan makna lazamtu, yang membawa maksud melazimkan diri dengan sesuatu pekerjaan yang diperintahkan oleh hukum syarak, maka dari sini akan lahirlah rohani yang berpadu dengan keimanan sehingga menghilangkan sifat al-ghaflah ketika berjalan menuju kepada Allah S.W.T. Oleh yang demikian al-Ālusi menjelaskan dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘āni tentang bagaimana perkataan wa rābitu tersebut berkait rapat dengan ruhani seseorang insan yang sālik. Antaranya beliau menerangkan:

(اصبروا) في مقام النفس بالمجاهدة (وصابروا) فى مقام القلب مع التجليات (ورابطوا) في مقام الروح ذواتكم حتى تعتريكم فترة أو غفلة واتقوا الله عن المخالفة والأعراض والجفأ

Maksudnya:

(Isbiru( pada maqām al-nafs ialah dengan bermujahadah.)Wa sābiru) pada maqām al-qalb ialah al-tajalliyāt, manakala (wa rābitu) pada maqām al-ruh pula ialah berābitah diri kamu (hati dan sirr kamu) sehingga kamu tidak ditimpa lemah (jiwa) dan kelalaian dan bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. (dengan menjaga diri) dari (sifat) menentang Allah S.W.T., membelakangkan Allah S.W.T. dan membenci Allah S.W.T.

Tentu sahaja pentafsiran kalimah wa rābitu oleh al-Ālusi tersebut adalah merujuk kepada aspek yang batin atau rohani. Begitu juga dengan pandangan Syeikh al-Fakhr al-Rāzi dalam kitab tafsirnya Mafātih al-Ghayb ketika memberikan penjelasan tentang kalimah wa rābitu dalam ayat tersebut di atas adalah meliputi kedua-dua aspek zahir dan batin. Oleh yang demikian kalimah wa rābitu tersebut adalah merujuk kepada makna yang batin iaitu membawa maksud rābitah hati seperti bersabar, tetap iman, gigih dan sebagainya lagi. Hal ini disebabkan berlaku di dalam hati, baik ketika berjihad atau mengerjakan ibadat seperti solat dan sebagainya lagi.

Dari keterangan yang telah diberikan oleh para mufassirin di atas tadi, dapatlah kita mengetahui bahawa maksud dari kalimah wa rābitu tersebut tidaklah hanya terbatas kepada makna yang zahir, malahan kalimah tersebut melewati batas maknanya di atas, malahan merangkumi aspek yang batin atau rohani. Manakala berābitah dalam hati yang bersifat batin itu tentu lebih dituntut dan dititikberatkan kerana ia lebih penting untuk dijadikan asas bagi yang zahir. Jika aspek batinnya kukuh maka sudah pasti aspek zahirnya juga akan kukuh dan kuat, tahan diuji seperti yang dapat kita lihat pada diri Bilāl ibn Rabāh.

2) Perpaduan Dalam Konteks Jamaah.

Al-Rābitah dari sudut rohaniah yang membawa maksud perpaduan dalam jamaah. Bagi mencapai satu bentuk perpaduan yang kuat dan kukuh dari sudut rohaniah sesebuah jamaah, maka hendaklah setiap anggota jamaah melakukan amalan al-rābitah bagi mencapai kejayaan di samping mendapat keredaan daripada Allah S.W.T. Untuk menjelaskan lagi kedudukan fakta ini cuba kita perhatikan amalan wirid yang telah diamalkan oleh Ikhwan al-Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al-Bannā yang terkenal dengan wirid al-rābitah. Antara tujuan yang boleh diperolehi ketika mengamalkan wirid tersebut ialah memperatkan hubungan dan perpaduan rohaniah antara para ahli jamaah sekaliannya. Sama ada yang dekat ataupun yang jauh, yang dikenali ataupun yang tidak dikenali, semuanya dapat dihubungeratkan melalui kaedah wirid rābitah ini. Cuba kita perhatikan dengan membuat penelitian atas kalimah dan maksud yang terkandung dalam wirid tersebut:

ورد الرابطة:
ثمم يتلو الدعأ المأثور بعد ذلك:
اللهم إن هذا إقبال ليلك وإدبار نهارك واصوات دعائك فاغفرلي . ثم يستحضر صورة من يعرف من إخوانه فى ذهنه ويستشعر الصلة الروحية بينه وبين من لم يعرفه منهم . ثم يدعولهم : اللهم إنك تعلم أن هذه القلوب قد اجتمعت على محبتك والتقت على طاعتك وتوحدت على دعوتك وتعاهدت على نصرة شريعتك فوثق اللهم رابطتها وادم ودها.

Maksudnya:

Kemudian selepas (membaca ayat-ayat al-Qur’an itu) hendaklak ia membaca doa yang ma'thur ini: Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya datangnya waktu malam dan perginya waktu siang adalah (bersama) suara-suara berdoa kepada Engkau, maka ampunilah (dosa-dosaku). Kemudian hendaklah ia menghadirkan (membayangkan) rupa orang-orang yang dikenali daripada kalangan rakan-rakan (seperjuangan) dalam ingatannya dan juga merasa-rasakan (adanya) hubungan rohaniah antaranya dengan orang-orang yang ia tidak kenali di kalangan mereka itu. Kemudian ia mendoakan mereka: Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencintai Engkau, telah bertemu untuk mentaati Engkau, telah bersatu untuk meminta kepada Engkau, telah berjanji setia untuk membantu menegakkan syariatmu, maka teguhkanlah ya Allah ikatannya (rābitah dalam pengertian perpaduan) dan kasib sayang.

Jika kita perhatikan kalimah, isi kandungan dan uslub wirid al-rābitah tersebut, nescaya kita akan menemui gesaan oleh al-Syahid Hasan al-Bannā agar orang yang berdoa mengamalkan al-rābitah. Dari amalan tersebut, dapat kita fahami bahawa al-rābitah membawa maksud al-rābitah al-ruhāniyyah, seterusnya akan membawa kepada perpaduan dalam bentuknya yang zahir.

3) Perpaduan Dalam Sembahyang.

AI-Rābitah yang membawa maksud perpaduan secara rohaniah dalam solat. Ketika mendirikan solat, al-rābitah memainkan peranan yang sangat penting. Ketika ini al-rābitah terjadi antara imam dan makmum. Dalam konteks ini solat seorang makmum itu boleh terbatal jika ia membiarkan solatnya tanpa al-rābitah antara dirinya dengan imam. Kenyataan ini telah dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam kitabnya, Tanwir al-Qulub. Beliau menghuraikan fakta ini apabila membicarakan syarat-syarat iqtidā` dalam solat berjamaah. Beliau menjelaskan:

(الاول) نية الاقتدأ أو نحوها فإن ترك هذه النية أو شك فيها وتابعه في فعل أو السلام بعد انتظار كثير عرفا للمتابعة بطلت صلاته لأنه وقفها على صلاة غيره بلا رابطة بينهما .

Maksudnya:

(Pertama). Niat al-iqtidā` atau seumpamanya, jika ia meninggalkan niat tersebut atau ragu padanya dalam masa yang panjang menurut adat untuk dia (makmum) mengikut (iqtidā’) sedang ia masih mengikut imam dalam perbuatan solatnya atau salam, maka batallah solatnya. Kerana dia telah meletakkan kedudukan niatnya kepada solat orang lain, dengan tidak ada rābitah antara keduanya (imam dan makmum).

AI-Rābitah dalam konteks ini dapat dilihat apabila seorang makmum yang mendirikan solat dengan imam, dapat memenuhi segala syarat iqtidā` imam secara penuh. Apabila makmum gagal berbuat demikian maka tidak sah solatnya itu. Ini kerana iqtidā` makmum atas imamnya adalah wajib selama mana dia (imam) tidak melakukan sesuatu yang membatalkan solatnya. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan dengan sebuah hadisnya yang telah diriwayatkan oleh Aisyah r.a.

عن عائشة أم المؤمنين إنها قالت : صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فى بيته وهو شاك : فصلى جالسا, وصلى وراءه قوم قياما , فأشار إليهم : أن اجلسوا. فلما انصرف قال: ( إنما جعل الإمام ليؤتم به , فإذا ركع فاركعوا , وإذا رفع فارفعوا, وإذا صلى جالسا فصلوا جلوسا .

Maksudnya:

Daripada Aisyah r.a. sesungguhnya ia berkata: Telah solat Rasulullah s.a.w. di rumahnya dalam keadaan duduk, sedang ia sakit pada ketika itu. Para sahabat bersolat di belakang Baginda s.a.w. dalam keadaan berdiri. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan kepada mereka agar semuanya duduk. Setelah selesai mendirikan solat Baginda s.a.w. bersabda: Sesungguhnya imam itu didirikan adalah untuk diikuti, bukan untuk diingkari. Apabila ia (imam) rukuk maka hendaklah kamu semua rukuk, apabila imam itu bangun, maka hendak kamu semua bangun dan apabila dia (imam) solat secara duduk maka hendaklah kamu semua solat secara duduk .

Dari keterangan hadis di atas memberikan gambaran kepada kita bahawa seandainya makmum tidak bersedia untuk melakukan al-rābitah dengan imamya, ini bermakna makmum telah menyalahi imamnya dari sudut perbuatan yang dilakukan oleh imam dalam solatnya. Sebagai contoh, imam masih berdiri, sedang makmum sudah sujud atau sudah membaca tashahhud dan sebagainya lagi. Dalam keadaan ini jelas solat seorang yang bergelar makmum itu menjadi tidak sah dan tidak seorang dari kalangan ulamak mazhab manapun yang berani menghukum sah solat makmum yang tersebut tadi.

Dari sini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa al-rābitah dalam solat itu merupakan salah satu gagasan perpaduan rohaniah yang tergambar dalam bentuk kesatuan untuk mengadap Allah S.W.T. Al-Rābitah di sini merupakan lambang perpaduan umat manusia yang ditunjukkan di hadapan Allah S.W.T. ketika mendirikan solat. Bukankah Allah S.W.T. telah menceritakan kepada kita bahawa umat manusia itu sebenarnya adalah satu dalam erti keyakinan dan keimanannya kepada Allah S.W.T. Kenyataan ini dapat kita lihat firman Allah S.W.T. yang antara lain menyebutkan:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمْ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمْ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ .

Maksudnya:

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama A1lah S.W.T. yang satu, tetapi setelah mereka berselisih). Maka Allah S.W.T. mengutuskan Nabi-nabi sebagai memberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka), dan Allah S.W.T. menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan.

Menurut keterangan ayat di atas, menunjukkan kepada kita bahawa umat manusia itu sepatutnya menjadi umat yang satu dalam semua keadaan, zahir mahupun yang batin, satu tujuan dan cita-cita dalam melaksanakan hukum, satu matlamat dan tujuan dalam bidang ekonomi demi mencapai keredaan daripada Allah S.W.T., satu tujuan dalam bertindak menyelesaikan masalah kehidupan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam, bersatu dan bersatu seterusnya dalam semua situasi dan kondisi. Bersatu dalam erti bertindak tunduk serta patuh kepada segala ketetapan dan peraturan daripada Allah S.W.T. dalam menjalankan segala urusan kehidupan.

Tetapi realiti yang berlaku pada hari ini tidak seperti yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. dalam konteks ummatan wāhidah. Tidak terdapat sebarang bentuk perpaduan dan kesatuan dalam cita-cita untuk menegakkan hukum dan peraturan Allah S.W.T. seperti yang diperintahkan itu. Pelanggaran demi pelanggaran terhadap hukum dan peraturan Allah S.W.T. dilakukan dengan penuh kesombongan dan keangkuhan. Tidak lahir di hati manusia perasaan bersalah dan keinsafan tentang betapa besar akibat perbuatan tersebut terhadap jiwa dan perjalanan mereka menuju Allah S.W.T. Begitulah keadaan umat manusia hari ini yang digambarkan oleh Allah S.W.T. pada satu ketika dahulu sebagai ummatan wāhidah tetapi sudah tidak menggambarkan hal yang sebenar lagi. Justeru apa yang tinggal kepada kita umat manusia yang diberikan oleh Allah S.W.T. gelaran sebagai ummatan wāhidah tersebut? Kerana semuanya sudah tidak melambangkan ummatan wāhidah dari segi kepatuhan, ketaatan dan ketundukan terhadap Allah S.W.T. seperti yang dikehendaki dalam ayat di atas. Hanya yang tinggal konsep ummatan wāhidah itu barangkali terdapat dalam solat sahaja.

Untuk melihat dengan lebih jelas bagaimana konsep ummatan wāhidah itu dapat dicapai melalui al-rābitah ketika melaksanakan kepatuhan, ketaatan dan ketundukan terhadapNya, dapat dilihat melalui ungkapan seorang hamba ketika mendirikan solat dengan mengungkapkan:اياك نعبد واياك نستعين .

Persoalannya di sini ialah, kenapa Allah S.W.T. menggunakan huruf nun pada kalimah na‘bud dan kalimah nasta‘in? Sedang huruf nun di sini tentu sahaja membawa maksud al-jam'. Dalam waktu yang sama Allah S.W.T. meletakkan taraf manusia itu di maqām al-tadhallul dan inkisār, tidak di maqām ta‘zim dan istikbār. Sedang yang mengucapkan kalimah tersebut ketika mendirikan solat hanya seorang, tentu lebih baik dan tepat jika dia mengungkapkan.إياك أعبد وإيك أستعين kerana ucapan dan ungkapan seumpama ini tidak melibatkan orang lain dalam solat tersebut. Untuk memberikan penjelasan terhadap fakta ini mari kita lihat dan telitikan pandangan mufassir terhadap ayat tersebut.

Menurut keterangan daripada al-Fakhr al-Rāzi dalam tafsirya Mafātih al-Ghayb antara lain menghuraikan dengan panjang lebar berhubung dengan ayat إياك نعبد dalam surah al-Fatihah tersebut. Antaranya beliau menjelaskan dengan katanya:

وتاسعها : لو قال إياك أعبد لكان ذلك تكبرا ومعناه إني انا العابد . لما قال إياك نعبد كان معناه إني واحد من عبيدك , فالأول تكبر , والثاني تواضع

Maksudnya:

Kesembilan: Jika sekiranya ia berkata iyyāka a‘bud, maka yang demikian itu adalah takabbur. Kerana perkataan tersebut membawa maksud: Sesunggahnya aku seorang sahaja yang ‘ābid. Sebaliknya jika ia berkata iyyāka na'bud. Perkataan ini akan membawa maksud: Sesungguhnya aku adalah salah seorang daripada hamba-hambaMu yang menyembahMu. Yang pertama membawa maksud al-takabbur, sedang yang kedua pula membawa maksud al-tawādu‘

Dari keterangan yang diberikan oleh al-Fakr al-Rāzi itu tadi, menjelaskan kepada kita bahawa umat manusia sebenarnya diciptakan oleh Allah S.W.T. dengan sifatnya saling perlu memerlukan antara satu dengan yang lain. Antara manusia dengan Tuhannya, antara manusia dengan manusia dan antara manusia dengan makhluk seluruhnya. Semua ini melambangkan satu bentuk perpaduan dan persatuan dari sudut zahir mahupun yang batin. Dengan adanya bentuk perpaduan dan persatuan antara makhluk seluruhnya tentu akan melahirkan satu bentuk kehidupan yang aman dan sejahtera. Seperti yang digambarkan oleh Allah S.W.T. dengan firmanNya:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Maksudnya:

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah S.W.T.) yang terdapat pada tempat tinggal mereka, iaitu: dua kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.

Di sinilah rahsia kejayaan umat manusia dahulu dan sekarang dalam mencapai kejayaan. Bukan yang dimaksudkan dengan kejayaan tersebut hanya terbatas dengan kejayaan yang bersifat fizikal semata-mata. Malahan kejayaan yang dimaksudkan di sini adalah kejayaan yang membawa ke arah keredaan daripada Allah S.W.T., sama ada kejayaan yang bersifat lahiriyyah mahupun kejayaan yang bersifat rohaniah. Pada saat itu barulah Allah S.W.T. akan mengiktiraf umat manusia seperti yang telah diceritakan kepada kita dalam ayat di atas tadi.

Untuk melihat perpaduan tersebut, al-Imam al-Fakhr al-Rāzi seterusnya menghuraikan kalimah اياك نعبد tersebut dengan katanya:

إن المؤمن إخوة فلو قال إياك أعبد لكان قد ذكر عبادة نفسه ولم يذكر عبادة غيره أما لما قال إياك نعبد كان قد ذكر عبادة نفسه وعبادة جميع المؤمنين شرقا وغربا فكانه سعى في إصلاح مهمات سائر المؤمنين وإذا فعل ذلك قضى الله مهماته لقوله صلى الله عليه وسلم : من قضى لمسلم حا جة قضى الله له جميع حا جته .

Maksudnya:

Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, jika sekiranya ia berkata iyyaka a'bud, maka ia hanya menyebut ibadah untuk dirinya dan tidak menyebut ibadah saudara (seiman) yang lain. Adapun apabila ia mengatakan iyyaka na'bud maka sesungguhnya ia telah menyebutkan ibadah untuk dirinya dan ibadah saudara (seaqidah) yang lain, di timur mahupun di barat. Seolah-olah dia telah berusaha untuk memperbaiki segala keperluan seluruh orang yang beriman. Dan apabila dia telah melakukan demikian, maka Allah S.W.T. akan menunaikan segala keperluannya. Hal ini berdasarkan kepada hadis Baginda (s.a.w.): Sesiapa yang menunaikan keperluan saudaranya dengan suatu hajat, maka Allah S.W.T. akan menunaikan kepadanya seluruh hajatnya

Dari keterangan yang telah diberikan oleh Imam al-Fakhr al-Rāzi di atas tadi, dapat kita menyimpulkan di sini bahawa ayat al-Qur’anإياك نعبد وإياك نستعين itu sebenarnya membawa pengertian al-rābitah. Berdasarkan kepada ayat ini juga, dapat kita fahami bahawa umat manusia yang disebutkan oleh Allah S.W.T. sebagai ummatan wāhidah itu sebenarnya bersatu dalam semua aspek, lahiriyyah mahupun bāiiniyyah. Keadaan bersatu dan bersama itu berlaku ketika melaksanakan urusan dunyawiyyah mahupun ukhrawiyyah. Kita bersatu dan bersama apabila kita mendirikan solat, dalam keadaan begini kita bersatu dan bersama dari sudut fizikal mahupun dari sudut spiritual .

Bersama dari sudut fizikal dengan mendirikan solat berjamaah, sedang bersatu dari sudut rohaniah pula ialah melalui amalan al-rābitah seperti arahan yang terkandung dalam ayat di atas tadi. Dalam keadaan demikian barulah kita dianggap sebagai bersatu dan bersama dalam erti kata yang sebenar, berpadu dari sudut zahir dan batin. Malahan perpaduan ini tidak hanya terbatas kepada sesama manusia, tetapi lebih dari itu, perpaduan ini melewati batas antara manusia dengan manusia seperti yang dijelaskan oleh al-Rāzi dengan katanya:
: الوجه الثاني
إن الرجل إذا كان يصلى بالجماعة فيقول نعبد , والمراد ذلك الجمع , وإن كان يصلى وحده كان المراد إني أعبد والملائكة معي في العبادة. فكان المراد يقول نعبد هو وجميع الملائكة الذين يعبدون الله .
Maksudnya:

Pandangan kedua: Sesungguhnya seorang lelaki apabila ia bersolat (bersembahyang) dengan berjamaah maka ia akan berkata: Na‘bud, yang dimaksudkan dengan demikian itu ialah al-jam‘, (kata jamak) dan jika sekiranya ia bersembahyang dengan bersendirian, maka maksud dari ucapan na'bud itu ialah: Sesungguhnya aku dan malaikat bersama menyembahMu wahai Allah S.W.T. ketika melakukan ibadah.

Dari berbagai fakta yang telah dihuraikan di atas, dapat kita lihat dengan jelas bagaimana hubungan tersebut boleh terjalin dengan berkonsepkan al-rābitah. Keadaan tersebut boleh berlaku dan terjadi dalam kehidupan manusia. Sehingga Allah S.W.T. menjadikan solat para ‘ābid yang berlandaskan kepada amalan al-rābitah itu sebagai wasilah yang menampung segala kekurangan dan kecacatan yang terjadi dalam solat berjamaah tersebut. Kebersamaan dalam erti rohaniah itu terkandung dalam ungkapan إياك نعبد وإياك نستعين tersebut. Kenyataan ini tentu sahaja membawa maksud; segala yang berlaku di kalangan orang-orang yang beriman itu, khususnya dalam solat akan dihadapi secara bersama.

Jika terdapat sebarang kekurangan dan keaiban dalam solat salah seorang daripada mereka, maka ia akan ditampung dengan kelebihan dari solat para Anbiyā’, malaikat, para sālihin dan seluruh ‘ābid al-mu'min. Selepas itu solat akan dipersembahkan kepada Allah S.W.T. secara bersama-sama, dengan harapan akan diterima oleh Allah S.W.T. Semua hal tersebut dapat digambarkan dari ungkapan إياك نعبد وإياك نستعين ketika mendirikan solat. Dari sini jelas kepada kita bahawa orang yang beriman itu sebenarnya tidak bersendirian dari sudut ruhiyyah apabila ia berhadapan dengan Allah S.W.T., malah para Anbiyā`, para Rasul dan para sālihin semuanya bersama-sama dalam pengertian al-rābitah itu tadi.

4.2.2 AI-Rābitah sebagai sumber pengawasan diri.


4.2.2 AI-Rābitah sebagai sumber pengawasan diri.

Untuk menjelaskan kedudukan al-rābitah dalam konteks di atas, ada baiknya jika kita merujuk kepada firman Allah S.W.T. yang ada kaitannya dengan perbincangan ini. Allah S.W.T. menjelaskan dengan firman Nya:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ .

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan carilah wasilah (jalan yang boleh menyampaikannya) dan berjuanglah pada jalan Allah S.W.T. (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. "

Ayat di atas mengandungi tiga arahan dan perintah daripada Allah S.W.T. kepada seluruh umat Islam, antaranya:

1- Arahan supaya bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Dari sudut istilah syarak, al-taqwā membawa pengertian:

حفظ النفس عما يشينها ويعرضها للملام أو العذاب .

Maksudnya:

"Memelihara jiwa dari sesuatu yang boleh membawa keaiban yang menyebabkan penderitaan dan balasan. "

Menurut keterangan daripada al-Sharbasi antara cara untuk mencapai ke maqām al-taqwā itu ialah:

وذلك بترك أسباب السخط والعقوبة , وفعل الفرائض المنجية المؤدية إلى النعيم والثواب, وانما يكمل ذلك ويتم بترك بعض المباحات .

Maksudnya:

Untuk mencapai ke maqām tersebut ialah dengan cara meninggalkan segala punca yang menyebabkan kemurkaan dan pembalasan, di samping melaksanakan segala kewajipan yang akan membawa kepada kejayaan, kenikmatan dan pahala. Untuk lebih sempurna lagi ketakwaannya ialah dengan cara meninggalkan sesuatu yang diharuskan.

Untuk memperjelaskan lagi konsep untuk meninggalkan sesuatu yang diharuskan oleh hukum syarak sehingga boleh mempertingkatkan lagi kedudukan al-taqwā, maka kita lihat sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang berkaitan dengan perbincangan ini. Daripada Abi ‘Abdillah al-Nu‘mān ibn Bashir r.a. telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

الحلال بين والحرام بين وبينهما أمور متشابهات لا يعلمهن كثير من الناس , فمن التقى الشبهات فقد استبراء لدينه وعرضه ومن واقع الشبهات وقع فى الحرام , كالراعى يرعى حول الحمى يوشك أن يقع فيه , ألا وإن لكل ملك حمى , ألا وإن حمى الله محارمه , ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله , واذا فسدت فسد الجسد كله , ألا وهى القلب .

Maksudnya:

Sesunggahnya sesuatu yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas dan di antara keduanya ada perkara yang samar-samar yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa yang menjaga dirinya dari barang-barang (perkara) yang samar itu maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya, dan barang siapa yang jatuh dalam melakukan perkara yang samar-samar itu, maka ia telah jatuh dalam perkara yang haram seperti pengembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat-laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa setiap raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan Allah S.W.T. adalah apa-apa yang diharamkannya. Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada sekerat daging, jika ia baik, baik jasad seluruhnya, dan jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ingatlah, daging itu adalah hati.

Dari keterangan hadis di atas, menunjukkan kepada kita bahawa kesempurnaan al-taqwā itu ialah yang terkandung dalam makna kalimat ittaqi al-shubuhāt yang membawa maksud menjaga, memelihara, dan mengawasi dari segala sesuatu yang bercirikan shubhāt, walaupun pada dasarnya shubhāt itu masih tergolong dalam kategori yang mubāhāt. Kerana kemungkinan untuk terjerumus ke lembah yang diharamkan oleh Allah S.W.T. dengan melalui shubhāt itu adalah besar. Dari sini dapat kita membuat kesimpulan bahawa makna yang terkandung dalam kalimah al-taqwā itu membawa kepada tiga makna iaitu:

a) Membawa makna aI-quwwah.

laitu kekuatan yang bersifat benda (māddi) dan yang bersifat ma‘nawiyyah. Ini dapat kita lihat dari firman Allah S.W.T.

يَايَحْيَى خُذْ الْكِتَابَ بِقُوَّةٍ وَآتَيْنَاهُ الْحُكْمَ صَبِيًّا .

Maksudnya:

"Wahai Yahya, terimalah kitab itu (serta amalkan) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak. "

b) Membawa makna al-wiqāyah.
Iaitu pemeliharaan bagi tujuan keamanan dan kesejahteraan. Ini dapat kita lihat dari maksud firman Allah S.W.T:

فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَانَا عَذَابَ السَّمُومِ .

Maksudnya:

Maka Allah S.W.T. mengurniakan kami (rahmat dan tawfiqNya), serta memelihara kami dari azab api neraka.

c) Membawa makna al-ittiqā`.

Yang membawa maksud al-tabā'ud dan al-ijtināb.

Dari keterangan di atas, dapat kita mengambil kesimpulan bahawa kalimah al-taqwā itu membawa kepada pengertian memelihara, menjaga, menjauhkan dan menghindarkan. Keseluruhan makna al-taqwā ini merujuk kepada maksud kesejahteraan dan ketenangan bagi sesiapa yang memilikinya. Di sinilah fokus perbincangan yang cuba kita kaitkan dengan al-rābitah, kerana makna-makna tersebut akan cuba diperjelaskan lagi dengan membincangkan makna al-wasilah dalam ayat yang seterusnya di bawah ini.

2- Arahan supaya mencari wasilah

Perintah kedua yang terkandung dalam Surah al-Ma`idah, ayat yang ke 35 di atas adalah arahan supaya mencari jalan wasilah bagi menuju kepada Allah S.W.T. Persepsi ini dilihat dari sudut pengertian ilmu dan amalan tasawwuf dikenali juga dengan istilah al-sā’ir atau al-sālik.

Perintah untuk mencari jalan atau wasilah tersebut begitu jelas dalam ayat di atas tadi, persoalannya yang timbul di sini apakah bentuk jalan atau wasilah yang dituntut dalam ayat tersebut? Apakah jalan atau wasilah itu hanya terbatas kepada makna amal-amal soleh sahaja seperti yang telah didakwa! atau ia membawa kepada makna yang lebih luas dari itu. Untuk tujuan ini ada baiknya jika kita bincangkan tentang wasilah dan beberapa perkara yang ada kaitan dengannya.

Dalam ayat di atas, perintah untuk mencari jalan atau wasilah itu berbunyi وابتغوا إليه الوسيلة. Jika sekiranya yang dimaksudkan dengan wasilah dalam ayat tersebut hanya terbatas dalam pengertian iman dan amal soleh sahaja, maka apakah perlunya ungkapan وابتغوا إليه الوسيلة Dan carilah jalan atau wasilah untuk menuju kepadaNya.

Dalam ayat tersebut, jelas adanya kata kerja amr yang menunjukkan kepada suatu perintah untuk mencari wasilah. Jika sekiranya yang dimaksudkan dengan wasilah dalam ayat tersebut hanya terbatas dengan iman dan amal soleh, rasanya sudah cukup untuk menyatakannya dengan ungkapan yang terkandung dalam kalimat yang pertama يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah." Kerana arahan bertakwa dalam ayat di atas sudah merangkumi makna iman dan amal soleh, kerana istilah al-taqwā dalam ayat di atas membawa maksud melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.dan menjauhi segala yang dilarang.

Jika demikian, tentu sahaja kalimah yang kedua berbunyi وابتغوا إليه الوسيلة itu tidak lagi memberikan apa-apa maksud, kerana apa yang diperintahkan itu sudah terkandung dalam perintah اتقوا الله tersebut. Oleh yang demikian perlu dijelaskan di sini bahawa huruf و yang terdapat pada kalimah وابتغوا itu jelas bukan واو التأكيد (waw penguat) malahan ia adalahواو المغيرة iaitu waw yang menunjukkan kepada perubahan atau penggantian. Perubahan dari satu isu kepada isu yang lain. Hal ini cukup jelas kerana huruf waw di sini terletak di antara dua kata kerja suruh (fi‘1 al-amr)واتقوا الله danوابتغوا . Kedua-dua kata kerja suruh ini membawa makna yang berlainan.

Sebahagian berpendapat bahawa kalimah al-wasilah dalam ayat di atas hanya menunjukkan kepada satu jenis wasilah sahaja, pendapat ini berasaskan kepada perkataan wasilah dalam ayat tersebut adalah dalam bentuk mufrad (yang menunjukkan kepada satu jenis).

Fahaman seumpama ini jelas keliru dengan kaedah bahasa Arab, walaupun kalimah wasilah dalam ayat di atas tadi jelas menunjukkan kepada makna mufrad, namun apa yang perlu kita perhatikan di sini ialah kedudukan huruf alif dan lam yang mendahului kalimah wasilah tersebut, jelas kedua-dua huruf tersebut (alif dan lam) merupakan lām al-ta'rif. Lām seperti ini akan membawa kepada maksud yang umum dan bukan hanya semata-mata kepada satu bentuk wasilah sahaja.

Jika tidak terdapat huruf alif dan lam dalam kata wasilah tersebut, memanglah ia menunjukkan kepada satu jenis, asalkan saja kata tersebut tidak menunjukkan kepada kata jamak.

Untuk memperjelaskan lagi kedudukan al-wasilah (samada ia terbatas hanya kepada amal-amal soleh atau lebih luas dari itu), kita kemukakan satu peristiwa sejarah yang berlaku ke atas Nabi Adam a.s. yang telah dirakamkan oleh Allah S.W.T. dalam al-Qur’an dengan firmanNya:

فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ .

Maksudnya:

"Kemudian Nabi Adam menerima daripada Tuhannya beberapa kalimat (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya) lalu Allah S.W.T. menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah S.W.T. Dialah yang Maha Pengampun lagi (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. "

Sebabagian daripada mufassir dan muhaddith ketika memberikan keterangan dan tafsiran ke atas kata kalimāt yang terdapat dalam ayat di atas adalah bersandarkan kepada riwayat berikut dengan memerhatikan matannya.

Dengan demikian tentu akan lebih memperjelaskan lagi maksud dan tujuan kata kalimāt itu kepada kita. Antara mereka ialah al-Tabrāni dalam al-Mu‘jam al-Saghir, al-Hākim al-Naysaburi dalam al-Mustadrak, Abu Nu‘aym dan al-Bayhaqi pula memuatkannya dalam Dalā`il al-Nubuwwah, ‘Isā ‘Asākir al-Shāmi dalam Tārikh, manakala al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur dan al-Ālusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘āni dengan sanad daripada Sayyidina ‘Umar ibn al-Khattāb, menukilkan bahawa Nabi Muhammad s. a. w. bersabda yang antara lain:

لما أذنب آدم الذى أذنبه, رفع رأسه إلى السمآ فقال : أسالك بحق محمد الا غفرت لى . فأوحى الله إليه: ومن محمد؟ فقال : تبارك اسمك , لما خلقت رفعت رأسى إلى عرشك فإذا فيه مكتوب: لا إله إلا الله ومحمد رسول الله. فقلت: إنه ليس احد أعظم عندك قدرا ممن جعلت اسمه مع اسمك, فأوحى إليه: إنه آخر النبيين من ذريتك, ولو لا هو لما خلقتك

Maksudnya:

"Ketika mana Adam melakukan kesalahan dosa, ia mengadahkan kepalanya ke langit seraya berkata: (Wahai Tuhan), aku memohon kepadamu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuni aku. Lalu Allah S.W.T. mewahyukan kepadanya: Siapakah Muhammad? Adam menjawab: Ketika Engkau menciptakanku, aku mengangkat kepala ke arah ’arasyMu, dan aku melihat, di sana tertulis: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah S.W.T. dan Muhammad adalah utusan Allah S.W.T. Aku pun berkata pada diriku, bahawa tidak ada seseorang pun yang lebih agung dari orang yang namanya Engkau tuliskan di samping NamaMu. Ketika itu Allah S.W.T. mewahyukan kepadanya: Dialah Nabi yang terakhir dari keturunanmu, dan jika tidak kerana dia nescaya Aku tidak akan menciptakanmu. "

Dari keterangan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa wasilah itu sebenarnya membawa kepada pengertian yang lebih luas dan tidak hanya terbatas kepada makna iman dan amal soleh seperti yang telah didakwa di atas tadi. Malahan lebih dari itu, wasilah juga merujuk kepada pengertian zat dan peribadi seperti yang terdapat dalam ayat yang mengandungi kata kalimāt itu tadi. Al-Sāwi tidak ketinggalan memberikan keterangan dalam tafsirnya tentang hal ini dengan katanya:

وابتغاء الوسيلة ما يقرب به إليه مطلقا ومن جملة ذلك محبة أنبيأ الله وأوليائه والصدقات وزيارة أحباب الله وكثرة الدعاء وصلة الرحم وكثرة الذكر وغير ذلك .

Maksudnya:

Mencari wasilah: ialah sesuatu yang boleh mendekatkan dengannya (wasilah) kepadaNya secara mutlak, termasuk dalamnya (wasilah) mengasihi para Nabi Allah, para awliyā`Nya, sedekah, ziarah ke kuburan kekasihnya, memperbanyakkan doa, menghubungkan silaturrahim dan memperbanyakkan zikir kepadanya dan sebagainya lagi.

Dalam konteks yang lain, wasilah juga nampaknya membawa maksud al-rābitah. Kenyataan ini dapat dilihat dengan jelas dari keterangan yang telah diberikan oleh al-Tabātabā’i dalam tafsirnya al-Mizān, beliau menjelaskan bahawa wasilah dalam ayat di atas menunjukkan kepada wasilat al-rābitah. Beliau menerangkan ketika mengulas ayat dalam surah al-Ma’idah ayat 35 dengan katanya:

واذ كانت نوعا من التوصل وليس الا توصلا واتصالا معنويا بما يوصل بين العبد وربه ويربط هذا بذاك , ولا رابط يربط العبد بربه الا ذلة العبودية , فالوسلية هي التحقق بحقيقة العبودية وتوجيه وجه المسكنة والفقر إلى جنابه تعالى , فهذه هى الوسيلة الرابطة .

Maksudnya:

Oleh yang demikian wasilah ialah sebahagian daripada al-tawassul dan tidak dinamakan sebagai tawassul kecuali adanya hubungan yang bersifat ma‘nawiyyah di antara seorang hamba dengan Tuhannya yang mengikat di antara keduanya. Dan tidak ada pengikat yang mengikat di antara seorang hamba dengan Tuhannya kecuali dengan sifat dhillat al-‘ubudiyyah. Oleh itu wasilah ialah untuk merealisasikan hakikat al-'ubudiyyah, al-miskin dan al-faqr di sisi Tuhannya. Semuanya ini ialah wasilat al-rābitah.

Antara ayat al-Qur’an yang merujuk kepada maksud wasilah dan mengandungi makna al-rābitah ialah seperti yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. yang menceritakan peristiwa Nabi Yusuf dan Zulaykha, Allah S.W.T. berfirman:

وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلاَ أَنْ رَأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ .

Maksudnya:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah, agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang ikhlas.

Ayat di atas membawa pengertian yang mengisyaratkan kepada makna wasilah. Kalimah “Burhāna Rabbihi” sebenarnya mengandungi makna wasilah yang akan membawa seorang ke arah al-taqwā dan terhindar dari perbuatan dosa dan maksiat. Untuk memberikan penjelasan yang lebih sempurna terhadap fakta ini kita kemukakan pandangan daripada mufassirin terhadap kalimah “Burhāna Rabbihi” tersebut. Sebahagian besar daripada mufassirin seperti al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jāmi‘ li Ahkām al-Qur’ān, Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, al-Zamakhshari dalam al-Kashshāf, al-Fakhr al-Rāzi dalam al-Tafsir al-Kabir dan Sa‘id Hawwā dalam al-Asās fi al-Tafsir, telah meriwayatkan hal tersebut. Di sini kita hanya menukil dari keterangan yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir melalui Ibn ‘Abbās dalam tafsirnya Tafsir Ibn Kathir bahawa yang dimaksudkan dengan “Burhāna Rabbihi” itu ialah rupa ayahandanya, Nabi Ya‘qub a.s. atau rupa raja yang menjadi tuan kepada Nabi Yusuf a.s. Tentang hal ini Ibn Kathir menegaskan dalam tafsir beliau dengan katanya:

وأما البرهان الذي رأه ففيه أقوال أيضا: عن ابن عباس وسعيد ومجاهد وسعيد بن جبير ومحمد بن سيرين والحسن وقتادة وأبى صالح والضحاك ومحمد بن اسحاق وغيرهم رأى صورة أبيه يعقوب غاضبا على أصبعه بفمه وقيل عنه في رواية فضرب في صدر يوسف وقال العوفى عن ابن عباس رأى خيال الملك يعنى سيده .

Maksudnya:

Dan adapun maksud Burhāna Rabbihi yang telah dilihat oleh Nabi Yusuf itu terdapat beberapa pendapat di kalangan ahli tafsir. Menurut ‘Abdullah ibn‘Abbās, Sa‘id, Mujāhid, Sa‘id ibn Jubayr, Muhammad ibn Sirin, Hasan, Qatādah, Ibn Salih, al-Dahhāk, Muhammad ibn Ishāq dan lain-lain, yakni Yusuf telah melihat bayangan ayahnya (Ya‘qub), yang seakan-akan marahkan Yusuf dengan menggigit jari-jari tangannya. Menurut sebahagian riwayat ayahnya memukul dada Yusuf. Sedang al-'Awfi pula berpendapat daripada Ibn ‘Abbās, maksud perkataan itu ialah Yusuf teringat kepada bayangan suami Zulaykha iaitu Raja Qitfir yang seolah-olah ada di rumah dan mengetahui apa yang akan diperbuat oleh Yusuf. Demikian juga dengan Muhammad ibn Ishāq yang berpendapat demikian.

Dari keterangan yang telah diberikan oleh Ibn Kathir terhadap ayat 24 dari surah Yusuf ini, mengukuhkan lagi tanggapan bahawa yang dimaksudkan dengan ungkapan Burhāna Rabbihi dalam firman Allah S.W.T. di atas tadi adalah merujuk kepada makna al-rābitah yang berlaku di antara Nabi Yusuf a.s. dengan ayahnya Nabi Ya‘qub a.s. Dalam situasi yang sedemikian Nabi Yusuf terbayang wajah dan seluruh tubuh ayahnya yang seakan-akan marah kepada dirinya ketika hendak menuruti kemahuan nafsu terkutuk Zulaykha itu. Atau dapat juga diertikan, bahawa pada waktu itu Yusuf terbayang suami Zulaykhā yang bernama Qitfir seolah-olah mengetahui apa yang dilakukannya. Akibatnya Nabi Yusuf segera keluar dari biliknya sehingga ia terhindar dari perbuatan yang keji itu.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas dapat kita mengetahui bahawa apa yang berlaku ke atas Nabi Yusuf membayangkan dan menggambarkan ayahnya atau suami Zulaykha yang sedang marah (menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dikenali sebagai al-rābitah) kerana perbuatan tersebut, hanyalah sebagai wasilah untuk memudahkan bagi Yusuf menghindarkan dirinya dan menghilangkan godaan hawa nafsu kesyaitanan yang menguasai dirinya pada ketika itu.

Dari peristiwa tersebut juga, jelas kepada kita bahawa ciri-ciri dan sifat peribadi seorang syeikh yang sebenar itu akan memberikan kesan dan pengaruh yang kuat terhadap diri al-sālik sehingga berupaya mentarbiyah rohaniah seorang murid. Keadaan ini boleh terjadi akibat dari pergaulan dan perhubungan yang rapat dan erat di antara seorang yang sālik dengan syeikhnya. Pengaruh dan kesan ini tetap akan berlaku sekalipun kedua-duanya berada berjauhan di antara satu sama lain. Kesan dari perhubungan tersebut tetap akan berlaku apabila seorang yang al-sālik itu mengingat dan mengkhayalkan syeikhnya dalam khayalan serta ingatannya. Apalagi jika khayalan tersebut mencapai ke tahap seolah-olah syeikhnya berada di hadapan murid itu sendiri seperti yang berlaku ke atas diri Nabi Yusuf tersebut. Dari sini dapat kita lihat dengan jelas bahawa al-rābitah itu mempunyai kedudukan sebagai sumber pengawasan diri yang sangat penting untuk menghindarkan diri dari terjerumus ke dalam maksiat yang dilarang oleh Allah S.W.T. Kaedah ini adalah sebahagian daripada jalan untuk mencapai ke maqām al-taqwā seperti yang dituntut oleh ayat dalam surah al-Ma`idah ayat ke 35 tersebut.

Seterusnya mari kita perhatikan hubungan yang dapat dikaitkan di antara perintah bertakwa dengan perintah mencari wasilah dalam ayat di atas tadi. Seperti yang telah diterangkan di atas, kalimah al-taqwā itu membawa maksud al-wiqāyah, al-hasanah, al-amn, al-tabā‘ud dan al-ijtināb, oleh itu apa yang cuba kita telitikan di sini ialah kalimah wasilah yang membawa kepada beberapa makna dan maksud itu sebenarnya adalah merupakan salah satu cara untuk mencapai ke maqām al-taqwā. Di sinilah hubungan yang paling ketara antara kalimah al-taqwā dan perintah untuk mencari wasilah itu. Al-Sāwi menegaskan dalam tafsirnya dengan ungkapan berikut:

فالتقوى هنا ترك المخالفات وابتغاء الوسيلة فعل المأمورات ويصح أن المراد بالتقوى امتثالا المأمورات الواجبة وترك المنهيات المحرمة وابتغأ الوسيلة ما يقرب به إليه مطلقا.

Maksudnya:

Takwa di sini membawa maksud meninggalkan sesuatu yang menyalahi perintah Allah S.W.T.,sedang maksud menuntut wasilah pula adalah suatu perbuatan yang dituntut oleh syarak, justeru kerana itu boleh dikatakan yang dimaksudkan dengan takwa di sini ialah menjunjung segala perintah yang diwajibkan dan meninggalkan segala tegahan yang bersifat haram dan mencari wasilah pula ialah sesuatu yang boleh mendekatkan dengannya kepada Allah S.W.T. semata-mata.

Dengan fakta-fakta yang telah dihuraikan di atas tadi dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan antaranya:

a) Wasilah yang mengandungi makna dan maksud amal soleh itu sebenarnya boleh menghindarkan seseorang dari melakukan keburukan dan maksiat terhadap Allah S.W.T. seterusnya akan mencapai ke maqām al-taqwā.

b) Wasilah yang diertikan dengan maksud doa daripada orang yang soleh boleh juga mencapai maksud al-wiqāyah, al-hasanah, al-amn, al- tabā‘ud dan al-ijtināb. Oleh kerana itu Allah S.W.T. menuntut agar mencari wasilah bagi tujuan mencapai maqām al-taqwā tersebut. Dengan keberkatan dan ketinggian martabat para solehin itu menyebabkan mereka dikasihi juga oleh Allah S.W.T.

c) Wasilah yang mengandungi makna serta pengertian al-rābitah juga akan mencapai maksud ayat tersebut, hal ini disebabkan al-rābitah merupakan sebaik-baik wasilah, sama ada wasilah dengan Nabi s.a.w., atau orang yang menggantikan tempat baginda sebagai pewarisnya. Kerana Allah S.W.T. memerintahkan kepada kita agar mengikut dan mencontohi baginda Rasulullah s.a.w.seperti yang dijelaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ .

Maksudnya:

Katakanlah: (Wahai Muhammad):Jika kamu benar-benar mencintai Allah S.W.T., ikutilah aku, nescaya Allah S.W.T. mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah S.W.T. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat di atas tentu sahaja membawa maksud al-rābitah, kerana istilah mengikut (ittibā‘) di sini berkonsepkan kepada ru`yat al-matbu‘ (melihat kepada yang diikut). Justeru kerana itu melihat di sini boleh diertikan kepada melihat yang bersifat hissiyyah atau yang bersifat ma‘nawiyyah. Kerana tidak dianggap sebagai ittibā‘ kalau tidak dengan melihat orang yang diikuti. Sedang melihat secara ma‘nawiyyah itulah yang diertikan sebagai al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Fakta ini tentu lebih jelas dengan keterangan yang diberikan oleh al-Janābidhi dalam tafsirnya Bayān al-Sa‘ādah yang antara lain menyebutkan bahawa untuk merealisasikan persahabatan secara ma‘nawiyyah berserta hakikat mereka yang bersifat malakutiyyah itu hanya dapat diiktibarkan melalui tasawwur al-shaykh (al-rābitah), al-sakinah al-qalbiyyah, al-fikr, al-rahmah dan al-ni‘mah.