Apabila kita membicarakan soal al-rābitah dan mentalaah kitab-kitab tasawwuf tentangnya, maka antara dalil-dalil yang telah digunakan oleh para ulamak tasawwuf dahulu dan sekarang ialah seperti berikut:
4.3.1 Firman Allah S.W.T:يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ .
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah S.W.T. dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.
Dalam ayat di atas terdapat dua fi‘il al-amr yang membawa maksud perintah. Perintah pertama agar bertakwa kepada Allah S.W.T., sedang yang kedua pula perintah agar bersama-sama dengan orang-orang yang bersifat sādiqin. Justeru menurut ayat di atas kita diperintahkan oleh Allah S.W.T. agar bersama-sama dengan mereka dari semua aspek kehidupan. Kita dituntut supaya bersifat sabar seperti sabarnya golongan tersebut, kita diperintahkan bersifat dengan sifat mukmin, solehin dan sebagainya seperti yang mereka miliki. Lantaran itu kita diperintahkan memohon kepada Allah S.W.T. agar dikurniakan dengan nikmat-nikmat seperti yang telah Allah S.W.T. kurniakan kepada golongan tersebut. Keadaan ini telah dirakamkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya:
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ.
Maksudnya:
Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan ni’mat kepada mereka, bukan jalan mereka yang dumurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.
Persoalannya di sini ialah bagaimana perintah supaya bersama-sama itu dapat dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin. Di sinilah titik permulaan untuk kita membicarakan masalah al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf dengan bersandar kepada dalil di atas. Kerana terdapat berbagai pendapat serta pandangan yang telah dikemukakan terhadap persoalan ini. Namun bagi para ulamak tasawwuf, secara umumnya mereka berpendapat ayat tersebut membawa maksud al-rābitah. Pendapat tersebut adalah didasarkan kepada beberapa fakta berikut:
1- Menurut al-Khāni seperti yang terdapat dalam kitabnya berjudul al-Haqā`iq al-Wardiyyah, yang beliau nukil dari keterangan Syeikh ‘Ubaydullah bahawa al-kaynunah, (iaitu perkataan kunu) dalam ayat di atas merupakan perintah Allah S.W.T. agar manusia sentiasa bersama-sama dengan golongan al-siddiqin seperti yang disebutkan dalam surah al-Taubah tersebut, arahan supaya bersama-sama ini merangkumi aspek zahir dan batin. Menurut ‘Ubaydullah lagi, al-kaynunah al-ma‘nawiyyah itulah yang dimaksudkan oleh golongan tasawwuf dengan al-rābitah.
Oleh yang demikian dapat kita fahamkan di sini bahawa al-kaynunah tersebut boleh terjadi dalam dua bentuk, pertama al-kaynunah yang bersifat zahir dan kedua pula ialah al-kaynunah dari sudut ma‘nawiyyah atau yang batin.
2- AI-Kaynunah dalam ayat tersebut juga tidak boleh terjadi sama sekali kecuali setelah berlaku irtibāt yang sempurna antara kedua belah pihak. Oleh yang demikian perintah Allah S.W.T. supaya sentiasa bersama dengan golongan al-siddiqin itu tidak akan terjadi tanpa adanya suatu bentuk irtibāt antara kedua-dua golongan tersebut. Dalam mewujudkan situasi irtibāt antara kedua-dua golongan ini maka amalan al-rābitah berperanan sangat penting bagi mewujudkan irtibāt tersebut.
Dari kedua-dua fakta di atas memperjelaskan lagi di sini bagaimana ulamak tasawwuf menggunakan ayat al-Qur’an surah
al-Taubah ayat 119 tersebut sebagai dalil yang menunjukkan keharusan amalan al-rābitah yang diamalkan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf. Walaupun demikian, pengambilan ayat ke119 dalam surah al-Taubah itu dibantah oleh ulamak bukan tasawwuf, seperti Syeikh Ahmad Khātib. Beliau membantah keras penggunaan ayat tersebut dengan membuat beberapa ulasan antaranya beliau menyebutkan:
Mereka mentafsir; orang-orang yang benar dengan guru-guru. Dan; serta mereka, dengan menghadirkan mereka ketika berzikir, kerana hendak memelihara rupa itu dan beradab kepadanya serta meminta limpahan daripadanya supaya dengan menghadirkannya, sempurna hadir hati kepada Allah Ta'ala dan turun cahaya. Dan dengan melihat rupa itu terhalang tiap-tiap pekerjaan yang bersifat kekurangan.
Dari keterangan di atas Syeikh Ahmad Khātib mengemukakan bantahan beliau dengan pandangannya:
Dalil itu adalah batal dan mentafsirkan al-Qur’an dengan fikiran semata-mata yang terlarang. Sabda Nabi kita (s.a.w.):
Bermaksud:
“Barangsiapa mengatakan sesuatu tentang al-Qur’an dengan fikirannya semata-mata atau dengan kejahilan, maka sediakanlah tempat tinggalnya di dalam api neraka.”
Orang tersebut telah termasuk dalam umum hadis ini kerana ia telah mentafsirkan al-Qur’an dengan fikirannya. Adapun makna:
Jadilah engkau seperti mereka itu tentang benarnya.
Dan seperti itu pula diriwayatkan Bayhaqi dan lain-lain dari Ibn Mas‘ud. Maka yang dikehendaki dengan sādiqin (orang-orang yang benar), ialah segala orang yang benar agama, niat, perkataan dan amalannya.
Maka dari tafsir di atas nyatalah bahawa ayat tersebut tidak boleh dijadikan dalil bagi menghadirkan guru ketika berzikir, iaitu makna rābitah. Dan jika kita umpamakan makna:
Jadilah kamu berserta orang-orang yang benar.
Maka ia juga tidak menunjukkan kepada makna menghadirkan rupa guru ketika berzikir. Kerana orang yang menghadirkan rupa guru itu tidaklah ia berserta orang yang benar. Kerana orang yang benar ialah anak Adam (manusia) yang amat benar dalam agama, niat dan ibadatnya. Sedang rupa guru itu bukan ia diri guru. Dan makna berserta suatu dengan suatu ialah bersama-sama dengan dia dan bergaul dengan dia. Bukan makna berserta itu menghadirkan rupanya. Maka antara dalil dan madlul berjauhan seperti antara bumi dengan langit.
Adapun katanya beradab dengan rupa guru meminta limpahan daripadanya, maka telah lalu bahawa ia terlarang menurut nas Qur’an yang telah diterangkan, kerana dia beradab terhadap bayang-bayang guru dan meminta kepadanya. Maka yang demikian menyampaikan kepada mensekutukan Tuhan dan mengiktikadkan yang lain dari Allah Ta'ala mempunyai bekas.
Penjelasan:Seperti yang telah kita bincangkan, pengambilan ayat ke119 dalam surah al-Taubah ini adalah merujuk kepada makna yang batin atau ma‘nawi. Justeru, konsep bersama-sama yang cuba diutarakan dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf yang terdapat dalam ayat di atas ialah bersama-sama dari sudut maknanya yang batin atau ma‘nawiyyah itu. Hal ini jelas terbukti dari keterangan yang diberikan oleh al-Ālusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma‘āni seperti yang beliau jelaskan
وجوز أن يكون عاما لهم ولغيرهم فيكون المراد بالصادقين الذين صدقوا فى الدين نية وقولا وعملا, وأن يكون خاصا بمن تخلف وربط نفسه بالسوارى.
Maksudnya:
Boleh juga diertikan bahawa al-sadiqin itu dengan makna yang am bagi mereka dan selain mereka, maka yang dimaksudkan dengan al-sadiqin itu ialah mereka yang benar dalam agama dari sudut niat, perkataan dan perbuatan. Dan boleh juga diertikan al-sadiqin itu secara khusus kepada mereka yang terdahulu dengan berabitah dirinya atas kemuliaan dan darjah mereka.
Jelas dari keterangan al-Ālusi ke atas ayat 119 surah al-Taubah itu tadi, menunjukkan bahawa al-siddiqin itu adalah merujuk kepada orang-orang yang terdahulu, sama ada mereka itu dari kalangan ahli kitab, Rasulullah s.a.w. mahupun para sahabat Baginda Rasulullah s.a.w. Fakta ini beliau jelaskan dengan menukil keterangan yang diriwayatkan oleh Ibn al-Mundhir daripada Jarir daripada Nāfi‘, beliau menyebutkan:
أن الاية نزلت فى الثلاثة الذين خلفوا , والمراد بالصادقين محمد صلى الله عليه وسلم وأصحابه , وبذلك فسره ابن عمر كما أخرجه أبى خاتم .
Maksudnya:
Sesungguhnya ayat tersebut diturunkan kepada golongan yang terdahulu, sedangkan maksud al-sādiqin pula ialah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya. Demikian penafsiran Ibn ‘Umar seperti yang dikeluarkan oleh Abu Khātim.
Oleh yang demikian, dapat kita membuat tanggapan di sini bahawa pandangan Syeikh Ahmad Khatib ketika menghuraikan makna berserta atau bersama itu hanya terbatas kepada makna yang zahir dengan merujuk kepada pergaulan secara fizikal, pandangan tersebut tentu sahaja menyalahi kaedah pentafsiran yang telah dikemukakan oleh al-Ālusi tersebut. Kerana menurut al-Ālusi, yang dimaksudkan dengan al-sādiqin itu ialah mereka yang terdahulu yang sezaman dengan Nabi s.a.w., atau yang sebelum itu lagi. Jika demikian, bagaimana pandangan Syeikh Ahmad Khatib dalam menjelaskan bersama-sama dengan orang al-sādiqin itu boleh dipraktikkan, kerana zaman mereka telah berlalu sekian lama. Dalam konteks ini apakah boleh kita mengabaikan sahaja perintah Allah S.W.T. agar kita bersama dengan orang yang al-sādiqin tersebut? Di sinilah timbulnya pandangan ulama-ulama tasawwuf yang mentafsirkan bersama-sama itu dalam pengertiannya yang ma‘nawiyyah. Menurut al-Khāni bersama-sama dari sudut ma‘nawiyyah itulah yang dimaksudkan dengan al-rābitah dalam disiplin ilmu dan amalan tasawwuf.
Kesimpulan:Dari perbincangan di atas, dapat kita mengambil beberapa kesimpulan yang menyebabkan timbulnya kekeliruan ketika memahami maksud ayat 119 dalam surah al-Taubah tersebut adalah seperti berikut:
a) Tidak memahami dan menerima bentuk pentafsiran yang bersifat ma‘nawiyyah terhadap ayat-ayat al-Qur’an.
b) Pentafsiran yang dilakukan mestilah memahami secara bahasa dan istilah terhadap makna al-rābitah tersebut, kerana makna dan konsep al-rābitah itu tidak hanya terbatas kepada amalan menghadirkan rupa guru ketika hendak berzikir semata-mata, tetapi lebih luas dan lebih umum dari itu. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan:
عن أسماء بنت يزيد, انها سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ألا أنبئكم بخياركم؟ قالوا: بلى يا رسول الله! قال : خياركم الذين اذا رؤا , ذكر الله عز وجل .
Maksudnya:
Daripada Asmā` binti Yazid, bahawa dia telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda. Adakah tidak mahu aku khabarkan kepada kamu orang yang paling baik di kalangan kamu? Mereka menjawab : Bahkan Ya Rasulullah! Mereka yang apabila dilihat mengingatkan orang yang melihat itu kepada Allah S.W.T.
Hadis di atas memberikan penjelasan kepada kita bahawa dengan melihat seseorang yang berada pada maqāmnya yang hampir dengan Allah S.W.T., akan memberikan keberkatan terhadap orang yang melihatnya. Bagi seorang yang sālik, hal tersebut merupakan wasilah yang boleh mempercepatkan bagi dirinya untuk berada pada tahap wusul kepada Allah S.W.T. Oleh sebab itu, dalam menjalani suluk, seorang yang sālik amat dituntut untuk menghadirkan rābitah sebagai memenuhi maksud hadis di atas. Jika sekiranya yang dimaksudkan dengan ru’yah itu hanya terbatas kepada pandangan yang zahir sahaja, bagaimana dengan orang-orang terkemudian yang tidak pernah berjumpa dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w., para sahabat, tābi‘ al-tābi‘in dan seterusnya? Tentu sahaja kita tidak dapat mencapai maksud dan tujuan dari hadis di atas.
Dalam konteks Malaysia hari ini, siapa agaknya yang boleh menepati kehendak dari hadis di atas? Sukar untuk kita mencari seorang guru yang menepati ciri-ciri seperti generasi awal zaman Rasul s.a.w. Jika adapun terlalu kecil bilangannya dan sukar pula untuk berjumpa dan melihatnya bagi mencapai maksud dan tujuan dari hadis di atas. Oleh itu, menurut disiplin ilmu dan amalan tasawwaf, ru'yah dalam hadis di atas merangkumi kedua-dua maksud, iaitu penglihatan yang zahir dan yang kedua ialah penglihatan yang batin. Melihat dengan mata hati yang bersifat sanubari itu sebenarnya adalah lebih berkesan dan memberikan manfaat bagi seorang yang sālik ketika menjalani al-suluk.