Thursday, February 19, 2009

Monday, February 9, 2009

Azab neraka

Gambaran Azab Yang Paling
Ringan di Dalam Neraka.
Wahai saudara-saudara ku sekalian! Azab yang terdapat di dalam neraka itu terlalu pedih dan terlalu berat untuk ditanggung oleh seorang manusia. Tidak ada seorang pun di kalangan ahli neraka itu mendapat keringanan dari kepedihan azabnya.Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu'man bin Basyir r.a. katanya:Telah bersabda Nabi s.a.w: Sesungguhnya seringan-ringan ahli neraka yang mendapat azab neraka dan menanggong siksanya pada hari akhirat ialah seorang lelaki yang namanya Abu Talib bapa kepada Saidina 'Ali k.w. dan bapa saudara kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang disiksa ia dengan diletakkan dua potong api neraka di bawah telapak kakinya. Dengan dua potong api neraka tersebut sudah cukup untuk menggelegakkan otaknya.Hadis dikeluarkan oleh Abu 'Isa al-Tirmidhi dengan katanya hadis ini Hasan lagi Sahih.
Saudara-saudara ku yang dikasihi Allah sekalian! Beriman dan berbuatlah amal kebajikan demi Allah dan agamaNya. Kerana dengan iman kepada Allah S.W.T. akan terlepas dari azab neraka Allah yang pedih tidak terkira dan di samping beramal salih kerana dengannya boleh meringan, mengurang dan menghindarkan sama sekali dari azab neraka.Jangan sekali-kali kita rajin beramal soleh tetapi tidak beriman dan berkeyakinan dengan hukum-hukum Allah S.W.T. Kita sering melakukan amal-amal kebajikan tetapi dalam masa yang sama kita angkuh dan sombong dengan Allah S.W.T. Kita mengingkari Keagongan dan Kebesaran Allah S.W.T.Lantaran itu kita sering membantah kehendak dan kemahuan Allah S.W.T. kerana keegoan diri kita. Janganlah kita menjadi seperti Abu Talib yang sering membantu Nabi dalam menyebarkan Islam(maksud dari beramal saleh) tetapi beliau enggan mengimani kerasulan Muhammad s.a.w. dan ketuhanan Allah S.W.T. yang akhirnya digambarkan oleh Rasulullah s.a.w.di dalam hadisnya di atas.
Kesimpulan.
Wahai saudara-saudara ku yang seiman! Marilah kita sama-sama memperkukuh keimanan dan memperkasa amal-amal salih kita agar kita tergolong di kallanga mereka yang berjaya di hari akhirat kelak dengan terlepas daari azab neraka. Na'uzubillah min dhalik.

akidah

Penghuni neraka dan syurga
Menurut sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa al-Tirmidhi dari Ibn 'Abbas r.a katanya:Telah bersabda Rasulullah s.a.w. :Telah aku lihat di dalam syurga itu kebanyakkan dari penghuninya adalah di kalangan orang-orang fakir, manakala aku lihat di dalam neraka sebahagian besar penghuninya adalah di kalangan perempuan. Berkata Imam al-Tirmidhi hadis ini adalah hadis Hasan lagi Sahih.
Ketahuilah wahai saudara ku sekalian!Bahawa syurga itu dihuni oleh mereka yang saleh di kalangan golongan fuqara'(fakir)dan masakin(miskin).Manakala penghuni neraka itu sebahagian bersarnya adalah di kalangan kaum wanita.Ada pun sebab mengapa mereka yang fakir dan miskin itu telah dijanjikan demikian kerana mereka adalah di kalangan golongan manusia yang selalu dekat dan banyak mengingat Allah S.W.T.Mereka juga di antara golongan yang sentiasa menjunjung titah perintah Allah S.W.T di samping menjauhi larangan-Nya.Kehidupan mereka tidak pernah diganggu dan dihalang oleh kepentingan dan hambatan dunia.Sebaliknya tidak demikian dengan orang yang kaya. Harta mereka sebahagiannya menjadi penghalang kepada mereka untuk melaksanakan perintah Allah S.W.T.dan meninggalkan larangan-Nya.Dengan harta yang banyak lalu ia lalai dengan harta tersebut . Dibawa harta itu untuk bersuka ria dan berpoya-poya sehingga lupa ia kepada Allah S.W.T. dan tuntutan agama-Nya.Sebaliknya tidak demikian kepada orang fakir dan miskin,keinginan untuk berseronok dan bersukaria tidak kesampaian dek kerana tiada berharta.Lantaran itu digunakan masa terluang untuk mengadap Tuhan Rab Jalil.Demikian juga mereka tidak boleh berbesar diri dan bermegah-megah dek kerana kemiskinan.Lantaran itu digunakan masanya untuk mengingati Allah S.W.T. Adapun sebab mengapa terdapat ramai penghuni neraka di kalangan perempuan adalah disebabkan kebanyakan mereka itu jahat perangai dan suka membantah suruhan suami.
Kesimpulan
Hadis ini jika dilihat secara sepintas lalu seakan-akan mengenengahkan isu diskriminasi , namun jika dilihat dengan hati yang penuh keinsafan hadis ini cuba menerangkan kepada kita agar sentiasa berwaspada ketika kita berada pada posisi seorang yang kaya. Kerana pada saat tersebut adalah lebih mudah seseorang itu terjerumus ke lembah yang dimurkai oleh Tuhan dibandingkan dengan seorang yang miskin dan fakir. Demikian juga andainya kita berada pada posisi seorang perempuan. Mudah-mudahan dengan meneliti hadis ini kita terhindar dari kalangan mereka yang dimasukkan oleh Allah S.W.T. ke dalam neraka-Nya. Sama ada kita di kalangan orang yang kaya atau pun di kalangan perempuan.

Sunday, February 1, 2009

Hukum meninggalkan sembahyang

Wahai saudara ku sekelian! Sembahyang adalah tiang agama dan asas segala ibadah. Dengannya tegak dan berdirilah agama.Nabi bersabda bermaksud: Sebahyang adalah tiang agama, sesiapa yang melaksanakanya bererti ia telah mendirikan agamanya, dan sebaliknya apabila ia meninggalkannya maka bererti ia telah meruntuhkan agamanya.Dari hadis ini dapat difahami bahawa meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu mempunyai hukum yang sangat berat.Untuk menjelaskan persoalan tersebut marilah wahai saudara ku sekelian kita merenung dan melihat tentang sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang antara lain bermaksud:"Daripada Jabir r.a bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Perbezaan antara kufur dan iman itu ialah meninggalkan sembahyang" Hadis di atas dengan tegas menerangkan kepada kita bahawa perbezaan antara seorang yang mukmin dengan seorang yang kafir itu sudah dapat dilihat dari sudut zahirnya dengan meninggalkan sembahyang. Ertinya menurut zahir hadis ini sudah cukup untuk menjadi kafir hanya dengan meninggalkan sembahyang. Walaubagaimana pun menurut pandangan ulama hukum mereka yang meninggalkan sembahyang dapat dilihat dari berbagai sudut. Antaranya ialah mereka yang meninggalkan sembahyang dengan satu keyakinan bahawa sembahyang itu tidak menjadi kewajipan terhadap dirinya. Atau dengan ia mengatakan sembahyang itu tidak wajib ke atasnya. Maka ijma al-muslimin orang yang berkenaan telah jatuh kafir dan pada saat tersebut terkeluarlah ia dari agama Islam.Kedua mereka yang meninggalkan sembahyang kerana malas dan masih beriktikad tentang kewajipan sembahyang tersebut.Keadaan ini terdapat beberapa pandangan ulama: Imam Malik,Imam Syafe'i, jumhur ulama salaf dan khalaf berpendapat tidak jatuh kafir sebaliknya menjadi fasik dan diarahkan supaya bertaubat orang tersebut.Andaikata ia enggan bertaubat maka hendaklah ia dibunuh dengan dipancung. Manakala sebahagian dari golongan salaf menghukumkan kafir orang yang meninggalkan sembahyang disebabkan oleh malas. Pendapat ini diriwayatkan dari Saidina 'Ali k.w.dan Imam Ahmad bin Hanbal.Manakala Abu Hanifah dan sekumpulan ulama dari Kufah berpendapat tidak kufur dan tidak dihukun bunuh sebaliknya dikenakan hukuman ta'kzir dan dipenjara sehingga ia mahu menunaikan kewajipan sembahyang.
Kesimpulan
Oleh kerana sembahyang merupakan tiang agama, dan hukum meninggalkanya terlalu berat, maka wahai saudara ku sekelian! Sebelum terlambat marilah kita bersegera menunaikan hak Allah S.W.T ke atas kita dengan mengerjakan sembahyang. Kerana Allah S.W.T. telah memperingatkan kepada kita dengan firmanNya yang antara lain bermaksud: "Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka" Kata-kata hukama menyebutkan "Sembahyanglah anda sebelum anda disembahyangkan". Mudah-mudahan kita diperlihara dan diberikan taufik dan hidayah dalam melaksanakan ibadah sembahyang
.

Melihat Allah S.W.T.

Adakah harus atau boleh melihat Allah S.W.T. pada hari akhirat? Persoalan ini adalah persoalan ghaibiyat yang berkaitan dengan akidah iman.Menurut dalil dari al-Quran bahawa melihat Allah S.W.T. pada hari akhirat itu adalah suatu yang harus, atau dengan ertikata yang lain adalah boleh.Hal ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Adalah muka orang-orang yang beriman pada hari kiamat itu dalam keadaan gilang gemilang dan dapat melihat ia akan Allah dengan pandangan yang nyata". Di dalam ayat yang lain pula Allah S.W.T. menyatakan dengan firmanNya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya terdindinglah pandangan orang yang kafir itu dari melihat Allah".Manakala di dalam ayat yang lain Allah S.W.T. menerangkan dengan firmanNya yang bererti:"Dan menyambut mereka itu(orang-orang yang beriman) pada hari berjumpa mereka itu dengan Tuhan".Di dalam ayat ini terdapat kalimah " salam" yang membawa maksud bertemu, manakala pertemuan akan membawa maksud melihat. Allah S.W.T. melihat mereka yang beriman dan begitu juga dengan orang-orang yang beriman akan dapat melihatNya. Manakala dalil dari hadis Rasulullah s.a.w. dapat kita lihat dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu 'Isa al-Tirmidhi katanya dari Jurir bin Abdullah al-Bajalliy r.a katanya: Ketika kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w. maka ketika itu Nabi s.a.w memandang ke arah bulan purnama lalu Baginda bersabda:Sesungguhnya kamu sekelian akan dibawa kepada Tuhan kamu dan di saat itu kalian akan dapat memandang Tuhan kamu seperti kamu melihat bulan purnama ini.Tiada kesusahan dan kepayahan untuk kamu sekelian melihatNya .Andaikata kamu berupaya melasanakan sembahyang sebelum terbit matahari berbuatlah dan begitu juga andaikata kamu sekelian mampu melaksanakan solat sebelum terbenam matahari hendaklah kalian berbuat demikian.Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman Allah S.W.T. yan g bermaksud: Sembahyanglah kamu sekelian dengan memuji Tuhan mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam matahari. Hadis Hasan Sahih.
Kesimpulan.
Memandang atau melihat Allah S.W.T. di hari akhirat kelak merupakan suatu keharusan berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Sebagai seorang yang mukmin dengan keimanan yang benar dan jitu, untuk mencapai apa yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. dengan melihat Allah dan bercakap-cakap denganNya, maka hendaklah kita mengikut segala yang diarahkan oleh Allah S.W.T seperti yang terdapat di dalam hadis di atas dengan melaksanakan dan menjaga waktu solat yang telah ditetapkan kepada kita sekelian. Mudah-mudahan dengan itu nanti kita akan dapat bertemu dengan Allah S.W.T sebagai pertemuan yang sangat menggembirakan.